KETIKA demam pilihan raya umum akan datang
bertambah hangat, maka semakin panaslah cerita
dunia politik. Ada yang asyik meramal tarikh
pilihan raya diadakan, ada yang asyik mengira-ngira
siapakah saingan yang perlu dicantas dan siapakan
rakan yang perlu dipromosi sebagai calon,
ada yang asyik ke hulu ke hilir menonjolkan
diri sebagai bakal calon, manakala ada parti
politik yang asyik berebut kerusi untuk calonnya.
Sebagai ilmu tentang cara pemerintahan –
ilmu siasah dan ilmu kenegaraan – politik
secara idealnya membahagiakan semua atau sekurang-kurangnya
tidak melaga-lagakan sesesiapa. Politik menjanjikan
sebuah negara ibarat sebuah taman yang nyaman.
Tetapi, oleh kerana politik juga melibatkan
kelicikan dan muslihat, maka ia tidak semestinya
sentiasa menghasilkan taman yang nyaman itu.
Politik tidak sunyi dari kelemahan. Antara
kelemahan politik hari ini ialah politik wang,
rasuah, cantas mencantas, payung terjun, kronisme,
nepotisme, cepat kaya, politikus badut dan
sebagainya.
Justeru, ada keperluan yang mendesak untuk
diadakan pemikiran semula tentang politik.
Satu daripada pendekatan – malahan adalah
pendekatan paling integral lagi kritikal –
untuk merealisasikan politik yang ideal ialah
melalui integriti politik.
Seruan meningkatkan integriti politik menjadi
lebih konkrit sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi menjadi Perdana Menteri. Ini ditandai
terutamanya dengan mewujudkan Institut Integriti
Malaysia (IIM) dan Pelan Integriti Nasional
(PIN).
Agenda integriti politik bertujuan untuk
mengekalkan keluhuran Perlembagaan dan sistem
politik negara yang berasaskan demokrasi yang
menggabungkan institusi Raja berperlembagaan
dan pemerintahan berparti; mengekalkan kedaulatan
dan meningkatkan keutuhan institusi Parlimen
sebagai penggubal undang-undang yang luhur;
mengamalkan politik yang berintegriti serta
pengembangan budaya politik yang sihat, beretika,
matang dan demokratik mengikut acuan sendiri;
dan memantapkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban
dan governans terbaik.
Matlamatnya ialah untuk mempertahankan dan
memperkukuhkan sistem politik yang telah kita
amalkan selama ini, iaitu yang telah terbukti
berkesan dan berjaya membawa kestabilan, keharmonian
dan pembangunan kepada rakyat berbilang kaum,
budaya dan agama. Pada masa yang sama, apa-apa
kelemahan dan kekurangannya perlu diperbaiki.
Politikus seharusnya kaya dengan idealisme
politik dan memiliki kepakaran atau kemahiran
dalam sesuatu bidang. Ini penting untuk memberikannya
nilai-tambah dalam partisipasi politiknya.
Sekiranya tidak mempunyai apa-apa idealisme
atau kepakaran tertentu, maka, apakah yang
dapat diharapkan daripada partisipasi politiknya?
Partisipasi politik hari ini tidak lagi memadai
dengan sekadar pandai berucap dan mempengerusikan
mesyuarat. Yang parahnya, ialah apabila kedua-dua
perkara asas inipun tidak digarap dengan baik.
Tetapi, oleh kerana ada yang mengejar kedudukan
dan sanggup menabur wang untuk mendapatkannya,
maka ia mendapat (atau lebih tepat lagi -
membeli) tempat sebagai pemimpin.
Kepakaran menjadi lebih penting apabila politikus
memegang sesuatu portfolio. Memanglah tidak
mungkin akan ada sesiapa yang pakar dalam
semua portfolio. Tetapi, tentulah menjadi
persoalan sekiranya seseorang itu tidak ada
satupun portfolio yang boleh diserahkan kepadanya
kerana tidak mempunyai sebarang kepakaran
langsung.
Justeru, kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk
Seri Mohd Tajol Rosli baru-baru ini bahawa
calon Exco Kerajaan Negeri Perak akan datang
mesti sekurang-kurangnya mempunyai ijazah
pertama adalah tepat dan penting dari segi
integriti Exco tersebut.
Hal ini kerana ijazah pertama adalah antara
pra-syarat kepakaran hari ini. Bayangkanlah
keadaan seseorang Exco yang bukan graduan
mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri pegawai-pegawai
yang rata-ratanya graduan, malahan ada yang
memiliki PhD.
