Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan (PTPP)
yang dicetuskan Menteri Pelajaran, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein adalah tapak yang
mantap untuk tinggal landas (take-off) baru
bagi sistem pendidikan sebuah negara yang
telah 50 tahun merdeka dan telah menetapkan
sasarannya untuk sekurang-kurangnya 50 tahun
lagi, iaitu Visi 2057, yang diumumkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
baru-baru ini.
Satu daripada teras PTPP ialah melonjakkan
kecemerlangan institusi pendidikan. Satu daripada
programnya ialah pelaksanaan Sekolah Kluster
atau Kelompok Sekolah Cemerlang yang membolehkan
sekolah-sekolah terlibat mempunyai kuasa autonomi.
Sekolah kluster mencakupi pelbagai jenis
sekolah: rendah, menengah harian, Sekolah
Berasrama Penuh dan lain-lain – masing-masing
dalam klusternya. Pemilihan sekolah-sekolah
yang menjadi anggota bagi sesuatu kluster
itu dibuat berdasarkan rekod kecemerlangan
dan potensi sekolah-sekolah tersebut dalam
pelbagai bidang.
Ini bermula dengan 30 sekolah, iaitu seperti
yang diumumkan semalam (30 Mac 2007). Ia akan
diikuti oleh 270 buah sekolah lagi, dan angkanya
akan terus meningkat sehingga sebanyak mungkin
sekolah yang layak dilibatkan.
Sekolah berkenaan diberikan lima kuasa autonomi,
iaitu dari segi pengurusan sumber manusia,
mewujudkan dana dan tabungan sekolah, pengambilan
murid, pengajaran dan pembelajaran (P&P),
serta penilaian dan peperiksaan.
Matlamat program ini ialah untuk melonjakkan
lagi kecemerlangan institusi pendidikan dalam
sistem pendidikan negara; membangunkan sekolah
yang boleh dicontohi oleh sekolah lain dalam
kluster yang sama dan oleh sekolah di luar
kluster; dan menjadi amalan baik yang bertaraf
antarabangsa.
Konsep kluster muncul sebagai idea utama
dalam konteks daya saing dan pembangunan ekonomi
sejak tahun 1990, iaitu dengan dipelopori
oleh Prof. Michael E. Porter dari Harvard
Business School yang terkenal sebagai mahaguru
daya saing itu.
Dalam dunia pendidikan, pelopor utamanya
ialah Lawrence Kohlberg, bekas profesor psikologi
dan pendidikan Universiti Harvard, yang memulakan
sekolah kluster di Cambridge Rindge dan Latin
High School pada awal 1970-an. Kini, konsep
sekolah kluster – dalam pelbagai jenis
dan bentuk – telah diamalkan di beberapa
buah negara maju dan sedang membangun, termasuk
jiran kita Singapura.
Konsep kluster adalah satu usaha terancang
untuk meningkatkan pertumbuhan, daya saing
dan kecemerlangan sesuatu kluster itu. Ia
adalah kaedah inovatif untuk menguruskan anggota-anggota
kluster dari segi menyelaraskan prioriti serta
melaksanakan dasar dan strategi yang bertujuan
meningkatkan daya saing dan kecemerlangan
kluster tersebut. Ia umpama pelincir yang
membolehkan enjin kluster berkenaan bergerak
lebih laju.
Berdasarkan kejayaan inisiatif-inisiatif
kluster yang lalu, tiga perkara perlu ditekankan
dalam pelaksanaannya, iaitu:
• Pertama - Memerlukan strategi jelas
dalam menentukan objektifnya dan impaknya
perlu dipantau dalam tempoh tertentu.
Dalam konteks kita, strateginya telah ditetapkan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
dan dipersetujui oleh pihak-pihak yang berkepentingan
(stakeholders). Tetapi, tempoh pemantauannya
perlu melampui tempoh PIPP, iaitu tahun 2010
itu. Pengalaman Singapura, contohnya, mengambil
masa kira-kira 10 tahun untuk melihat kejayaannya.
• Kedua - Perlu membangunkan
pendekatan terhadap hal ehwal organisasi dan
operasinya dengan cara menggunakan kombinasi
elemen-elemen yang generik yang sedia terdapat
dalam kluster berkaitan.
Di sinilah relevannya konsep autonomi yang
membolehkan setiap kluster menggunakan kekuatan
setiap anggotanya secara sinergi.
• Ketiga - Perlu diletakkan
dalam kerangka yang lebih luas untuk membangunkan
potensinya dengan sepenuhnya.
