BERMULA 13 Oktober hingga 8 Disember
ini, 27 orang pengetua sekolah mengikuti kursus
kepemimpinan di Kings College, London. Menurut
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein,
keupayaan mereka akan diuji semasa kursus itu
dan ia akan mempengaruhi penentuan penempatan
ke sekolah kluster nanti.
Kursus sebegini memang penting
bagi meningkatkan prestasi pengetua kerana mereka
bukan sahaja memimpin organisasi biasa, tetapi
memimpin organisasi pendidikan. Pengetua adalah
k-pemimpin, iaitu pemimpin berasaskan keilmuwan.
Tetapi, bukannya sebagai k-pemimpin biasa, sebaliknya
adalah sebagai k-pemimpin pendidikan.
Walaupun pengetua adalah k-pemimpin,
tetapi, dari sudut pengurusan KPM, mereka mungkin
dilihat sebagai k-pekerja, iaitu pekerja berasaskan
keilmuan. Ini tidak salah.
Dalam konteks ini, pengetua perlu
dilihat sebagai inovator, perekacipta serta
pemasar produk dan perkhidmatan yang ditawarkan
KPM. Pengetua adalah strategis, eksekutif dan
pakar yang idea dan kerjanya amat mempengaruhi
kejayaan KPM. KPM amat bergantung kepada mereka.
Kerana itu, mereka perlu diberi imbuhan lebih
tinggi sesuai dengan peranannya itu berbanding
golongan pekerja lain.
Menurut pemikir pengurusan ilmu
terkemuka, Thomas H. Davenport (2005) dalam
bukunya Thinking for a Living, banyak organisasi
gagal memaksimumkan produktiviti k-pekerjanya
kerana menggunakan sistem pengurusan yang sama-bagi-semua
(one-size-fits-all) yang ternyata tidak efektif.
K-pekerja katanya amat berbeza
dengan pekerja lain dari segi motivasi, sikap
dan keperluan terhadap autonomi, dan kerana
itu, memerlukan pendekatan pengurusan yang tidak
konvensional bagi memastikan mereka lebih produktif.
Pada masa yang sama, satu daripada
tekanan yang dihadapi pengetua hari ini ialah
keperluan untuk menjadi ketua pegawai eksekutif
(CEO) sekolah.
Jika di United Kingdom dan beberapa
negara lain, terutamanya mulai dekad 80-an,
iaitu akibat kesan langsung daripada langkah
memberikan sekolah lebih autonomi. Kini, di
samping peranan sebagai “ketua pendidikan”,
pengetua juga dikehendaki menjadi “ketua
pengurusan”.
Sebagai ketua pendidikan, peranan
utamanya ialah berkaitan dengan akademik, sahsiah
dan kokurikulum, walaupun mereka juga terlibat
dengan menyediakan kerangka pengurusan yang
kondusif untuk proses pendidikan berjalan dengan
licin dan lancar,manakala sebagai ketua pengurusan,
peranan utamanya ialah berkaitan pengurusan
sekolah sebagai sebuah organisasi, merancang,
mengarah dan mengkoordinasi sumber dan aktiviti
secara sistematik.
Tidak dinafikan bahawa pengetua
perlu memainkan kedua-dua peranan tersebut sekaligus.
Tetapi, ia mestilah dilaksanakan dengan memberikan
penekanan yang lebih terhadap peranannya sebagai
ketua pendidikan.
Apa yang dibimbangi ialah jika
peranannya sebagai ketua pengurusan yang diberikan
penekanan yang lebih berbanding dengan peranannya
sebagai ketua pendidikan. Keadaannya lebih kritikal
bagi pengetua sekolah kluster.
Adalah dicadangkan agar di samping
jawatan Penolong-penolong Kanan Akademik, Hal
Ehwal Murid dan Kokurikulum yang sedia ada kini,
perlu diwujudkan satu jawatan baru, iaitu Penolong
Kanan Pentadbiran/Kewangan, bagi meringankan
beban kerja pengurusan seseorang pengetua.
Hari ini, k-pekerja dan k-pemimpin
wujud di pelbagai sektor dan tidak terhad dalam
sektor pendidikan sahaja. Tetapi, sektor pendidikan
tidak boleh disamakan dengan sektor-sektor yang
lain. Kerana itu, tidak semua k-pekerja dan
k-pemimpin layak dan sesuai berada dalam sektor
pendidikan.
