Pembangunan belia lebih tersusun
Negeri Sembilan rangka program bersepadu lahir generasi muda berdaya saing
 

BELIA Negeri Sembilan menyambut Hari Belia Negara 2007 peringkat negeri dalam satu perhimpunan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sambutan hari belia di negeri itu kali ini amat signifikan kerana ia menandakan genap setahun pelaksanaan sebuah pelan tindakan pembangunan belia yang komprehensif di peringkat negeri, yang dinamakan Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan 1 2006-2010 (RPB1).

Menteri Besar adalah Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negeri. Walaupun ada yang mendelegasikannya kepada Exco yang bertanggungjawab bagi belia, tetapi Datuk Seri Mohamad menganggap tugasan itu terlalu penting untuk didelegasikan, kecuali atas sebab-sebab tertentu, maka ia diwakilkan kepada Exco berkenaan, itupun sekadar untuk mempengerusikan mesyuaratnya sahaja.

Ketika kali pertama mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negeri, iaitu pada 2004, beliau menyarankan supaya digubal satu pelan tindakan pembangunan belia yang khusus untuk Negeri Sembilan, yang selaras dengan apa-apa dasar pembangunan belia di peringkat kebangsaan, tetapi diberikan terjemahan tempatan, supaya ia benar-benar sesuai dan relevan dengan cabaran dan keperluan setempat.

Beliau melantik Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek mengetuai jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan menggubal pelan tindakan tersebut. Datuk Hasan Malek ialah bekas Presiden Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS), bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan bekas Setiausaha Agung Majlis Belia Asia (AYC).

Proses penggubalan pelan tindakan itu dipandu sendiri oleh Datuk Seri Mohamad. Ia dimulai dengan satu pertemuan makan malam di mana beliau menerangkan matlamat yang ingin dicapai melalui pelan tindakan itu.

Beliau melantik Prof. Dr. Azimi Hamzah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan satu kajian penanda aras belia Negeri Sembilan, iaitu untuk mendapatkan maklumat tepat sebelum sebuah pasukan lain ditugaskan menyiapkan pelan itu.

RPB1 siap pada akhir 2005, diluluskan oleh Majlis Perundingan Belia Negeri dan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 2006 dan pada Hari Belia Negara 2006 peringkat negeri, Datuk Seri Mohamad telah mengumumkan pelaksanaannya.

Pembangunan belia membabitkan beberapa komponen utama. Ia bermula dengan kefahaman yang tepat tentang falsafah, matlamat dan strategi pembangunan belia itu sendiri. Ini diikuti dengan penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar dan program-program pembangunan belia, penubuhan dan perjalanan institusi-institusi dan organisasi-organisasinya, pendidikan dan latihan pemimpin dan pengurusnya, serta penyaluran dan peruntukan kewangannya.

Dalam konteks ini, RPB1 adalah pelan tindakan pembangunan belia peringkat negeri yang berjalan selari dengan Misi Nasional, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), Dasar Pembangunan Belia Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional, Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia dan pelbagai inisiatif pembangunan belia yang lain di peringkat nasional serta dasar-dasar dan program-program kerajaan negeri.

Ia bermatlamat untuk membangunkan belia Negeri Sembilan supaya menjadi belia yang berkeperibadian bersepadu dan seimbang melalui dasar-dasar dan program-program pembangunan belia yang komprehensif dan antara bidang bagi memastikan transformasi belia ke arah k-ekonomi yang merupakan asas utama dalam meningkatkan keutuhan dan daya saing negara dan negeri.

Ia ingin melahirkan belia yang bersepadu dari segi spiritual, psikologikal, intelektual dan fizikalnya, berilmu dan berbudaya, berdikari, produktif, bersemangat sukarela dan berjasa kepada agama, bangsa, negeri dan negaranya.

