Walaupun junta tentera diktator
yang memerintah negara itu secara tidak sah
menukar namanya kepada Myanmar pada 1989, tetapi
majoriti rakyatnya, terutama para pejuang prodemokrasi,
lebih suka menggunakan nama asalnya, iaitu Burma.
Nama asal itulah juga yang digunakan 16 buah
pertubuhan belia dan badan masyarakat sivil
(CSO), yang disokong Pemuda Barisan Nasional
(BN), yang menggelar dirinya Perikatan Belia
Malaysia Untuk Keamanan Dan Kebebasan Di Burma
yang mengadakan perhimpunan aman di depan kedutaan
negara itu di Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Inisiatif menganjurkan perhimpunan
itu dimulakan oleh Penasihat Persaudaraan Buddhis
Sedunia dan Pergerakan Belia Malaysia (YMM),
Loka Ng Sai Kai dan Presiden Persatuan Pemuda
Negara Malaysia, Stephen Doss.
Ia bertujuan menunjukkan solidariti
dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Burma
serta mengutuk dan mendesak junta tentera menghentikan
kekejaman terhadap sami Buddha, pejuang demokrasi
dan wartawan dalam demonstrasi di Rangoon (bukan
Yangon seperti yang digunakan junta) pada minggu
sebelumnya.
Pada perhimpunan itu, memorandum
dibacakan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Ini diikuti dengan Presiden YMM, Ng Chin Long
melepaskan 10 ekor burung merpati sebagai simbolik
kebebasan dan Loka Ng Sai Kai memulakan peletakan
40 jambak bunga di pagar kedutaan itu sebagai
simbolik keamanan.
Selepas itu, penulis, selaku
Pengerusi Akademi Belia, mengetuai delegasi
bersama Khairy, Loka Ng Sai Kai, Ng Chin Long,
Datuk Mah Siew Keong (Ketua Pemuda Gerakan)
dan Rajaratnam (Presiden Majlis Belia India
Malaysia) bertemu kaunselor kedutaan, Win Myint,
yang dikalungkan bunga malai oleh Rajaratnam
sebagai simbolik kita tidak bermusuh dengan
sesiapa.
Delegasi itu menyerahkan memorandum
tersebut serta menerangkan kandungan dan kepentingannya.
Memorandum itu menyuarakan aspirasi belia kita
terhadap demokrasi, governans baik, hak asasi
manusia dan maruah manusiawi serta kebimbangan
terhadap keselamatan rakyat Burma, terutamanya
sami Buddha yang mengetuai tuntutan terhadap
hak untuk berhimpun dan kebebasan bersuara.
Memorandum itu meliputi 6 perkara.
Pertama, mendesak dikembalikan keamanan dan
kestabilan dengan tentera menghentikan kekerasan
terhadap rakyat.
• Mendesak dikembalikan
keamanan dan kestabilan dengan tentera menghentikan
kekerasan terhadap rakyat;
• Mendesak dihentikan penangkapan,
penyeksaan dan perbicaraan yang tidak mengikut
standard antarabangsa terhadap pejuang rakyat
serta menghapuskan undang-undang yang mengongkong
kebebasan dan memperbaiki keadaan penjara. Ada
kira-kira 1,100 orang tahanan politik, terutama
pengikut parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD)
pimpinan Aung San Suu Kyi;
• Mendesak ekonomi dibangunkan
dengan saksama, tidak membebankan rakyat dan
menghentikan penggunaan buruh paksa. Terdapat
70,000 tentera kanak-kanak di Burma (tertinggi
di dunia), harga petroleum naik 500 peratus,
berbelanja kurang daripada AS$1 (RM3.50) seorang
untuk kesihatan, tidak serius menangani HIV/AIDS
dan negara tertinggi rasuah;
• Mendesak supaya menghormati
hak asasi rakyat dengan menghentikan perintah
berkurung di Rangoon dan bandar lain, mengembalikan
kebebasan dan liputan media, menghentikan propaganda
kerajaan serta menghentikan pencerobohan dan
penyembelihan terhadap golongan etnik minoriti.