Sektor pendidikan memerlukan
kelayakan dan kesesuaian yang khusus. Ini terutamanya
kerana sebagai k-pemimpin pendidikan, pengetua
(dan juga pegawai KPM) bukan sahaja diharapkan
menjadi k-pemimpin dalam ertikata “ketua”
sahaja, tetapi sebenarnya diharapkan menjadi
“pemimpin transformasional”.
Menguruskan sekolah tidak sama
dengan menguruskan organisasi lain. Ia memerlukan
penguasaan yang tinggi terhadap visi dan nilai
tertentu, tradisi sekolah, kepercayaan, kerja
sepasukan secara collegial, pengajaran dan pembelajaran
(P&P) dan sebagainya.
Dalam konteks sekolah kluster
yang diberikan autonomi, pengetua berpeluang
menjadi lebih kreatif, inovatif dan mengoptimumkan
potensi sebagai k-pemimpin pendidikan.
Sekolah kluster adalah projek
yang bercita-cita tinggi. Mesti ada keazaman
politik serta ketulusan dan ketelusan untuk
membenarkan sekolah kluster menjadi cemerlang
mengikut acuan dan pacuannya sendiri serta menepis
sebarang tekanan yang ingin menjadikannya sebaliknya.
Elakkanlah paradoks, iaitu dari
satu segi, mahu sekolah tersebut menjadi yang
terbaik, hatta yang ulung, tetapi dari segi
yang lain, seolah-olah menghalangnya daripada
menjadi yang terbaik, jauh sekali menjadi yang
ulung.
Cita-cita yang tinggi ini akan hanya dapat direalisasikan
sekiranya semua pihak memfasilitasi dan memotivasi
pelaksanaannya, termasuklah dalam pemilihan
pengetua.
Sesekali, kita akan bertemu pengetua
yang luar biasa kecemerlangannya. Pengetua begini
perlu disambung khidmatnya apabila sampai masa
persaraannya. Walaupun ia belum pernah berlaku,
tetapi ia boleh dimulakan, terutamanya bagi
sekolah kluster. Lagipun ia lazim berlaku di
kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
Contoh pengetua begini ialah
Tengku Azuan Tengku Mohamed, yang sejak 16 November
2005, menjadi Pengetua Cemerlang (JUSA C) Kolej
Tunku Kurshiah (TKC), iaitu sekolah berasrama
penuh (SBP) perempuan tertua dan sebuah sekolah
kluster. Sebelum itu, beliau pernah menjadi
pengetua Sekolah Seri Puteri (SSP), iaitu sebuah
SBP premier.
Kecemerlangan Tengku Azuan bukan
sahaja terhad sebagai pengetua di sekolahnya
sahaja, tetapi juga diiktiraf di luar. Beliau
pakar rujuk kepemimpinan dan profesionalisme
sekolah, kepemimpinan instruksional, audit akademik
SPM dan PMR dan sistem rumah.
Beliau juga Bendahari Majlis
Pengetua Kanan Kebangsaan, Pengerusi Majlis
Pengetua SBP Zon Selatan, Ketua Fasilitator
Headcount KPM, Ahli Jawatankuasa Pengurusan
PTK Bahagian Pendidikan Guru dan Panel Penilaian
Pencalonan Pengetua Kanan.
Dalam tempoh tidak sampai dua
tahun di TKC, Tengku Azuan telah memulakan transformasi
mengembalikan keunggulan dan kegemilangan TKC
dalam semua bidang, terutamanya tradisi TKC
yang menyeimbangkan akademik dan kokurikulum.
Beliau komited terhadap sekolah
kluster dan telah memulakan dengan amat baik
kerja-kerja tinggal landasnya (take off), malahan
sebahagiannya, terutama tiga kebitaraan TKC,
iaitu kepemimpinan, bahasa-bahasa antarabangsa
dan penyelidikan dan pembangunan (R&D),
telahpun dilaksanakan dengan jayanya.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
dan Persatuan Murid Tua (OGA) TKC akrab dan
memberikannya sokongan padu dan telah memohon
supaya khidmatnya sebagai Pengetua TKC disambung
demi kesinambungan, kelicinan dan kejayaan TKC.
Menurut sumber yang boleh dipercayai,
tokoh politik dan profesional KPM amat memahami
permohonan itu. Tetapi malangnya, ia disekat
oleh sistem dan birokrasi. Tengku Azuan bersara
wajib pada 9 Oktober lalu – satu kerugian
besar bagi semua, khususnya pelajar TKC.