Perarakan ke istana tidak beradap
Kenyataan Sultan Pahang bukti institusi Raja tak restu perhimpunan haram
 

Sabtu lalu, ketika diminta mengulas kenyataan Istana Negara yang menafikan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan atau menyokong perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah memberi jaminan bahawa Raja-Raja Melayu tidak akan terbabit dalam kancah politik bagi memenuhi kepentingan golongan yang menentang kerajaan.

Terdahulu dari itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan telah menyatakan Yang Di-Pertuan Agong kesal kerana beberapa pihak mendakwa perhimpunan haram itu mendapat perkenan dan sokongan baginda.

Sultan Pahang mengingatkan pihak terbabit supaya menghentikan sebarang cubaan untuk mengheret institusi raja dalam kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang.

Baginda bertitah, “Saya dukacita dengan fitnah mengatakan kononnya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan dan menyokong perhimpunan haram itu kerana ia tidak benar sama sekali. Kita tidak boleh jadi kumpulan haram yang tak ikut undang-undang negara, malah sebagai orang Melayu, kita tidak boleh memfitnah, membenci sesama sendiri dan memburukkan orang lain, terutama raja yang kita sayangi”.

“Bagi saya, tindakan mereka cuba mengheret raja dalam kegiatan bertentangan undang-undang amat tidak wajar. Sebagai raja, kita menyokong kerajaan yang diberi kuasa oleh rakyat dan parti yang memerintah”, titah baginda lagi.

Kini, para pendukung perhimpunan haram itu mempersoalkan kenyataan Istana Negara tersebut. Contohnya, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan penulis laman web MalaysiaToday.com, Raja Petra Kamarudin mendakwa kekesalan Yang di-Pertuan Agong itu sekadar kenyataan Pengelola Istana Negara sahaja, yang kononnya dibuat oleh seorang pegawai lantikan politik yang mengikut arahan pihak tertentu.

Persoalannya, apakah mereka juga mempersoalkan titah Sultan Pahang itu? Ini membuat kita mengulangi soalan apakah sebenarnya motif perhimpunan haram itu?

Menurut pendukungnya, ia bukannya perhimpunan, tetapi hanyalah satu perarakan untuk mengiringi memorandum yang hendak disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong. Persoalannya, adakah itu cara yang sesuai, tertib, sopan dan beradab? Bukankah institusi raja itu tinggi dan mulia dan kita dididik supaya mematuhi adab tertentu untuk menyembah raja, apalagi untuk menyembahkan sesuatu kepada baginda?

Ini bukan bertujuan untuk menunjukkan bahawa raja kita jauh daripada rakyat. Kita sedia maklum bahawa raja-raja kita amat berjiwa rakyat dan amat dekat dengan rakyat. Ini hanya menyoal adab mereka. Dan oleh kerana raja kita berjiwa rakyat dan dekat dengan rakyat, maka kita menyanggah alasan mereka yang kononnya kalau memorandum itu tidak diiringi oleh perarakan maka ia tidak akan sampai kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sebenarnya, alasan-alasan mereka adalah tidak lebih daripada satu percubaan untuk menaikkan taraf atau menghalalkan satu perlakuan yang salah dengan memberikannya jenama atau akhiran yang mulia, iaitu dengan cuba mengheret raja.

Apabila rakyat bersungut tentang kesesakan jalan raya di ibu kota pada 10 November itu, mereka menyalahkan polis yang mengadakan sekatan jalan raya yang kononnya menimbulkan masalah tersebut. Persoalannya ialah takkanlah polis hendak biarkan sahaja perhimpunan haram itu diadakan. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, maka adakah polis akan dipersalahkan kerana tidak mencegahnya?

Dalam teori demokrasi, perhimpunan dan perarakan tidak salah. Tetapi, dari segi praktisnya, ia adalah cara yang tidak menjamin bahawa matlamatnya akan dapat dicapai. Sebab itu ada maxim “matlamat tidak menghalalkan cara”. Cara-cara yang tidak melibatkan perhimpunan dan perarakan terbuka luas di negara ini. Sebab itu perhimpunan haram bukan budaya kita.

