Pada 15 Mei ini, sekali lagi kita merayakan
Hari Belia Negara. Tidak semua negara mempunyai
hari khusus untuk belia. Bagi yang mempunyainya,
kebanyakannya bermula sejak 1985, iaitu tahun
yang diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) sebagai “Tahun Belia Antarabangsa”.
Tetapi, kita telah merayakannya lama sebelum
itu.
Tanggal 15 Mei dipilih bersempena penubuhan
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 1964,
iaitu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
ketika itu. Bagi kita, ia bukan sahaja setakat
hari belia, tetapi ia adalah perayaan Hari
dan Minggu Belia Negara, malahan, ada sesekali,
ia disambut sebagai Hari dan Bulan Belia Negara.
Kini, pada peringkat antarabangsa, terdapat
Hari Belia Asean pada 8 Ogos, iaitu bersempena
penubuhan Asean dan Hari Belia Sedunia pada
12 Ogos, iaitu bersempena Persidangan Sedunia
Menteri-menteri Belia Yang Pertama anjuran
PBB pada 1998. Kita menganjurkan Hari dan
Minggu Belia Negara sebagai lambang perpaduan
di kalangan belia, untuk menyuarakan pandangan
gerakan perjuangan belia dan adalah pengiktrafan
rasmi kerajaan terhadap belia.
Program utama dan kemuncak perayaan Hari
dan Minggu Belia Negara ialah Perhimpunan
Hari Belia Negara di peringkat kebangsaan.
Ia dianjurkan bersama oleh dua pihak berkepentingan
utama pembangunan belia negara, iaitu KBS
yang mewakili kerajaan dan Majlis Belia Malaysia
(MBM) yang mewakili belia.
Pada dekad 70-an, penganjuran perhimpunan
ini lebih diketuai oleh MBM. Tetapi, mulai
dekad 80-an, ia dianjurkan secara bersama
oleh KBS-MBM, walaupun dalam banyak keadaan,
mungkin kerana persoalan kewangan, ia lebih
diketuai oleh KBS. Adakalanya pula, perjalanannya
seakan-akan diketuai oleh syarikat pengurusan
acara.
Sesekali, MBM membuktikan kemampuannya menganjurkan
perhimpunannya sendiri, tetapi dengan tidak
mengenepikan KBS atau menswastakannya. Contohnya
ialah Perhimpunan Patriotisme Alaf Baru pada
tahun 2001 yang dihadiri oleh 17,000 orang
belia, dirasmikan oleh Perdana Menteri dan
disiarkan secara langsung oleh RTM.
Perserta Perhimpunan Hari Belia Negara terdiri
daripada ahli-ahli badan-badan gabungan MBM
(pertubuhan pelajar, pertubuhan belia berasaskan
agama, pertubuhan belia berasaskan sosio-ekonomi,
pertubuhan pakaian seragam dan Majlis-majlis
Belia Negeri), pelbagai jenis persatuan belia
lain, institusi pengajian tinggi (IPT) dan
sebagainya.
Ia juga dihadiri oleh seluruh warga KBS dan
wakil pelbagai kementerian dan agensi kerajaan
serta kerajaan negeri, badan berkanun, pihak
swasta dan lain-lain. Tetamu kehormatnya ialah
Perdana Menteri.
Acara tradisi perhimpunan ini terdiri daripada
tiga komponen utama, iaitu pertama, ucapan-ucapan
aluan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia
(MBM), Menteri Belia dan Sukan dan Ucapan
Perasmian oleh Perdana Menteri, kedua, ikrar
belia dan ketiga, penyampaian Anugerah Belia
Negara (ABN).
Pada perhimpunan 1997, Presiden MBM tidak
diberi peluang berucap sebelum Menteri KBS
dan Perdana Menteri berucap, tetapi dibenarkan
menyampaikan ucapan terima kasih setelah Perdana
Menteri selesai berucap. MBM menentang cara
ini, lalu seluruh Exco MBM tidak menghadiri
perhimpunan tersebut sebagai tanda protes
dan hanya menghantar Presidennya sebagai tanda
hormat kepada Timbalan Perdana Menteri yang
mewakili Perdana Menteri kali itu.
Ikrar belia disediakan oleh MBM. Tetapi,
pernah ia hendak dipinda pihak lain dengan
memadamkan perkataan “keadilan”
dalam ikrar itu dengan alasan ia sama dengan
nama sebuah parti pembangkang. Pihak itu lupa
yang perkataan itu adalah sebahagian daripada
slogan MBM sejak lama, iaitu “Belia
Bertindak Untuk Kebenaran dan Keadilan”.