Orang berilmu selalunya berfikir sebelum
melakukan sesuatu. Kalaupun ilmunya belum
mampu mencetuskan perkara yang tinggi-tinggi,
tetapi sekurang-kurangnya ilmu mampu menjadi
benteng menghindarkannya daripada perkara
yang tidak berintegriti.
Demikianlah juga halnya dengan integriti
politik yang menjadi benteng melindungi politikus
daripada gejala politik yang negatif di samping
menyebabkannya konsisten dan berani dengan
pendiriannya terhadap sesuatu isu atau perkara.
Integriti politik bersifat kekal. Maknanya,
ia sentiasa wujud dan diamalkan pada setiap
zaman dan tidak bergantung kepada sama ada
wujud atau tidak masalah atau politik negatif.
Ia adalah rukun politik praktis. Ia wajib
wujud dan wajib diamalkan.
Sebenarnya, tidak sukar merealisasikan integriti
politik. Sekiranya setiap polikus menghayati
perlembagaan parti dan tata etika ahli dengan
sepenuh dan seutuhnya, maka ia akan menjadi
dengan sendirinya.
Namun , sebagai dokumen perundangan, perlembagaan
parti ataupun tata etika ahli tidak mungkin
mengandungi segala perkara yang diperlukan
untuk menegakkan integriti politik. Ini kerana
terdapat perkara-perkara seperti falsafah
dan konsep tertentu yang sukar diterjemahkan
dalam bahasa undang-undang.
Tetapi, apa yang tidak dapat dilakukan oleh
dokumen perundangan, seperti perlembagaan
parti itu, ada baiknya. Ini kerana sekiranya
perlembagaan parti boleh memasukkan segala-galanya,
maka politik kita, khususnya politik berparti,
akan terlalu ditentukan oleh undang-undang
yang menyebabkan kita berada dalam satu kerangka
legalistik.
Hal ini akan menyebabkan perlakuan politik
kita terlalu terkawal dan mengawal. Dari satu
segi, kerangka legalistik menyebabkan kreativiti
dan inovasi tersekat. Manakala dari segi yang
lain, ia memungkinkan semaraknya politik hukum
menghukum. Pokoknya, ia bukanlah pendekatan
terbaik ke arah integriti politik.
Untuk merealisasikan integriti politik, ia
perlu dilihat dari perspektif idealisme politik.
Ini melibatkan tiga ciri utama, iaitu politik
ilmu dan bukannya politik ampu, politik hikmah
dan bukannya politik fitnah serta politik
bakti dan bukannya politik undi.
Kekuatan sebenar dalam politik, malahan dalam
bidang apa sekalipun, ialah ilmu. Tetapi,
dalam politik, kekuatan ilmu sering diatasi
oleh kekuatan mengampu. Untuk merealisasikan
integriti politik, politik ilmu mesti menjadi
terasnya. Politikus berilmu mampu artikulatif,
berhujah dan berbahas dengan bermutu tinggi
atau sekurang-kurangnya mengelakkan dirinya
daripada menjadi politikus badut.
Gejala fitnah yang merosakkan masyarakat
semakin berleluasa apabila terdapat pertandingan
penting dalam parti atau pilihan raya umum.
Politik hikmah mesti menjadi panduan urusan
politik. Politikus mesti menggunakan pendekatan
berhikmah supaya tidak gelojoh dalam pergelutan
parti atau memenangi pilihan raya.
Semangat berbakti, apalagi secara sukarela,
dalam politik semakin hari semakin tipis.
Apa yang dipentingkan hanyalah undi. Politikus
berbakti menggunakan undi untuk membolehkannya
berbakti. Kempennya mendapatkan undi tidaklah
seberapa, tetapi selepas mendapat tempat,
baktinya hebat. Bukan sebaliknya, iaitu kempennya
bukan main lagi hebatnya, tetapi selepas mendapat
tempat, baktinya entah di mana.
Masyarakat hari ini, terutamanya golongan
muda, semakin kritikal, malahan ada yang sinis
terhadap politik, parti politik dan politikus.
Cara mudah yang sering difikirkan untuk menarik
minat mereka ialah dengan mempermudahkan politik,
misalnya dari segi mesej, program, kempen
dan sebagainya.
Tetapi, cara ini akan hanya menyebabkan mereka
berasa diperbodohkan lalu semakin menjauhkan
diri. Cara yang lebih baik ialah dengan politikus
dan parti politik membuat muhasabah diri dan
meningkatkan integriti supaya politik diyakini
mereka dapat menyediakan negara sebagai taman
yang nyaman itu.