Dasar ilmu berkesan tangani isu belia
Penyelidikan berterusan bantu pembangunan program lebih relevan
 

SATU daripada prinsip budaya ilmu ialah setiap keputusan dan tindakan yang diambil hendaklah berasaskan ilmu. Ilmu, seperti yang didefinisikan Syed Naquib al Attas, ialah ketibaan makna daripada maklumat yang benar. Satu daripada cara mendapatkan maklumat yang benar ialah melalui penyelidikan.

Dalam konteks pembangunan belia, prinsip ini mesti digunapakai dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian segala dasar dan programnya. Malangnya, penyelidikan dalam bidang pembangunan belia tidak banyak dijalankan di negara ini.

Sejak Dasar Belia Negara dilancarkan pada 1985, penyelidikan tentang belia dapat dibahagikan kepada 3 tahap.

Tahap pertama ialah antara 1985 hingga 1996, iaitu tahun penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Membanteras Masalah Sosial. Jawatankuasa itu telah menerima Laporan Isu-isu Sosial Masa Kini Dan Cadangan Penyelesaian yang dikompilasi oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ketika itu.

Antara kandungan laporan itu ialah beberapa penyelidikan tentang belia yang diadakan dalam tempoh masa tersebut, iaitu: kajian amalan lepak di kalangan belia yang diarahkan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Abdul Ghani Othman; dua kajian oleh Lembaga Pembangunan Perancang Keluarga Negara (LPPKN), iaitu Kajian Kesihatan Reproduktif dan Seksualiti Remaja, dan Kajian Media; kajian tentang remaja lari dari rumah oleh Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS); dan Kajian Permasalahan Sosial Pekerja Kilang Di Selangor oleh Prof. Dr. Fatimah Daud.

Tahap kedua ialah antara 1996 hingga 2005, iaitu tahun penubuhan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said.

Antara penyelidikan yang diterbitkan dalam tempoh masa itu ialah kajian kelesuan persatuan belia oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) (1998), Memperkasa Persatuan Belia; dan kajian potensi persatuan belia oleh Azimi Hamzah, Turiman Suandi dan Ezhar Taman (2002), Persatuan Belia di Malaysia: Perkembangan dan Penyerlahan Potensi.

Dalam tempoh itu juga, beberapa orang ahli Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) telah mencadangkan supaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan perhatian yang lebih serius terhadap penyelidikan.

Penyelidikan adalah salah satu daripada cadangan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Belia Negara 2001-2010 yang dikemukakan MBM pada tahun 2000. Apabila KBS melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional pada tahun 2004, penyelidikan adalah salah satu daripada 11 terasnya.

Setahun kemudian, IPPBM menjadi satu realiti. IPPBM, iaitu penyelidikan belia yang diinstitusikan, adalah komponen kelima pembangunan belia negara ini, iaitu selepas kita mempunyai organisasi belia, kementerian/agensi berkaitan belia, dasar belia dan perundingan belia.

Dengan kewujudan IPPBM, maka bermulalah tahap ketiga kemajuan penyelidikan belia di negara ini. Prestasi tahap ini perlu lebih baik daripada kedua-dua tahap sebelumnya.

Jika sebelum ini, hasil penyelidikan dikemukakan untuk proses pembuatan dasar bukan atas permintaan para pembuat dasar, lalu penyelidikan itu mungkin digunapakai ataupun tidak; tetapi, mulai tahap ini, diharapkan penyelidikan akan diberi pertimbangan lebih wajar oleh pembuat dasar, malahan adalah lebih baik lagi, jika pembuat dasar meminta penyelidikan dijalankan terlebih dahulu sebelum sesuatu dasar dibuat.

Contoh di mana penyelidikan diadakan terlebih dulu sebelum dasar dibuat ialah proses menggubal Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan 2006-2010 yang digerakkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamad Hj Hasan.

Dalam proses itu, sebelum Akademi Belia merangka rancangan itu, Azimi Hamzah diminta terlebih dahulu menjalankan Kajian Penanda Aras Pembangunan Belia Negeri Sembilan.

Pendekatan ini menepati prinsip keputusan dibuat berdasarkan ilmu. Inilah juga pendekatan yang harapnya digunakan semua pembuat dasar tentang pembangunan belia.

Khamis lalu, persidangan MPBN telah membincangkan kertas kerja Ketua Pegawai Eksekutif IPPBM, Prof. Dr. Samsudin A Rahim, “Pemetaan Belia dan Indeks Belia Malaysia: Ke arah Perancangan Strategik Pembangunan Belia”.