Di sini, ia bukan hanya terhad kepada sekolah
yang terlibat sahaja, atau klusternya sahaja,
atau sesama kluster-kluster itu sahaja. Sebaliknya,
ia perlu diletakkan dalam gambaran yang lebih
besar, iaitu sebagai sebahagian daripada PIPP
dan segala inisiatif pembinaan modal insan
di luar KPM yang bertujuan melahirkan personaliti
unggul itu.
Sebuah Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan
telah ditubuhkan dengan dipengerusikan Tan
Sri Dr. Abdul Rahman Arshad. Dalam melaksanakan
tugasnya, lembaga ini mungkin perlu mewujudkan
sebuah Model Prestasi Kluster Kecemerlangan
(MPKK), iaitu model yang diadaptasi daripada
Model Prestasi Inisiatif Kluster yang digunakan
dalam kajian terhadap inisiatif kluster oleh
Orjan Solvell et al (2003).
MPKK terdiri daripada 5 komponen, iaitu:
objektif, keadaan, proses, autonomi dan hasil.
Komponen objektif terdiri daripada penyelidikan
dan pembangunan (R&D), jaringan, kerjasama,
inovasi, teknologi dan pengembangan. Komponen
keadaan terdiri daripada iklim kondusif, dasar
dan kekuatan kluster. Komponen proses pula
terdiri daripada idea dan perancangan, governans,
dana, keanggotaan, fasilitator, kerangka dan
momentum.
Komponen autonomi melibatkan lembaga pengarah,
pihak-pihak berkepentingan, pengurusan sekolah
dan perundingan pelajar. Manakala komponen
hasil mencakupi daya saing dan kecemerlangan,
pertumbuhan dan pencapaian matlamat dan objektif.
Pelaksanaan konsep sekolah kluster kelihatan
bermula dengan pendekatan yang baik. Perancangannya
tidak hanya dari atas ke bawah. Sebaliknya,
ia melibatkan proses perkongsian idea dari
bawah ke atas. Ini ditandai oleh Bengkel Autonomi
Sekolah Kluster yang dianjurkan KPM pada 19-20
Mac lalu, yang melibatkan semua pihak berkepentingan,
iaitu pengetua dan guru besar, guru, PIBG
dan alumni.
Banyak idea bernas telah dihasilkan dalam
bengkel itu. Setakat ini, sebahagian daripada
idea tersebut telah digunakapakai oleh KPM.
Bagi memastikan kesinambungannya, ketua-ketua
kumpulan dalam bengkel itu wajar diundang
oleh Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan
untuk mendapatkan maklum balas dari semasa
ke semasa.
Bengkel itu wajar diadakan secara berkala,
sama ada pada setiap tahun atau selang setahun,
bagi muhasabah pelaksanaannya dan percambahan
idea yang baru.
Konsep kluster kecemerlangan ini bukan merupakan
diskriminasi terhadap majoriti, iaitu 9,700
buah sekolah lain yang tidak terpilih dalam
tahun pertama pelaksanaannya ini. Ia juga
bukan pilih kasih terhadap minoriti, iaitu
300 buah sekolah dalam fasa awal pelaksanaannya
ini.
Satu ketika dulu, kita mempunyai beberapa
buah sekolah yang benar-benar cemerlang. Tetapi,
kita kemudiannya melaksanakan dasar sama rata
– atas alasan berlaku adil kepada semua
– yang menyebabkan sekolah tersebut
terhalang daripada memacu kecemerlangannya
pada tahap yang diinginkannya dan yang mampu
dicapainya.
Namun demikian, terutamanya atas kecekalan
alumninya, sekolah-sekolah tersebut tetap
juga terus cemerlang, walaupun pada tahap
yang lebih rendah daripada yang diinginkannya
dan yang mampu dicapainya. Ia sekadar dapat
cemerlang pada tahap yang ditentukan oleh
dasar sama rata itu sahaja. Dengan kata-kata
lain, ia dipaksa memperlahankan pacuan kecemerlangannya.
Sekolah kluster adalah satu langkah membenarkan
sekolah yang cemerlang untuk berkembang dengan
lebih laju daripada yang dapat dilakukannya
kini, iaitu untuk memenuhi segala potensinya.
Ini bermakna memberi peluang dan ruang kepada
sekolah yang cemerlang untuk menentukan sendiri
tahap yang ingin dan mampu dicapainya.
Harus diingat bahawa makna adil bukanlah
sama rata, tetapi ialah meletakkan sesuatu
itu pada tempatnya. Dalam konteks ini, program
sekolah kluster meletakkan sekolah cemerlang
di tempat yang sesuai dengan kecemerlangannya.