Ijok pilihan raya kecil kelima
sejak pilihan raya umum 2004 dan BN menang bergaya
kesemuanya – mengalahkan semua pembangkang
– Pas di Kuala Berang dan Pengkalan Pasir,
Bebas di Batu Talam, DAP di Machap dan PKR di
Ijok.
Ini satu rekod gemilang bagi
Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
dan ketua jentera pilihan raya kecilnya, Datuk
Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Bagi PKR, sebelum
pilihan raya umum 2004, ia memenangi pilihan
raya kecil Lunas. Ketika itu, Anwar di penjara
dan tidak boleh berkempen. Tetapi, di Ijok,
Anwar telah dibebaskan dan boleh berkempen.
Jika di Lunas PKR mampu menang, maka di Ijok
PKR berkira-kira akan menang besar.
Tambahan pula, ini pilihan raya
kecil terakhir sebelum pilihan raya umum akan
datang. Bagi PKR, menang besar di Ijok akan
membawa modal moral yang besar untuk ke pilihan
raya umum tersebut. Ini terutamanya bagi Anwar
yang bercita-cita untuk kembali berkuasa dalam
politik. Kerana itu, PKR mempertaruhkan segala-galanya
di Ijok.
Bagi PKR, ia hendak memikat pengundi
Melayu iaitu kumpulan majoriti. Tetapi, bagi
BN, ia bukan hendak menang dengan apa cara sekalipun,
iaitu seperti PKR. Sebaliknya, bagi BN, ia hendak
menang dengan berprinsip dan bermaruah.
Anwar diletakkan sebagai ketua
kempen PKR sehingga ada pengundi tidak mengenali
Khalid sebagai calon yang bertanding. Kerana
itu, Ijok dianggap sebagai gelanggang Anwar.
Akibatnya, kekalahan PKR di Ijok dianggap sebagai
kekalahan Anwar.
Selesai sahaja Ijok, Majlis Tertinggi
UMNO mengulangi keputusannya sebelum ini untuk
tidak menerima semula Anwar ke dalam UMNO. Kini,
BN mula bersiap sedia menghadapi pilihan raya
umum akan datang dengan bukti kukuh bahawa majoriti
pengundi adalah bersamanya.
Pada masa sama, di sebalik siri
pilihan raya kecil tersebut, ada perkembangan
yang tidak kurang menariknya dalam pemikiran
politik tempatan. Sebelum pilihan raya umum
2004 yang lalu, polemik utamanya ialah kemunculan
isu yang digelar “politik baru”
akibat kejayaan pembangkang memenangi sejumlah
kerusi yang agak besar dalam pilihan raya umum
1999. Antara intipati pemikiran ini ialah peri
perlunya diadakan pendekatan-pendekatan baru
dalam politik.
Di luar lingkungan BN, isu ini
disuarakan kerana inginkan perubahan dalam pemikiran
rakyat agar menyambung sokongan sebahagian daripadanya
terhadap pembangkang, iaitu seperti yang diberikan
dalam pilihan raya umum 1999, supaya BN dapat
dikalahkan dalam pilihan raya umum 2004.
Dalam lingkungan BN, isu ini
disuarakan bukan sahaja untuk mengatasi kelemahannya
semasa pilihan raya umum 1999, tetapi lebih
penting untuk mematangkan penghayatan dan amalan
demokrasi di kalangan rakyat. Sebagai parti
yang proaktif dan responsif, BN menyahut keperluan
tersebut. Antaranya, ia dimulakan oleh tunggaknya,
iaitu UMNO, dengan menubuhkan Puteri dan Putera
UMNO. Ini kemudiannya diteladani oleh MIC.
Apabila Abdullah menjadi Perdana
Menteri, beliau memulakan beberapa pendekatan
baru seperti konsep bekerja “bersama”nya
dan bukannya “untuk”nya, keterbukaan
kerajaan, meningkatkan integriti dan ketelusan,
memerangi rasuah dan Islam Hadhari.
Di luar lingkungan BN, sama ada
kerana isu politik baru tidak mempunyai hujah
kukuh dan tidak lebih daripada sekadar keterujaan
sementara kerana pertambahan kerusi pembangkang
dalam pilihan raya umum 1999 itu sahaja, atau
kerana pendekatan-pendekatan baru oleh BN dan
Abdullah amat berkesan, tetapi pokoknya, selepas
kemenangan BN yang paling besar dalam sejarah
di pilihan raya umum 2004, maka isu politik
baru menjadi senyap.
