PADA Ahad hingga SELASA ini,
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan
Konvensyen Pembangunan Belia Meneroka Generasi
2057. Ia bertujuan menentukan hala tuju, falsafah
dan strategi pembangunan belia yang progresif,
menggariskan mekanisme pengurusan pembangunan
belia, menyediakan kod etika pertubuhan belia
dan membina teras pembangunan belia yang terbilang.
Antara yang akan dibincangkan
ialah tentang kompetensi pekerja belia, peranan
dan struktur pertubuhan belia, pendekatan dan
strategi pengurusan negara dalam pembangunan
belia, pengukuhan inter-generasi dan budaya
bangsa Malaysia serta meneroka perbatasan baru
pembangunan belia.
Konvensyen ini penting sekurang-kurangnya
atas dua sebab. Pertama, apabila dikuatkuasakan
Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia
(APBPB), pertubuhan belia perlu melakukan pemerlengkapan-semula
organisasinya, terutamanya bagi yang selama
ini dipimpin oleh mereka yang melebihi umur
40 tahun kerana kini kepemimpinan dihadkan di
bawah umur tersebut.
Kedua, dalam merealisasikan Misi
2057 yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, maka perlu diadakan
pemikiran-semula tentang pembangunan belia dalam
segala bidang dan peringkat, terutamanya dari
segi pembinaan modal insan kelas pertama yang
bertaraf dunia.
Justeru, perhatian yang berat
dan tepat perlu diberikan bukan sahaja terhadap
pertubuhan belia, tetapi juga terhadap agensi
kerajaan berkaitan belia. Dalam hal ini, aspek
yang kritikal ialah kepemimpinan belia dalam
pertubuhan dan agensi belia. Ia melibatkan dua
komponen utama, iaitu kurikulum komprehensif
dan budaya kondusif.
Masalahnya ialah kebanyakan latihan
kepemimpinan belia hanya meminjam atau meniru
modul orang lain. Mesti ada kurikulum sendiri
yang diasaskan pada tiga rukun perjuangannya,
iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme;
orientasi operasinya, iaitu aktiviti, bakti
dan advokasi; dan penerokaan corak, cara dan
citra yang baru.
Dari segi budaya yang kondusif
pula, masalahnya ialah terdapat pertubuhan dan
agensi belia berhadapan dengan beberapa keadaan
yang kurang memberangsangkan.
Antara kekangan tersebut ialah
melebihi umur belia, terlalu sekejap atau lama
memegang jawatan, nisbah pemimpin wanita yang
terlalu kecil, kurang menguasai ilmu dan kemahiran
pembangunan belia terkini, tidak menjalankan
amanah dengan baik, kurang pendekatan dan program
yang segar, kurang orientasi-belia, kurang amalan
demokrasi, unsur politik yang mengganggu, kepentingan
perniagaan atau peribadi yang membazirkan kewangan
serta kurang pengiktirafan.
Masalah pemimpin pertubuhan melebihi
umur kini diselesaikan APBPB. Tetapi, jika majoritinya
berumur akhir 30-an, maka, ia tidak bermakna.
Perlu diwujudkan mekanisme supaya semua kumpulan
(15-19 tahun, 20-24 tahun, 25-29 tahun, 30-34
tahun dan 35-40 tahun) dan wanita terpilih di
barisan tertinggi.
Kekuatan sedia ada dalam pengurusan
pembangunan belia di kalangan pertubuhan belia
perlu diperkemaskan. Antaranya ialah meritokrasi,
demokrasi, keterbukaan, hubungan antarabangsa,
pembangunan manusia berdaya sumber (bukannya
sumber manusia), pemasaran sosial, doing more
with less, kesukarelaan, dan pendekatan turun
padang.
Kekuatan baru KBS, iaitu Institut
Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM)
dan Pendaftar Pertubuhan Belia perlu digunakan
dengan bijaksana.
Pertubuhan dan agensi belia mungkin tidak mampu
memisahkan dirinya secara seratus peratus daripada
politik. Tetapi, ia mesti mengelakkan daripada
dipolitikkan dan mampu memisahkan antara politik
partisan dan kepartian dengan isu-isu berkaitan
politik.
Konsep penyertaan penuh seperti
“belia sebagai rakan pembangunan”,
“penghakupayaan belia”, “perwakilan
belia” dan “governans baru”
perlu dilaksanakan bagi meningkatlan kapasiti
belia. Manakala pendekatan baru “bekerja
bersama belia” mesti menggantikan pendekatan
lama “bekerja untuk belia”.
Pemimpin pertubuhan belia perlu
diberikan pendedahan secukupnya. Kini, sudah
sampai masanya untuk perwakilannya dilantik
sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) dan Ahli Dewan Negara.
Pembangunan belia mesti meluaskan
wilayahnya supaya tidak lagi sekadar di bawah
KBS, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan label belia
sahaja. Sebaliknya, ia mesti meliputi seluruh
spektrum belia, iaitu kesihatan dan kecergasan,
pendidikan dan kemahiran, pekerjaan dan ekonomi,
jati diri dan sosio-budaya serta partisipasi
dan demokrasi.
Dari segi penghayatan kemerdekaan,
gagasan Patriotisme Alaf Baru yang dimulakan
MBM pada 1999 perlu dimantapkan. KBS pula perlu
diberikan peruntukan tambahan untuk menganjurkan
program alternatif bagi belia yang tidak terpilih
mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Gerakan pembangunan belia mesti
melonjakkan peranan tradisinya dalam bidang
pendidikan dan latihan dengan menggarap perspektif
modal insan yang terkini dan futuristik dengan
membantu menjayakan Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) di bawah KPM dan Pelan Tindakan
Pengajian Tinggi (PTPT) di bawah KPT.
Kita mesti benar-benar menyediakan
pendidikan yang bersepadu dan seimbang dari
segi akademik dan kokurikulum serta pembinaan
sahsiah dan kepemimpinan yang tinggi. Belia
kita mesti mampu menjadi pemain global. Institusi
pendidikan kita mesti mencapai kedudukan bertaraf
dunia.
Keseimbangan di antara akademik
dan kokurikulum yang kini berada pada nisbah
90:10 perlu diubah kepada nisbah yang lebih
sesuai iaitu 70:30.
Latihan kemahiran perlu pemerkasaan
dan penjajaran-semula. Universiti yang ditubuhkan
khusus untuk orientasi kemahiran mesti menitikberatkan
kemahiran dan tidak menjadi universiti biasa.
Insentif membabitkan penyertaan swasta mesti
ditingkatkan.
Proses pembinaan modal insan
perlu meliputi lapan objektif, iaitu: kemampuan
berkomunikasi, berfikir kritikal, penghujahan
bermoral (moral reasoning), menjadi warganegara,
hidup dalam kepelbagaian (diversity), hidup
dalam masyarakat global, minat (interests) yang
luas dan mendalam serta persediaan kerjaya.
Semoga Generasi 2057 menjadi
belia nombor satu di rumah, kelas, pejabat,
padang, tempat ibadat, peti undi dan seterusnya
di pentas dunia.