Khamis lalu, berlangsung
majlis penyampaian Anugerah Belia Negara 2007
yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sebuah program
gilang gemilang di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Perdana Menteri,
bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
(GPMS) dan Ketua Pengarah Belia yang pertama menyampaikan
amanatnya melalui sebuah ucapan yang padat dan
bersemangat yang disambut penuh meriah dan perasaan
sayang oleh seluruh warga belia yang hadir.
Anugerah belia
ini adalah lambang pengiktirafan rasmi kerajaan
terhadap peranan belia dalam pembangunan negara.
Dari segi anugerah belia, Malaysia mendahului
negara-negara lain. Banyak negara meniru konsep
kita ini. Pengiktirafan terhadap belia bukan sahaja
berlaku bagi pertubuhan belia. Ia juga diberi
kepada pelajar. Contohnya, ada sekolah menengah
menganjurkan majlis penyampaian anugerah kokurikulum.
Namun, persoalannya
ialah, lazimnya, pengiktirafan yang diberikan
kepada pembangunan belia tidak sehebat yang diberikan
kepada sukan, manakala di sekolah, pengiktirafan
kepada kokurikulum dilayan seperti kelas dua berbanding
akademik.
Tetapi, sebenarnya,
bagi belia, termasuk remaja dan pelajar, pengiktirafan
hakiki yang diminta bukanlah dalam bentuk anugerah.
Apa yang benar-benar diminta ialah untuk suaranya
didengar,dapat berpartisipasi secara penuh dan
berkesan melalui pendekatan penghakupayaan (empowerment)
sehingga ke peringkat membuat keputusan bagi seluruh
hal ehwal kehidupan dan masa depannya.
Malangnya, inilah
perkara yang jarang berlaku dalam masyarakat kita.
Kita jarang mendengar suara mereka. Kalau adapun
langkah mendengar suara mereka, contohnya dengan
mengadakan dialog, tetapi, ia tidak berlaku dalam
bentuk komunikasi dua hala. Sebaliknya, ia menjadi
komunikasi sehala. Kita bercakap dan mereka mendengar
sahaja.
Keadaan ini berlaku
mungkin kerana sebahagian kita, iaitu sebagai
ibu bapa, guru, pemimpin dan pengurus belia, pegawai
kerajaan dan ahli politik, kurang kemahiran berkomunikasi
dengan belia, remaja dan pelajar.
Jika ini faktornya,
maka, ia mudah diselesaikan. Kita cuma perlu menambah
kemahiran, misalnya, dengan menelaah buku berkaitan,
seperti tulisan Adele Faber dan Elaine Mazlish
(2005), How to Talk So Teens Will Listen &
Listen So Teens Will Talk.
Tetapi, apa yang
merisaukan ialah kemungkinan keadaan ini berlaku
akibat faktor yang lebih besar, iaitu ketidakfahaman
kita terhadap permintaan belia yang mahu suaranya
didengar, atau lebih parah lagi, sekiranya ia
berlaku akibat keengganan kita untuk meraikan
permintaan mereka itu. Di samping itu, sekiranya
kita memahami dan bersedia meraikan permintaan
mereka itu, tetapi menggunakan pula pendekatan
yang salah, maka, suara belia masih juga tidak
didengari dalam erti kata yang sepatutnya.
Oleh itu, adalah
amat penting untuk kita memahami permintaan belia,
remaja dan pelajar, bersedia meraikannya dan menggunakan
pendekatan yang sesuai. Barulah mereka puas yang
suaranya benar-benar didengar.
Faktor utama mengapa
sebahagian kita tidak mendengar suara belia ialah
kerana kita tidak mengiktiraf kepemimpinannya.
Ini kerana kita mengangap mereka sebagai pemimpin
masa depan sahaja. Jadi, hari ini, iaitu ketika
masih belia, remaja, dan pelajar, mereka kita
yang pimpin. Sebab itulah kita berasa yang kita
tahu segala dan mereka cuma perlu – malahan
dipaksa – mengikut sahaja cakap kita.
Memanglah, untuk
menjadi pemimpin utama sekolah, universiti, masyarakat
dan kerajaan, mereka perlu menunggu masa depan.