Indeks Belia Malaysia diumumkan pada Oktober 2006. Samsudin berkata, ia diwujudkan untuk mengukur tren dalam satu jangka masa panjang mengenai kualiti dan kesejahteraan hidup belia Malaysia.

Ia mengandungi pelbagai indikator sosial yang dianggap penting dalam pembangunan diri belia. Objektifnya ialah memberi gambaran tentang perubahan yang berlaku dalam pembangunan diri belia.

Manakala Pemetaan Belia adalah perkara baru. Objektifnya ialah menyediakan pengkalan data sebagai sokongan kepada perancangan strategik program pembangunan belia; menjadi pemangkin mempengaruhi pembentukan dasar, pembangunan sumber manusia dan peruntukan kewangan bagi pembangunan belia; dan menjadi sumber bagi khalayak mendapatkan maklumat tentang pembangunan belia dalam sesuatu kawasan.

Dari segi pelan strategik, Pemetaan Belia adalah sebagai asas perancangan program manakala Indeks Belia Malaysia adalah sebagai matlamat pembangunan belia.

Penggunaan Peta Belia dan Indeks Belia Malaysia amat penting dalam perancangan strategik pembangunan belia kerana ia dapat memastikan penggunaan sumber organisasi yang efektif; menentukan asas di mana kemajuan dan keberkesanan sesuatu program dapat diukur; dan memberi fokus yang lebih jelas kepada organisasi dan melahirkan kecekapan dan keberkesanan.

Harapan kita ialah agar penyelidikan yang subur seperti ini menjadi katalis kepada pengembangan pemikiran baru pembangunan belia di negara ini. Pemikiran baru diperlukan kerana terdapatnya dasar dan program belia yang selama ini kurang berkesan.

Satu daripada syarat mekarnya penyelidikan dan segarnya budaya ilmu ialah wujudnya situasi dan kondisi yang membenarkan dan memotivasi ia berkembang. Kewujudan iklim yang kondusif ini banyak bergantung terutamanya kepada pemimpin politik.

Apabila berlaku kejadian di mana penyelidikan yang emperikal oleh ahli akademik dikecam secara emosional oleh pemimpin politik, maka ia tidak produktif.

Baru-baru ini, Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khaizir Ismail melakukan kajian bertajuk “Tingkah Laku Remaja Berisiko Tinggi”. Media melaporkan dapatannya menunjukkan 886 daripada 887 responden yang terdiri daripada remaja perempuan sekolah menengah di sebuah negeri mengaku pernah melakukan hubungan seks.

Ada pemimpin politik yang menganggap penyelidikan ini tidak adil, malahan ada yang menuduhnya karut, kerana tidak menggambarkan keadaan sebenar sebab majoriti remaja perempuan tidak bermasalah.

Reaksi negatif itu timbul akibat salah faham tentang penyataan masalah, matlamat, objektif, skop dan metodologi penyelidikan ini.

Penyelidikan ini memfokus kepada remaja perempuan yang berisiko tinggi sahaja. Pakar dalam bidang masalah belia akan terus, malahan perlu digalakkan, menjalankan penyelidikan tentang perkara ini dan masalah-masalah yang lain. Tujuannya ialah mencari penyelesaian yang terbaik. Kerja ini usah disekat.

Pada masa sama, bagi meningkatkan potensi belia, galakkanlah pakar dalam bidang pembangunan sumber belia supaya menjalankan penyelidikan dalam perkara ini pula.

Apa pun, yang penting ialah semua pihak yang terlibat dengan pembangunan belia mesti menunaikan amanah masing-masing dengan berlandaskan ilmu.

 
INTI PATI
 
  • Penyelidikan menepati prinsip keputusan dibuat berdasarkan ilmu yang harap dapat digunakan untuk pembangunan belia.
  • Penyelidikan membantu perancangan strategik pembangunan belia kerana ia dapat memastikan penggunaan sumber organisasi yang efektif, menentukan asas di mana kemajuan dan keberkesanan sesuatu program dapat diukur bagi melahirkan kecekapan dan keberkesanan.
  • Menerusi penyelidikan dapat menggalakkan pengembangan pemikiran baru pembangunan belia bagi menggantikan program belia yang selama ini kurang berkesan.
  • Usaha penyelidikan berteraskan ilmu perlu diberi galakan berterusan sebagai penyelesaian terbaik bagi menangani masalah remaja.