Pada 26 hingga 31 Mei ini, program Hari Kecemerlangan
Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kali ke-34 akan
diadakan di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi.
Program ini adalah gabungan dua siri pertandingan
dalam dua bidang kokurikulum.
Pertandingan pertama ialah debat Piala Perdana
Menteri (PPM) yang diilhamkan Allahyarham
Tun Abdul Razak ketika menjadi Perdana Menteri.
PPM pertama telah diadakan pada 1974 di The
Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Pertandingan
kedua ialah bola keranjang, juga bermula 1974,
iaitu Piala Tun Hamdan Sheikh Tahir bagi pelajar
lelaki dan Piala Toh Puan Hajah Zainab bagi
pelajar wanita.
Kedua-dua siri pertandingan ini digabungkan
sejak akhir 70-an. Kini, walaupun terdapat
pertandingan SBP yang lain, seperti Inovasi
dan Drama Bahasa Inggeris, tetapi tumpuan
utama ialah kepada Hari Kecemerlangan SBP
kerana ia pertandingan yang tertua.
Hari Kecemerlangan SBP tahun ini amat signifikan
kerana ia diadakan sempena ulang tahun ke-50
kemerdekaan Malaysia . Di samping itu, ia
juga tahun pertama pelaksanaan program Sekolah
Kluster yang memberikan kuasa autonomi kepada
sekolah. Ini adalah masa yang sesuai untuk
melakukan muhasabah dalam meningkatkan prestasi
SBP untuk menjadi sekolah bertaraf dunia.
Ketika berucap melancarkan program Sekolah
Kluster pada 30 Mac lalu, Menteri Pelajaran,
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan
bahawa beliau yakin ada sekolah di negara
ini mencapai taraf dunia.
Perkara ini turut diakui oleh Perdana Menteri
Singapura, Lee Hsien Loong.
Ketika merasmikan Hari Guru Singapura 2006,
Lee membariskan nama sekolah-sekolah terbaik
di dunia, iaitu Grammar School di Geelong
dan Melbourne (Australia), Eton dan Harrow
(Britain) dan Philips Academy di Andover dan
Groton (US).
“Di Malaysia... MCKK yang pada tahun
40-an dan 50-an, sebelum dan selepas perang,
telah melatih satu generasi pemimpin nasionalis
Melayu yang memainkan peranan penting memperjuangkan
hak orang Melayu ketika British hendak meninggalkan
Malaya dan Malaya berada di ambang kemerdekaan.
Mereka berjuang untuk masyarakat dan bangsanya
dan membentuk Malaysia yang ada kini”,
katanya.
Lee berkata, faktor utama kejayaan sekolah-sekolah
tersebut ialah bahawa mereka adalah sekolah
berasrama penuh. Ini membolehkan pelajarnya
bukan sahaja belajar bersama, tetapi juga
tinggal, bermain dan bersukan bersama, serta
saling bantu-membantu. Semua ini berlaku setiap
hari untuk beberapa tahun lamanya sehingga
membentuk keperibadian dan kepemimpinannya.
Menyedari akan kelebihan SBP, maka, antara
langkah utama Allahyarham Tun Abdul Razak
selaku Menteri Pelajaran pertama, ialah menubuhkan
SBP, iaitu sebagai kesinambungan tradisi MCKK
(ditubuhkan 1905) dan TKC (ditubuhkan 1947).
Langkah itu bermula sejak 1957 dengan penubuhan
Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah
Datuk Abdul Razak (SDAR), Sekolah Tun Fatimah
(STF), Sekolah Alam Shah (SAS), Sekolah Seri
Puteri (SSP) dan lain-lain. Kini, selepas
50 tahun merdeka, kita telah mempunyai sebanyak
54 buah SBP.
Walaupun SBP antara cara terbaik untuk menjadi
sekolah bertaraf dunia, tetapi, sekadar menjadi
SBP sahaja tidak secara automatis menjamin
akan sampai ke sana. Berdasarkan pengalaman
SBP yang telah mencapai taraf dunia itu, terdapat
faktor-faktor tertentu yang membentuk dan
membina entiti dan identiti sekolah tersebut
sehingga diiktiraf demikian.
Satu daripada faktornya ialah sekolah tidak
hanya menekankan akademik sahaja, tetapi memberikan
penekanan yang sama beratnya terhadap pemapanan
sahsiah dan kepemimpinan. Maknanya, terdapat
keseimbangan di antara akademik dan kokurikulum.
