Memperkasa pemimpin pelapis belia
Kurikulum sistematik, budaya kondusif jana kepemimpinan berkualiti
 

Satu daripada objektif generik gerakan belia ialah melahir dan menyediakan pemimpin pelapis. Dalam hal ini, kita berjaya dengan cemerlang. Dari segi kepemimpinan politik contohnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah bekas Presiden Persatuan Asrama Belia Malaysia.

Kedua-dua persatuan itu adalah badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM). Tiga orang bekas Presiden MBM adalah kini Menteri Besar dan Ketua Menteri, iaitu Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali (Perak), Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Melaka) dan Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo (Selangor).

Selain itu, terdapat sebaris lagi politikus yang pernah melalui sentuhan kepemimpinan belia dan ramai pemimpin bidang lain seperti agensi kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil, akademia, profesional dan sebagainya, juga pernah melalui pendedahan yang sama.

Umumnya, semua persatuan belia menganjurkan pendidikan, latihan dan pendedahan kepemimpinan, tetapi, hanya sebilangan mempunyai budaya dan tradisi penyediaan kepemimpinan yang sistematik dan konsisten. Antara yang serius dengan agenda kepemimpinan adalah badan beruniform dan persatuan belia yang berorientasi agama.

Ada antaranya mempunyai skima perkaderan yang mantap. Justeru, langkah MBM menganjurkan Konvensyen Pemimpin Muda Kebangsaan dan Siri Latihan Pemimpin Muda yang akan dirasmikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada Khamis ini (22 Mac 2007) adalah tepat pada masanya, apa lagi, Dewan Rakyat dijadualkan membahaskan Akta Belia, bulan depan.

Konvensyen itu dijangka membincangkan langkah menghadkan pemimpin persatuan belia pada umur tidak melebihi 40 tahun. Kerana itu, sebahagian besar persatuan belia, akibat tidak mematuhi umur belia 15-40 tahun yang ditentukan sejak 1985 melalui Dasar Belia Negara, kini perlu menyediakan pemimpin pelapisnya secara besar-besaran dalam kadar segera.

Oleh itu, persatuan belia perlu secara serius memberikan perhatian yang berat terhadap agenda memperkasa penyediaan kepemimpinan belia.

Penyediaan kepemimpinan belia melibatkan dua komponen utama, iaitu kurikulum yang komprehensif dan budaya yang kondusif. Dari segi kurikulum yang komprehensif, masalahnya ialah kebanyakan persatuan belia hanya menjalankan program penyediaan kepemimpinan dengan meminjam atau meniru modul orang lain.

Kurikulum perlu diasaskan kepada tiga rukun perjuangan belia, iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme. Idealisme merujuk pegangan atau prinsip fundamental yang berasaskan dua perkara pokok, iaitu kecintaan (misalnya terhadap kebenaran, keadilan dan keharmonian) dan kebencian (misalnya terhadap kepalsuan, kezaliman dan kehuruharaan).

Aktivisme pula ialah proses merealisasikan idealisme. Ini termasuk kebijaksanaan menerjemah idealisme agar menjadi langkah-langkah atau tindakan-tindakan yang praktikal. Di sini lahirnya hal ehwal perjuangan seperti kesukarelaan dan pengorbanan.

Manakala intelektualisme tidak merujuk menara gading. Sebaliknya, ia merujuk penghayatan budaya ilmu yang berasaskan tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi; setiap individu sentiasa menuntut, menyebar dan mengembangkan ilmu; dan setiap keputusan dan tindakan dibuat berlandaskan ilmu.

Ketiga-tiga rukun ini perlu diamalkan secara bersepadu dan seimbang. Hanya memiliki idealisme dan aktivisme, tetapi tanpa intelektualisme, memungkinkan pemimpin belia bersemangat dan rajin berbuat program, tetapi kerana tidak berbekal ilmu, maka ia tidak tahu bagaimana hendak menghasilkan kemajuan dan keberkesanan yang berganda.

Hanya memiliki idealisme dan intelektualisme pula, tetapi tanpa aktivisme, memungkinkan pemimpin belia bersemangat dan cerdik, tetapi kerana tidak berbuat apa-apa, maka ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang praktikal dan konkrit.

Manakala hanya memiliki aktivisme dan intelektualisme, tetapi tanpa idealisme, memungkinkan pemimpin belia rajin dan cerdik, tetapi kerana tidak berprinsip, maka ia boleh dijual-beli.

