Sejak pilihan raya kampus semua
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diadakan
secara serentak dan melibatkan koordinasi peringkat
tertinggi mulai sesi 2001/2002, pilihan raya
sesi 2007/2008 pada 2 Oktober lalu mungkin yang
paling berwarna-warni.
Apa yang paling menyerlah ialah
pengundian di Kolej Ke-12 Universiti Malaya
(UM), iaitu universiti tertua dan pendahulu
calon Universiti Apex serta peneraju gerakan
mahasiswa negara, terpaksa diadakan semula akibat
kewujudan pengundi hantu.
Di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) pula, tempoh penamaan calon
terpaksa dilanjutkan akibat bantahan mahasiswa
yang tidak puas hati terhadap masa yang diberikan
untuk mengemukakan calon dan persediaan menghadapi
pilihan raya itu.
Kali ini, dua insiden itu menenggelamkan
sedikit cerita tentang rungutan mahasiswa terhadap
pilihan raya kampus pada setiap tahun seperti
pengaruh parti kerajaan dan ahli politik tertentu,
pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) berat sebelah,
peraturan dan pendekatan yang membudaksekolahkan
mahasiswa dan sebagainya.
Dari satu segi, ini menimbulkan
tanda tanya terhadap keberkesanan pengurusan
dan pelaksanaan pilihan raya kampus yang terbit
daripada undang-undang induknya, iaitu Akta
Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), terutama
pindaan 1975nya tentang hal ehwal mahasiswa,
khususnya dari segi politik.
Insiden di UM dan UIAM itu menunjukkan
AUKU tidak menjadikan pilihan raya kampus lebih
licin atau menjadikan pegawai pilihan rayanya
lebih cekap.
AUKU tidak meningkatkan partisipasi
mahasiswa dalam politik kampus. Kali ini, peratusan
membuang undi merosot di tujuh buah IPTA manakala
langkah IPTA tertentu menyediakan hadiah cabutan
bertuah kepada mahasiswa yang keluar mengundi
adalah satu penghinaan terhadap keilmuan di
samping mengembangkan politik wang.
AUKU juga tidak membantu penjanaan
kepemimpinan mahasiswa. Sekiranya terdapat sebilangan
kecil kerusi dimenangi tanpa bertanding, maka
itu adalah adat politik. Tetapi, sehingga lebih
seratus kerusi dimenangi tanpa bertanding dan
tiga IPTA tidak perlu mengadakan pengundian
kerana semua kerusi menang tanpa bertanding.
Sesungguhnya perkembangan ini
tidak boleh dibanggakan. Oleh yang demikian,
dalam semangat Idil Fitri – kembali kepada
fitrah – ini, eloklah kita bermuhasabah
untuk mengembalikan pilihan raya kampus khususnya
dan hubungan antara mahasiswa dengan politik
amnya kepada fitrah sebuah universiti dalam
pengertiannya yang sebenar.
Satu daripada caranya ialah dengan
meminda AUKU, iaitu terutamanya peruntukan yang
dibuat dalam pindaannya pada 1975 kerana ia
mengongkong dan mengawal gerakan mahasiswa.Peruntukan
yang dimaksudkan itu, antaranya, ialah Seksyen
15(1), 15(2), 15(3), 15(4), 15(5), 15A, 15B,
15C, 15D(1), 15D(2), 16, 16B(1), 16B(2), 16B(3)
dan 16C(1).
Manakala kongkongan dan kawalan
tersebut, antaranya, ialah:
• Melarang mahasiswa atau
pertubuhan mahasiswa daripada memanggil, berhimpun
atau mengorganisasikan perhimpunan seramai lebih
dari lima orang tanpa terlebih dahulu mendapat
kebenaran bertulis dari Naib Canselor atau wakilnya.
• Mahasiswa tidak boleh
menyertai mana-mana perhimpunan yang diadakan
kecuali mendapat kebenaran dari Naib Canselor
atau orang yang diberi kuasa olehnya.
• Mahasiswa, pertubuhan,
badan atau kumpulan mahasiswa tidak dibenarkan
mempunyai atau mengguna pembesar suara atau
seumpamanya.
• Melarang mahasiswa menggunakan
bendera, sepanduk, pelekat, poster dan seumpamanya.
• Melarang mahasiswa atau
pertubuhan mahasiswa daripada menjalankan sebarang
ativiti di luar kampus kecuali dengan kebenaran
bertulis Naib Canselor.
• Melarang mahasiswa dari
mengambil bahagian dalam apa-apa perniagan,
pekerjaaan atau aktiviti lain secara sepenuh
masa atau sambilan yang menurut Naib Canselor
adalah tidak diingini.
• Melarang mahasiswa dan
pertubuhan mahasiswa daripada menjadi ahli atau
bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti
politik, kesatuan sekerja dan lain-lain kecuali
sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan
Universiti atau diluluskan terlebih dahulu secara
bertulis oleh Naib Canselor.
• Melarang mahasiswa dan
pertubuhan mahasiswa daripada menyatakan sokongan,
simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti
politik, kesatuan sekerja dan badan-badan lain.
• Melarang mahasiswa atau
pertubuhan mahasiswa daripada memungut wang.
• Pemegang jawatan atau
orang yang menguruskan kumpulan mahasiswa adalah
disifatkan melakukan kesalahan sekiranya kesalahan
dilakukan atas nama atau bagi pihak persatuan
atau kumpulan mahasiswa itu, melainkan dapat
dibuktikan bahawa kesalahan itu dilakukan tanpa
pengetahuannya dan dia /mereka telah berusaha
mencegah kesalahan itu. Dia/mereka boleh didakwa
atas kesalahan itu walaupun dia/mereka tidak
mengambil bahagian dalam melakukan kesalahan
itu.
• Melarang mahasiswa mengorganisasikan,
mengapikan atau menyertai pemboikotan sesuatu
peperiksaan, kuliah, tutorial, kelas atau aktiviti
lain yang sah dijalankan oleh atau di bawah
arahan atau dengan kebenaran universiti.
• Melarang mahasiswa atau
pertubuhan mahasiswa daripada membuat rayuan
atau apa-apa perhubungan lain dengan pihak akhbar
atau orang ramai berkaitan dengan universiti
sama ada secara lisan, tulisan atau apa jua
cara sekalipun.
• Melarang menerbit atau
mengedar dokumen di dalam atau di luar kampus
kecuali dibenarkan oleh naib Canselor.
• Jika seseorang
mahasiswa tidak mematuhi atau melanggar sesuatu
arahan atau kehendak yang sah diberi atau dibuat
oleh mana-mana pegawai atau pekerja Universiti
yang diberi kuasa untuk memberi atau membuatnya
dalam kampus maka mahasiswa itu adalah bersalah
atas kesalahan tatatertib.
Adakah semua mahasiswa menentang
peruntukan itu? Mungkin tidak. Tidak semua menentangnya
pada 1971 dan pada 1975. Mungkin begitu juga
hari ini. Ini kerana tidak semua tahu AUKU.
Ada yang tidak tahu langsung. Ada yang tahu,
tetapi tidak ambil kisah.
Pokoknya, mahasiswa lesu sejak AUKU. Kerana
itu, pindalah AUKU sebelum mahasiswa menjadi
kaku. Kepada seluruh mahasiswa dan pembaca akhbar
ini, saya mengambil kesempatan menerusi ruangan
ini mengucapkan selamat hari raya maaf zahir
batin.