Manifesto pilihan raya bukan sekadar janji
 
 

Setiap parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini akan berjanji kepada pengundi. Janji ini muncul dalam manifesto yang mengandungi falsafah perjuangan, gagasan masa depan, strategi pembangunan dan program pelaksanaan.

Manifesto BN adalah pelan realiti, manakala manifesto pembangkang sekadar memikat pengundi semata-mata. Manifesto berbentuk pelan realiti bertunjangkan prinsip kukuh dan bersifat tetap. Contohnya, dasar BN mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi yang dijamin Perlembagaan dan penganut agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing. Parti komponen BN sepakat berhubung perkara ini sejak zaman parti Perikatan lagi.

Begitu juga dengan dasar perpaduan, pelajaran dan pertumbuhan dengan pengagihan. Walaupun sentiasa ada penambahbaikan dan tambah-nilai dari semasa ke semasa – dan ini adalah bukti betapa dinamik, kontemporari dan futuristnya BN – namun, prinsip kontrak sosial yang telah disepakati sekian lama itu tetap kekal dan kental.

Di samping itu, manifesto BN sentiasa berpijak di bumi nyata. Ia berdasarkan data dan maklumat yang benar, yang dirumuskan sebagai strategi-strategi dan program-program yang praktikal dan yang mampu dilaksanakan dengan baik, yang bersandarkan rekod prestasi cemerlangnya dari masa lalu hingga ke hari ini.

Sebaliknya, manifesto yang sekadar untuk memikat undi boleh sahaja berbentuk ‘janji kosong’. Contohnya, dalam pilihan raya umum 1999, Pas berjanji sekiranya berkuasa di Terengganu, ia akan melaksanakan hukum hudud sebelum ayam berkokok pada keesokan harinya! Tetapi, setelah satu penggal memerintah, ia gagal melaksanakannya.

Apabila gagal, ia menyalahkan Perlembagaan negara dan kerajaan pusat. Kononnya Perlembagaan negara tidak membenarkannya dan kerajaan pusat menghalangnya. Persoalannya yang sebenar ialah bahawa Pas seharusnya telah sedia maklum sejak dari awal lagi bahawa ia tidak mampu melaksanakannya. Tetapi, oleh kerana ia hanya memikirkan soal memikat pengundi, maka ia dijanjikan juga.

Kali ini, Pas dipercayai cuba mengubah pula prinsipnya. Ia dilaporkan tidak lagi ingin menegakkan negara Islam, tetapi sekadar menegakkan negara kebajikan sahaja. Dulu, ia tidak berkawan dengan DAP. Kemudian, ia berkawan dengan DAP. Kini, ia hanya berkawan dengan PKR yang berkawan dengan DAP.

Kekuatan manifesto BN yang tidak terlawan oleh pembangkang ialah bahawa janji BN adalah berdasarkan rekod prestasinya yang cemerlang. Sebab itu, apabila BN berjanji menyelesaikan masalah pengangguran rakyat Kelantan, mereka sedar bahawa itu adalah janji yang mampu dikota, kerana BN telah berjaya melaksanakannya di semua negeri lain, termasuk Terengganu yang baru sahaja empat tahun diperintahnya semula.

Di belakang manifesto ialah matlamat mengapa sesebuah parti bertanding. Bagi BN, matlamatnya bukan sekadar pilihan raya. Matlamat sebenarnya ialah untuk memerintah dan menguruskan bangsa dan negara supaya aman, maju dan bahagia serta melonjak ke tahap yang lebih baik. Pilihan raya adalah alat sahaja. Kerana itu, manifestonya digubal dengan rasa amanah dan tanggungjawab, iaitu apa yang dikata mestilah boleh dikota.

Tetapi, bagi pembangkang, matlamatnya hanyalah pilihan raya. Sebab itu, ia begitu bebas berjanji apa sahaja, termasuk menjanjikan langit dan syurga! Ada kalanya, manifesto pembangkang mengandungi kata-kata yang begitu indah, mungkin lebih indah daripada manifesto BN. Tetapi, pilihan raya bukannya pertandingan kata-kata indah. Sebaliknya, pilihan raya adalah untuk memilih kata-kata yang mampu dan telah terbukti dapat dikota.

Parti yang serius dalam menguruskan bangsa dan negara tidak akan membuat janji yang tidak mampu dipenuhi. Kerana itu, BN tidak akan berjanji menurunkan harga minyak, iaitu seperti yang dilakukan PKR kini. Sebabnya ialah, dalam banyak keadaan, harga minyak berada di luar kekuasaan mana-mana kerajaan, hatta kuasa besar seperti Amerika Syarikat sekalipun. Ini kerana ia amat bergantung kepada pasaran dunia.

BN mengemukakan manifesto yang berada dalam kerangka satu disiplin sains politik yang dinamakan ‘politik pembangunan’. Menurut Damien Kingsbury (2007), dalam bukunya Political Development, politik pembangunan meliputi persoalan demokrasi, pembinaan institusi, peranan kerajaan, negara dan hak asasi manusia.

Ini bukan pembangunan yang dipolitikkan. Sebaliknya, ia adalah satu gagasan politik yang mengambilkira tugas, tanggungjawab dan amanah sebuah kerajaan yang baik, yang memajukan dan memakmurkan bangsa dan negaranya dengan adil dan saksama, serta mengamalkan pembangunan bersepadu, iaitu dengan menyeimbangkan antara ekonomi, agama, sosial, budaya dan lain-lain.

Gagasan ini terbukti berjaya. Contohnya, kita berjaya mencapai lebih 90 peratus daripada sasaran Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sasaran itu terdiri dari lapan perkara, iaitu: membasmi kemiskinan dan kelaparan; mencapai pendidikan rendah yang universal; meningkatkan kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita; mengurangkan mortaliti kanak-kanak; memperbaiki kesihatan ibu bersalin; mencegah HIV/AIDS, malaria dan penyakit-penyakit lain; memastikan alam sekitar yang mapan; dan mewujudkan perkongsian global untuk pembangunan.

Di samping itu, selepas menewaskan Pas pada 2004, kerajaan BN di Terengganu berjaya menaikkan pendapatan bulanan rakyat miskin daripada RM250 kepada RM450 dan telah membina 5000 buah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Bagi Kelantan pula, walaupun belum memerintah semula negeri tersebut – dan ini bukti BN tidak hanya berjanji untuk berbuat apabila menang sahaja – ia telahpun memulakan proses penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pembinaan lapangan terbang baru dan memasukkan negeri itu dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Jelas, janji BN boleh dipercayai.