Dalam beberapa bulan terakhir ini, junta telah
memusnah, membakar dan menghalau penduduk 3,000
kampung di timur negara itu. Kira-kira 1.5 juta
rakyatnya menjadi pelarian, sama ada di negara
jiran atau terperangkap dalam hutan di sempadan;
• Mendesak diwujudkan toleransi
beragama dengan menghentikan pencerobohan terhadap
kuil Buddha dan memberi amaran bahawa pembunuhan
sami-sami itu bukan caranya untuk mempertahankan
dan melindungi Buddhisme, dan
• Mendesak dihidupkan semula
proses demokrasi dengan membebaskan satu-satunya
penerima Hadiah Nobel yang berada dalam tahanan,
iaitu Suu Kyi, iaitu pemimpin pilihan raya umum
bebas dan adil yang dipantau oleh badan antarabangsa.
Delegasi itu juga mengingatkan
bahawa dalam ucapannya di Perhimpunan Agung
PBB minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi telah mengkritik junta
secara terbuka – pertama kali dilakukan
oleh pemimpin Malaysia – mempamerkan rasa
tidak senang Malaysia terhadap kelakuan junta.
Selepas itu, penulis dan Khairy
menerangkan tentang pertemuan itu kepada perhimpunan.
Kini, keadaan kembali tenang.
Ia akibat tentera berkawal ketat di semua bandar
utama, mengepong kuil-kuil Buddha dan menahan
6,000 orang, termasuk 4,000 orang sami.
Demonstrasi minggu lalu adalah
yang terbesar dalam tempoh 20 tahun. Ia mengorbankan
berpuluh-puluh nyawa walaupun berita rasmi junta
menyatakan hanya 10 orang terbunuh. Dalam demonstrasi
pada Mac dan April 1988, lebih 3,000 nyawa telah
terkorban.
Demonstrasi terbaru ini dicetuskan
oleh kenaikan harga minyak, manakala demonstrasi
1988 dicetuskan oleh kenaikan harga beras. Namun,
ia bukan sangat kerana masalah harga barang
yang semakin naik. Sebenarnya, ia adalah kerana
masalah maruah dan nilai kemanusiaan yang semakin
merudum.
Dalam tempoh 45 tahun pemerintahan
tentera, iaitu sejak 1962, rakyat Burma telah
ditindas dengan teruknya.Isnin lalu bukanlah
kali pertama belia kita bersatu dengan rakyat
Burma. Sejak tahun 80-an lagi, belia kita telah
membantu pelarian Islam Burma, seperti kaum
Rohingya.
Rohingya, seperti juga etnik
minoriti lain, iaitu Karen, Mon, Chin, Kachin,
Shan dan Rakhin, yang membentuk 35 peratus daripada
rakyat Burma, menduduki kawasan-kawasan tanah
tinggi yang kaya dengan hasil mahsul. Junta
ingin membolot sumber itu lalu mendudukinya
dengan membunuh dan menghalau mereka.
Pilihan raya umum terakhir diadakan
pada May 1990. Ia dimenangi NLD yang mendapat
82 peratus daripada undi. Suu Kyi sepatutnya
ditabal sebagai Perdana Menteri. Tetapi, tentera
telah menolak keputusan tersebut.
Suu Kyi pula terus dikenakan
tahanan di rumah, iaitu penyiksaan yang terpaksa
dilaluinya dari 1989 hingga 1995, dari 2000
hingga 2002 dan dari Mei 2003 hingga sekarang.
Ini menyebabkan beliau terpisah dengan suaminya,
Michael Aris (meninggal 1999) dan dua orang
anak lelaki mereka, Alexander dan Kim.
Pemikiran Suu Kyi, iaitu tentang
demokrasi pelbagai parti untuk semua rakyat
dari pelbagai etnik dan penentangan secara tanpa-kekerasan
dapat dilihat melalui 7 buah bukunya, terutamanya
Freedom from Fear (1991) dan Letters form Burma
(1997).
Menurut Justin Wintle (2007)
dalam bukunya Perfect Hostage: A Life of Aung
San Suu Kyi, di sebalik segala tribulasi itu,
Suu Kyi tetap tabah memimpin gerakan demokrasi
dan hak asasi serta menentang regim junta. Ini
menjadikan beliau ikon yang sebaris dengan Mahatma
Ghandi, Martin Luther King dan Nelson Mandela.
Pada 1988, perjuangan rakyat Burma tidak disambut
dengan sewajarnya oleh masyarakat antarabangsa
yang bercakaran dan gagal mengadakan tindakan
yang konkrit lalu membiarkan junta yang zalim
itu terlepas dari hukuman.
Kini, junta sekali lagi menembak
dan membunuh pejuang rakyat Burma. Mampukah
dunia mengelakkan daripada melakukan kesilapan
yang sama sekali lagi?