Secara khusus, RPB1 bertujuan mewujudkan satu pandangan holistik, matlamat utama, fokus dan nilai-nilai asas dalam pembangunan belia yang diterimapakai oleh semua pihak untuk suatu masa yang tertentu. Kumpulan sasar sebenar dikenalpasti, lengkap dengan program yang benar-benar sesuai.

Bidang utama pembangunan belia dilaksanakan dengan profesional. Wujud kerangka pembangunan belia yang benar-benar bersepadu dan antara bidang dan bermula kayu pengukur yang saintifik dan berterusan bagi menilai keberkesanan setiap program.

Bagi mencapai falsafah, matlamat dan objektifnya, RPB1 mengenalpasti lima bidang utama, iaitu: pendidikan dan kemahiran, kesihatan dan kecergasan, pekerjaan dan ekonomi, jati diri dan sosio-budaya serta persatuan dan partisipasi.

Selepas dilaksanakan selama setahun, beberapa strategi dan program perintis telah mula digerakkan. Sebuah Sekretariat RPB1 ditempatkan di Yayasan Negeri Sembilan. Ia diketuai oleh Exco Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ir. Jamlus Abd Aziz dan dibantu oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Baharuddin Jali dan Presiden MBNNS, Khaidir Jamal.

Bagi MBNNS, di samping program-program tradisinya, program di bawah RPB1 yang telah dilaksanakan ialah Seminar Kepemimpinan Belia, Seminar Keibubapaan, misi 100 orang sukarelawan membantu mangsa banjir di Johor dan menerbitkan buletin Dinamika.

Di samping itu, sebagai rakan kongsi pembangunan kepada kerajaan negeri, ia menyahut program utama kerajaan negeri, iaitu “Fikirkan Pelancongan” dengan menjalankan program baru, iaitu “Fikirkan Pelancongan melalui Pelancongan Belia”.

Program itu berdasarkan konsep home stay. Setakat ini, walaupun ia baru 5 bulan diadakan, MBNNS telah berjaya membawa seramai 150 orang belia dari 20 buah negara ke Negeri Sembilan.

Kekuatan RPB1 ialah ia bukan rancangan yang dihadkan pelaksanaannya hanya kepada Exco Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, MBNNS, persatuan belia dan organisasi yang mempunyai label “belia” sahaja.

Sebaliknya, ia adalah rancangan pembangunan belia peringkat negeri yang ideanya dicetuskan dan pelaksanaannya dipantau Menteri Besar atas kapasitinya sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negeri.

Dari segi program, RPB1 menekankan soal penyelarasan program-program sedia ada; tambah nilai kepada program sedia ada; pengenalan program baru yang strategik; dan penilaian terhadap keberkesanan program.

Dari segi peruntukan pula, RPB1 menekankan soal penyelarasan peruntukan-peruntukan sedia ada; tambahan daripada sumber-sumber yang dikenalpasti; menyediakan dana yang mampu menggenerasi pendapatan (income generating); dan menggalakkan dan memotivasi persatuan-persatuan belia untuk berdikari.

Belia negeri itu perlu bersyukur dan berbangga kerana Negeri Sembilan adalah negeri pertama mempunyai pelan tindakan pembangunan belia yang sebaik itu.

 
INTI PATI
 
  • RPB1 berjalan selari dengan Misi Nasional dan pelbagai inisiatif pembangunan belia lain pada peringkat nasional serta dasar dan program kerajaan negeri.
  • RPB1 bermatlamat membangunkan belia Negeri Sembilan dengan keperibadian seimbang menerusi dasar pembangunan belia komprehensif bagi meningkatkan keutuhan daya saing.
  • RPB1 juga bertujuan mewujudkan satu pandangan holistik dan nilai asas dalam pembangunan belia dengan mengenal pasti program sesuai.
  • Lima bidang utama dikenal pasti ke arah merealisasikan falsafah, matlamat dan objektif penubuhan RPB1.
  • Program, RPB1 menekankan penyelarasan dan tambah nilai kepada program sedia ada, pengenalan program baru dan penilaian keberkesanan program.