Oleh itu, penetapan 10 peratus daripada markah
yang dikira untuk memasuki institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) diambil daripada kokurikulum
adalah tepat, malahan tidak mencukupi, kerana
pemberatan kokurikulum sepatutnya sebanyak
30 peratus.
Tetapi, memberikan penekanan yang seimbang
terhadap hal ehwal murid dan kokurikulum,
iaitu dengan melahirkan pelajar yang berdisiplin
dan aktif sahaja belum tentu menjamin pemapanan
sahsiah dan kepemimpinan.
Satu daripada kaedah yang telah terbukti
berkesan dalam pemapanan sahsiah dan kepemimpinan,
misalnya di Eton dan Harrow, dan satu masa
dulu di MCKK, ialah sistem rumah dan pengawas
yang diamalkan dalam pengertiannya yang sebenar.
Kehidupan pelajar diatur mengikut sistem
rumah. Asrama disusun mengikut rumah. Setiap
kejayaan atau kegagalan pelajar melibatkan
penambahan atau penolakan markah rumahnya.
Aktiviti kokurikulum dilakukan mengikut rumah-rumah
dan pertandingan dianjurkan di antara rumah-rumah.
Di bawah pengetua, guru yang berperanan penting
ialah warden dan guru rumah. Tetapi, mereka
tidak melakukan segala-galanya. Sebaliknya,
mereka menjadi penasihat kepada kepemimpinan
pelajar, iaitu ketua murid, pengawas dan kapten
rumah yang diberikan penghakupayaan (empowerment)
untuk menguruskan hal ehwal murid dan kokurikulum.
Ketua murid dan pengawas mempunyai kuasa
tertentu, termasuk menjatuhkan hukuman terhadap
pelajar yang melakukan kesalahan-kesalahan
kecil. Manakala kapten rumah menganjurkan
aktiviti-aktiviti dalam rumah masing-masing
dan pertandingan-pertandingan antara rumah-rumah.
Hal sama berlaku di kalangan guru penasihat
persatuan, kelab, badan berpakaian seragam,
permainan dan sebagainya, dengan barisan pelajar
yang menjadi pemimpin organisasi-organisasi
tersebut. Guru memainkan peranan sebagai fasilitator,
manakala pelajar menguruskan aktiviti sebenar.
Pengecualian mungkin berlaku dalam keadaan-keadaan
yang memerlukan kepakaran khusus, misalnya
dalam permainan, di mana guru atau jurulatih
memainkan peranan yang lebih penting. Pun
begitu, pengurusan di luar gelanggang masih
dijalankan oleh pelajar.
Di bawah kerangka yang begini, aspek disiplin
pelajar dilihat dari sudut pandangan yang
berbeza. Kerana itu, jawatan guru disiplin
tidak relevan. Pembahagian pengurusan bukan
akademik kepada dua, iaitu hal-ehwal murid
dan kokurikulum juga kurang sesuai.
Satu lagi faktornya ialah guru-guru yang
cemerlang. Mereka bukan sahaja mengajar dengan
baik, tetapi juga menghasilkan buku teks yang
autoritatif. Bagi kita, contohnya ialah guru
MCKK, Muzaffar D.J. Tate (sejarah) dan Goh
Cheng Leong (geografi) dan guru STAR, Lau
Hut Yee (sains).
Di samping itu, terdapat guru-guru yang amat
berminat dan berkebolehan tinggi dalam kokurikulum.
Bagi kita, dalam debat misalnya, pernah terdapat
Mohd Amin Alang Endut dan Nadarajah (MCKK),
Saodah Abdullah dan Derma Dewi Bidin (TKC)
dan Ku Abd Hamid Ku Abdullah (Kolej Islam
Kelang - KIK).
Majoriti guru SBP hari ini amat komited.
Tetapi, oleh kerana satu-satunya indikator
kejayaan pelajar dan sekolah yang wujud ialah
dalam akademik, dan akibat kokurikulum kurang
diberikan penekanan, maka sesetengah guru
tidak dapat mengoptimumkan ilmu, kemahiran
dan minatnya.
Ttimbul persoalan, di sebalik kecemerlangan
pencapaian akademik SBP, adakah ini diperoleh
dengan melepaskan sesuatu yang lain? Kini,
SBP perlu bermuhasabah dan bersiap untuk bertanding
di pentas dunia.