Adakalanya Anugerah Belia Negara disampaikan
pada majlis yang berasingan. Contohnya, ia
pernah diadakan pada 5 Disember, iaitu bersempena
Hari Sukarelawan Antarabangsa. Kali ini, ia
akan diadakan pada 9 Jun akan datang.
Anugerah ini amat penting kerana ia adalah
pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap kejayaan
belia, sama ada secara individu atau berpersatuan,
dalam pelbagai bidang. Malaysia antara negara
paling awal mengadakan program ini. Banyak
anugerah belia di negara lain adalah mengambil
teladan daripada kita.
Kisah kejayaan ini perlu didokumentasikan
dan disebarkan seluas-luasnya. Ia dapat menjadi
rujukan dan sumber inspirasi generasi masa
depan. Penerima anugerah ini sepatutnya dijadikan
ikon atau duta belia yang sebenarnya, kerana
mereka betul-betul terlibat dan berjaya dalam
kancah pembangunan belia.
Satu masa dulu, iaitu sehingga zaman Dato’
Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjadi Menteri
di KBS, anugerah ini dikenali sebagai Anugerah
Kurnia Belia Jaya (KBJ). Hadiah utamanya adalah
untuk persatuan belia paling aktif. Pernah
pengumuman pemenangnya dibuat di majlis Pelancaran
Hari dan Minggu Belia Negara yang lakukan
Menteri di tempat pemenang, manakala penyampaiannya
dilakukan di perhimpunannya.
Lazimnya, perhimpunan ini diadakan di Kuala
Lumpur. Bagaimanapun, ia pernah diadakan di
negeri-negeri, contohnya di Pahang (2000),
Perak (2001), Melaka (2002) dan Selangor (2005).
Kali ini, ia diadakan di Stadium Putra, Bukit
Jalil.
Satu daripada kebaikan perhimpunan ini diadakan
di negeri-negeri ialah memberi peluang kepada
belia negeri tersebut untuk terlibat secara
langsung dari segi menjadi tuan rumah, penganjur
dan peserta. Belia Lembah Kelang telah terlalu
biasa dengannya.
Di samping itu, kerajaan negeri berpeluang
menjadi penganjur bersama dan menyediakan
peruntukan tambahan. Antara kerajaan negeri
yang menyediakan peruntukan tambahan terbesar
ialah Perak, iaitu ketika perhimpunan ini
diadakan di Ipoh pada 2001. Perhimpunan itu
juga memegang rekod kehadiran peserta teramai,
iaitu 30,000 orang.
Perhimpunan peringkat kebangsaan diikuti
dengan perhimpunan peringkat negeri. Namun,
ada sesetengah negeri menganjurkannya pada
tarikh amat lewat. Sepatutnya, ini dituruti
oleh perhimpunan peringkat daerah. Tetapi,
ia jarang berlaku. Oleh kerana ia perayaan
selama seminggu, maka banyak program sampingan
dianjurkan.
Program intelektual tradisi diketuai MBM,
iaitu Konvensyen Belia Negara, mungkin akibat
kurang peruntukan, dianjurkan sebagai Sidang
Meja Bulat.
KBS dan MBM masing-masing pernah mengetuai
penganjuran program belia antarabangsa yang
melibatkan peserta luar negara sebagai program
tradisi perayaan ini. Tetapi, malangnya, ia
tidak dianjurkan secara berkala atau konsisten.
Ironisnya, di sebalik kita menjadi Presiden
Perhimpunan Belia Sedunia (WAY), Presiden
Majlis Belia Asia (AYC) dan Setiausaha Agung
Jawatankuasa Kerjasama Belia Asean (CAYC)
sejak sekian lamanya, malahan kita yang menubuhkan
AYC dan antara yang menubuhkan WAY, tetapi
kita belum mempunyai sebuah program belia
antarabangsa yang konsisten dan terkenal di
seluruh dunia.
Sebaliknya, negara tidak menguasai pertubuhan
belia antarabangsa, misalnya, Korea Selatan
terkenal dengan Perkhemahan Belia Antarabangsa
Musim Sejuk, manakala Jepun terkenal dengan
Program Kapal Belia Asean. Perayaan kali ini
amat signifikan kerana ia bersempena 50 tahun
kita merdeka.
Kita perlu bermuhasabah bagi meningkatkan
isi dan maknanya. Ia penting supaya ia benar-benar
berisi dan bukannya sekadar mengisi ruang
yang ada, serta benar-benar bermakna bagi
semua dan bukannya sekadar bermakna bagi pihak
tertentu saja.
Selamat menyambut Hari Belia Negara.