Namun, dalam lingkungan BN, politik
baru masih terus dibincangkan. Ini termasuk
perkara-perkara seperti politik ilmu dan bukannya
politik ampu, politik hikmah dan bukannya politik
fitnah serta politik bakti dan bukannya politik
undi. Ia terus dibincangkan kerana BN sentiasa
terbuka untuk dinamika politik di kalangan para
pemimpin, aktivis dan ahlinya.
Mutakhir ini, di sebalik siri
pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum 2004
itu, di luar lingkungan BN, muncul pula isu
baru iaitu “menentang politik perkauman”.
Isu ini berlegar dalam nada dan nama yang pelbagai
seperti perpaduan nasional.
Pokok persoalan yang disuarakan
kononnya masalah perpaduan nasional semakin
tenat akibat wujudnya parti politik berasaskan
kaum dalam BN. Akibat kewujudan parti politik
yang berasaskan kaum itu, maka kualiti perdebatan
ahli Parlimen adalah rendah, masyarakat dan
terutamanya belia tidak berminat terhadap politik
dan kempen pilihan raya adalah bersifat perkauman.
Hujah ini amat dangkal. Adakah
ia bermaksud bahawa sekiranya kualiti perdebatan
ahli Parlimen adalah tinggi, sekiranya masyarakat
dan belia berminat dengan politik dan sekiranya
kempen pilihan raya tidak bersifat perkauman,
maka kewujudan parti politik berasaskan kaum
adalah wajar pada pandangan mereka?
Mereka juga berhujah bahawa akibat
parti berasaskan kaum, belia hari ini tidak
suka berkawan dengan belia dari kaum berbeza.
Mereka terlupa bahawa berkawan melibatkan pelbagai
faktor, termasuk psikologikal. Contohnya, belia
yang introvert tidak suka berkawan dengan sesiapa
sahaja, termasuk dari kaumnya sendiri.
Satu lagi hujahnya ialah bukan
Melayu tidak boleh menjadi Perdana Menteri.
Mereka terlupa fakta sebenarnya iaitu Yang Di-Pertuan
Agong melantik ahli Dewan Rakyat yang mendapat
sokongan teramai sebagai Perdana Menteri. Isu
kaum tidak timbul.
Di samping itu, terdapat kumpulan
yang kini menjalankan kempen bahawa “kaum
adalah tidak relevan”. Mereka menyarankan
supaya apabila mengisi borang-borang tertentu
agar jangan menuliskan kaum si-pengisi borang
di ruang yang berkaitan.
PKR pula menolak Dasar Ekonomi
Baru (DEB) dan menuduhnya pilih kasih terhadap
orang Melayu dan Bumiputera, sedangkan semua
maklum bahawa DEB jelas bertujuan membasmi kemiskinan
dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira
kaum.
Semua pendirian yang songsang
ini adalah akibat kekeliruan kerana tidak memahami
sejarah negara dan realiti primordial tentang
keperluan setiap kaum terhadap kepentingannya
asal sahaja ia tidak menindas kaum yang lain.
Atau, dalam kes tertentu, ia tidak lebih daripada
percaturan politik untuk memikat undi.
Hakikat sebenarnya ialah BN telah
berjaya membina perpaduan antara kaum yang menjadi
impian negara lain. Namun, tidak dinafikan bahawa
perpaduan yang ada kini perlu ditingkatkan.
BN sentiasa berusaha menambaiknya dari semasa
ke semasa.
Untuk menyatakan perpaduan adalah
semakin tenat, apalagi untuk mengatakan bahawa
penyebabnya adalah parti-parti berasaskan kaum
dalam BN, maka ia adalah hujah yang sengaja
diadakan-adakan dan dibesar-besarkan sahaja.
Sebenarnya, penentangan terhadap
politik perkauman ini bukanlah dibuat demi perpaduan
nasional, tetapi adalah tidak lebih daripada
mencetuskan isu bagi mengalahkan BN yang sekian
lama terbukti diterima rakyat.