Tetapi, hakikatnya ialah bahawa pada hari ini
juga, mereka adalah pemimpin dalam tiga keadaan,
iaitu sebagai pemimpin angkatan yang lebih muda
daripadanya, sebagai pemimpin angkatan yang sebaya
dengannya dan sebagai rakan kepemimpinan dengan
kita yang lebih tua daripadanya.
Kerana itu, belia
tidak boleh hanya dilihat sebagai ‘peserta’
sesuatu dasar dan program sahaja, tetapi hendaklah
dilihat juga sebagai ‘pemimpin’ atau
‘pemimpin bersama’ dasar dan program
tersebut.
Mengiktiraf belia
sebagai pemimpin adalah antara matlamat Datuk
Seri Abdullah ketika menjadi Ketua Pengarah Belia
apabila beliau mencadangkan penubuhan Majlis Perundingan
Belia Negara (MPBN) pada 1972, yang ketika merasmikannya,
disifatkan oleh Allahyarham Perdana Menteri Tun
Abdul Razak sebagai ‘Parlimen Belia’.
Di sini, pemimpin belia berunding dengan pemimpin
kerajaan.
Inilah maksud ayat
‘partisipasi belia dalam perancangan negara’
dalam Dasar Belia Negara yang diluluskan kerajaan
pada 1985 dan ‘perkongsian dalam pembangunan’
dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) yang
menggantikan dasar yang terdahulu itu.
Inilah juga maksud
‘partisipasi belia’ yang terkandung
dalam dokumen pertama Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) yang diterbitkan khusus untuk belia,
iaitu Guidelines for Further Planning and Suitable
Follow-Up in the Field of Youth (1985). Bagi membudayakan
konsep tersebut, maka tahun 1985 yang dirayakan
sebagai Tahun Belia Antarabangsa menggunakan tema
‘Partisipasi, Pembangunan, Keamanan’.
Tetapi, memandangkan
matlamat partisipasi belia itu tidak begitu tercapai,
maka, pada tahun 1995, dokumen PBB yang baru,
iaitu World Programme of Action for Youth to the
Year 2000 and Beyond mempunyai tajuk khusus iaitu
‘Partisipasi belia yang penuh dan efektif
dalam kehidupan masyarakat dan dalam membuat keputusan’.
Selanjutnya, Persidangan
Pertama Menteri-menteri Belia Sedunia anjuran
PBB pada 1998, melalui Lisbon Declaration on Youth
Policies and Programmes menegaskan keperluan untuk
meningkatkan perkongsian dalam membuat keputusan
di kalangan semua pihak berkepentingan dalam pembangunan
belia, iaitu termasuk pemimpin belia.
Mulai tahun 2003
pula, PBB menerbitkan laporan tahunan tentang
belia dunia. Setiap laporan sentiasa menyentuh
soal betapa perlunya ditingkatkan lagi partisipasi
belia dalam membuat keputusan.
Kini, di samping
partisipasi belia, istilah yang membudaya ialah
‘penghakupayaan belia’ (youth empowerment).
Antara yang mula-mula menggunakannya ialah Setiausaha
Agung MBM dalam ucap utamanya di Forum Belia Serantau
anjuran Program Belia Komanwel pada 1997. Istilah
ini kemudiannya digunakan dalam Mesyuarat Menteri-menteri
Belia Komanwel di Kuala Lumpur dan Persidangan
PBB pada 1998 itu.
Makna penghakupayaan
belia ialah ‘membolehkan dan mendapatkan
belia untuk memahami dan bertindak atas semua
isu (seperti peribadi, keluarga, sosial, budaya,
ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh
dirinya dan segala yang di sekitarnya yang mereka
adalah sebahagian daripadanya’.
Selanjutnya, penghakupayaan
belia mencadangkan kerangka ‘governans baru’,
iaitu transformasi daripada keadaan kini di mana
wujud hubungan tiga segi yang tidak seimbang antara
ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan, perniagaan
dan belia/masyarakat sivil), kepada keadaan baru
di mana wujud hubungan sinergi antara ketiga-tiga
sektor itu yang bekerjasama pada kedudukan yang
adil.
Tujuannya supaya
perwakilan belia berada secara rasmi, dan bukannya
ikut suka pihak atasan sahaja hendak menjemputnya
atau tidak, dalam seluruh struktur dan proses
membuat keputusan. Barulah kita benar-benar mendengar
suara belia.
|