Di samping itu, pemimpin belia perlu mempunyai sudut pandangan dunia (tasawwur atau world view) perjuangan dan gerakan yang holistik. Ini amat penting bagi memastikan ia mempunyai perspektif yang tepat terhadap makna dan cara perjuangan yang sebenarnya.

Ia juga penting bagi memastikan semboyan perjuangan tidak dilaungkan sebagai retorika semata-mata, tetapi benar-benar sebagai komitmen yang terbit dari lubuk hati, yang memungkinkan perjuangan dipacu secara bersungguh-sungguh dan berkesinambungan.

Justeru, persatuan belia perlu mempunyai kurikulum yang sistematik, yang meliputi aspek ilmu, kemahiran dan sikap, serta lengkap dengan senarai bacaannya; menganjurkan latihan secara konsisten; serta melibatkan semua lapisan ahli dan bukannya melibatkan peserta yang tidak menepati sasaran sedangkan pemimpin kanan tidak terlibat.

Dari segi budaya yang kondusif pula, masalahnya ialah terdapat sebahagian persatuan belia berhadapan dengan beberapa keadaan yang kurang memberangsangkan.

Antara keadaan itu ialah, melebihi umur belia; terlalu lama memegang jawatan; nisbah pemimpin wanita yang terlalu kecil; tidak menjalankan amanah dengan baik; kurang pendekatan dan program yang segar; kurang amalan demokrasi; terdapat unsur-unsur politik yang mengganggu; dan kurang diiktiraf oleh pihak luar.

Antara elemen budaya yang kondusif ialah dengan memastikan bahawa persatuan belia dipimpin oleh mereka yang berusia belia. Tetapi, had umur sahaja tidak mencukupi. Untuk memberi peluang agar lebih ramai dapat menimba pengalaman, pemimpin tertinggi perlu dihadkan tempoh masa memegang jawatan.

Mereka yang telah melebihi had umur dan tempoh masa, tetapi masih berminat serta berkebolehan, boleh terus memainkan peranan sebagai penasihat, pemegang amanah, perunding, jurulatih, pakar rujuk dan sebagainya.

Untuk memastikan kepemimpinan mewakili setiap lapisan, perlu diwujudkan mekanisme supaya semua kumpulan (misalnya 15-19 tahun, 20-24 tahun, 25-29 tahun, 30-34 tahun dan 35-40 tahun) dan wanita, terpilih secara adil ke barisan tertinggi di setiap peringkat.

Pemilihan pemimpin perlu dibuat secara lebih demokratik dan berhati-hati. Kod etika atau peraturan tertentu perlu diadakan supaya pelaksanaannya tidak diragui.

Konsep penyertaani penuh seperti “belia sebagai rakan pembangunan”, “penghakupayaan belia” (youth empowerment), “perwakilan belia” dan “governans baru” perlu dilaksanakan sebagai proses menjana kepemimpinan yang berkualiti.

Persatuan belia tidak mampu memisahkan dirinya daripada politik, tetapi ia perlu mampu memisahkan antara politik partisan dengan isu berkaitan politik. Pemimpin belia perlu diberikan pendedahan dalam struktur dan proses membuat keputusan yang melibatkan belia dalam semua bidang dan di semua peringkat.

Selama ini, peranannya wujud dalam Majlis-majlis Perundingan Belia Negara, Negeri dan Daerah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan beberapa institusi yang lain.

Kini, sudah sampai masanya untuk peranannya ditingkatkan, misalnya, sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan Ahli Dewan Negara.

 
INTI PATI
 
  • Penyediaan kepemimpinan belia membabitkan dua komponen utama, iaitu kurikulum yang komprehensif dan budaya yang kondusif.
  • Kurikulum perlu diasaskan kepada tiga rukun perjuangan belia, iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang perlu diamalkan secara bersepadu dan seimbang.
  • Idealisme dan aktivisme, tanpa intelektualisme, memungkinkan pemimpin belia bersemangat dan rajin membuat program, tetapi kerana tiada ilmu menyebabkan gagal menghasilkan kemajuan yang berganda.
  • Idealisme dan intelektualisme tanpa aktivisme, memungkinkan pemimpin belia bersemangat dan cerdik, tetapi kerana tidak berbuat apa-apa, ia tidak menghasilkan sesuatu yang praktikal dan konkrit.
  • Aktivisme dan intelektualisme tanpa idealisme, memungkinkan pemimpin belia rajin dan cerdik, tetapi kerana tidak berprinsip, ia boleh dijual-beli.
  • Elemen budaya yang kondusif ialah dengan memastikan persatuan belia dipimpin oleh mereka yang berusia belia.