Di negara-negara yang perhimpunan dan perarakan menjadi budaya kerana begitu acap kali diadakan, demokrasinya tidak juga semakin sempurna. Benar, kerajaannya sering bertukar. Tetapi rakyatnya tetap juga susah. Justeru, sayugia diingat, bahawa demokrasi yang baik bukanlah dikira dari segi kekerapan rakyat menukar kerajaan tetapi dikira dari segi kemakmuran dan kesejahteraan yang diberikan kerajaan yang dipilih rakyat.

Adakah memorandum yang disampaikan itu mengandungi perkara yang begitu mendesak sehingga mewajarkan perhimpunan haram itu? Jawabnya tidak. Ia mengandungi beberapa aduan terhadap kelemahan sistem pilihan raya yang diadakan di negara ini. Ini isu lama.

Isu ini rancak selepas BN menerima tamparan hebat dalam pilihan raya umum 1999. Pembangkang ghairah untuk menewaskan BN pada 2004. Pelbagai kajian dan cadangan berkaitan dengan sistem pilihan raya kita telah diadakan. Sebahagiannya berbau politik.

Sebahagiannya akademik, seperti Mohd Yusof Kasim dan Azlan Ahmad (2002), Politik Baru dalam Pilihan Raya Umum; Francis Loh Kok Wah dan Johan Saravanamuttu (2003), New Politics in Malaysia; dan Mavis Puthucheary dan Norani Othman (2005), Elections and Democracy in Malaysia. Walaupun buku Puthucheary dan Norani terbit selepas pilihan raya 2004, tetapi tumpuannya ialah sehingga pilihan raya 1999.

Tetapi, selepas BN menang besar dalam pilihan raya umum 2004, maka keghairahan menyalahkan sistem pilihan raya tidak lagi kelihatan.

Ia rancak kembali dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam pada Januari lalu di mana Pas dan PKR memboikotnya kerana kononnya pilihan raya yang telah dijalankan selama ini sarat dengan penipuan, penyelewengan, pembohongan, kepincangan dan ketempangan. Tetapi, anehnya, dalam diam-diam, mereka dan DAP berkempen untuk calon Bebas dalam pilihan raya kecil tersebut!

Selepas itu, dalam pilihan raya kecil DUN Bachap dan DUN Ijok, DAP dan PKR bertanding manakala Pas berkempen membantunya. Persoalannya ialah, sekiranya alasan untuk memboikot Batu Talam itu dibuat atas lunas-lunas kebenaran, maka mengapa pula Bachap dan Ijok tidak diboikot?

Sekiranya sistem pilihan raya kita begitu bermasalah dan tidak adil, maka bagaimana dengan kemenangan calon-calon pembangkang kini dan sebelum ini? Bagaimana dengan kemenangan Pas di Kelantan hari ini dan di Terengganu sebelum ini? Bagaimana dengan calon-calon Pas yang menang semasa berada dalam BN pada pilihan raya umum 1974?

Adakah sistem pilihan raya dikira betul apabila pembangkang menang, tetapi apabila kalah, maka ia dikira salah? Adakah kebenaran sesuatu perkara itu dilihat dari sudut kemenangan dan kekalahan? Bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, adakah sistem pilihan raya kita betul apabila beliau berada dalam kerajaan dan menjadi salah dengan tiba-tiba apabila beliau berada di luar kerajaan?

Jika digunakan ukuran pembangkang (bila menang sistem itu betul, tetapi bila kalah sistem itu salah), maka, sistem pada pilihan raya umum tahun 1969lah yang paling baik, kerana pembangkang menang paling besar. Tetapi, lihatlah akibatnya – 13 Mei!

Ada yang menganggap sistem pilihan raya Amerika Syarikat (AS) adalah yang terbaik. Tetapi, menurut Arend Lijphart (1999) dalam bukunya Patterns of Democracy, sistem majoriti AS tidaklah lebih baik daripada sistem konsensus yang diamalkan Switzerland.

Sebenarnya, apa yang penting ialah kita sentiasa memperbaiki sistem pilihan raya yang ada. Dalam hal ini, banyak penambahbaikan diadakan, bukan sahaja dalam sistem pilihan raya, bahkan juga dalam iklim politik dan demokrasi, terutamanya pada era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini. Benar, ia belum sempurna. Tetapi terimalah hakikat bahawa ia telah menjadi semakin baik.