Bagi gerakan
belia negara, kehadiran tahun 2008 menandakan
bermulanya penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia
dan Pembangunan Belia 2007 yang dilancarkan oleh
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman
Said pada Isnin lalu.
Namun, hakikat
bahawa ia tidak dikuatkuasakan serta merta sebaik
sahaja diluluskan Parlimen Julai lalu membayangkan
terdapatnya rintangan, kalaupun bukan tentangan,
daripada pihak tertentu, dan seolah-olah proses
penggubalannya yang tidak sunyi dengan kontraversi
itu masih berlarutan sehingga penguatkuasaannya
tertangguh seketika.
Idea mewujudkan
akta belia muncul sejak timbulnya isu kelesuan
pertubuhan belia di negara ini, iaitu pada pertengahan
dekad 90-an. Ia merupakan satu cadangan untuk
mengatasi kelesuan itu. Andaian mereka yang mencadangkan
akta ini ialah bahawa perundangan dan peraturan
boleh atau diperlukan untuk menangani masalah-masalah
yang dihadapi oleh pertubuhan belia yang lesu
itu.
Mereka yang mencadangkan
supaya diadakan akta ini terbahagi kepada dua
kumpulan. Kumpulan pertama menganggap perundangan
dan peraturan adalah perkara terpenting bagi memperkasa
pertubuhan belia. Mereka percaya kepada pendekatan
legalistik.
Kumpulan kedua
pula tidak percaya kepada pendekatan legalistik.
Tetapi mereka turut menerima keperluan akta ini
kerana semua usaha lain yang telah dicuba telah
gagal atau menemui jalan buntu. Lantas, akta adalah
pilihan yang terakhir.
Ketika idea tentang
akta belia ini mula-mula diutarakan dahulu, Majlis
Belia Malaysia (MBM) tidak bersetuju dengannya
kerana percaya bahawa sekiranya semua pertubuhan
belia benar-benar menghayati Dasar Pembangunan
Belia Negara dan melaksanakan cadangan-cadangan
yang dihasilkan melalui kajian MBM pada 1997/1998,
yang kemudiannya diterbitkan sebagai buku Memperkasa
Persatuan Belia (2000), maka akta ini tidak diperlukan
sama sekali.
Sehingga pertengahan
2002, MBM tidak membuat sebarang kenyataan rasmi
tentang akta belia kerana merasakan ia belum diperlukan.
MBM percaya bahawa apa-apa isu yang timbul dalam
pertubuhan belia masih boleh ditangani dengan
tidak perlu mempunyai akta ini. Di samping itu,
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sehingga
itu belum memikirkan perkara ini dengan serius.
Dalam MBM, orang
pertama dan secara konsisten menyuarakan keperluan
akta belia ialah Timbalan Presiden Gerakan Belia
4B Malaysia (4B Malaysia), Datuk Noh Omar, iaitu
pada pertengahan 90-an juga. Pada masa itu, Datuk
Noh ialah Ahli Dewan Rakyat dan juga Penolong
Setiausaha Agung 4B Malaysia.
Beliau telah menyuarakannya
dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi MBM dan beberapa
forum yang lain. Lebih penting lagi, beliau telah
menyuarakannya di dalam Dewan Rakyat dan adalah
orang pertama mencadangkan akta ini di Dewan yang
mulia itu.
Di pihak KBS pula,
sebelum pilihan raya umum 1999, iaitu dalam satu
pertemuan di antara Menterinya, Tan Sri Muhyiddin
Yasin dengan pemimpin-pemimpin pertubuhan belia
seluruh negara di Kuala Lumpur, ketika mendengar
cadangan tentang akta ini, beliau menyatakan yang
KBS akan mengkaji keperluannya.
Selepas itu, pada
2003, Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein, ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri
KBS dengan Exco-exco Belia dan Sukan Negeri-negeri
di Genting Highlands, telah mengumumkan bahawa
KBS akan menggubal akta belia, menjadikannya Menteri
KBS yang pertama menyatakan dengan jelas bahawa
akta belia akan digubal atas keperluan-keperluan
tertentu.
Di bawah Datuk
Seri Azalina pula, KBS telah bekerja keras bersama-sama
MBM untuk menggubalnya, mempersetujuinya di Majlis
Perundingan Belia Negara dan seterusnya ia diluluskan
oleh Parlimen dan kini mula dikuatkuasakan.
Adakah kita memerlukan
akta ini? Jawabnya, ya, tetapi ia adalah sebagai
langkah dan pilihan terakhir, iaitu setelah pelbagai
jalan lain telah dicuba tetapi gagal untuk mengaktifkan
semula semua pertubuhan belia.
Sebenarnya, akta
ini adalah satu tamparan kepada pemimpin sebahagian
pertubuhan belia. Kerana mereka tidak serius mengatasi
apa-apa masalah yang timbul sehingga menyebabkan
berlakunya fenomena kelesuan pertubuhan belia,
lalu akta ini diadakan.
Adakah akta ini
memerlukan segala bab dan seksyennya yang diluluskan
ini? Jawabnya, tidak. Ini kerana sebahagian daripada
peruntukannya tidak diperlukan kerana ia telahpun
sedia wujud dan beroperasi. Contohnya, ialah Institut
Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia yang telahpun
ditubuhkan pada tahun 2005, iaitu tanpa akta ini.
Contoh kedua, ialah
Majlis Perundingan Belia Negara yang telahpun
ditubuhkan pada tahun 1972 atas buah fikiran Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang
ketika itu adalah pegawai kanan Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan (KKBS), iaitu tanpa akta ini.
Ini menyebabkan
timbulnya pendapat yang mengatakan bahawa akta
ini diperlukan hanyalah untuk memenuhi dua tujuan
sahaja. Tujuan pertama, ialah menghadkan umur
pemimpin dan ahli pertubuhan belia, iaitu tidak
melebihi 40 tahun, serta menghadkan tempoh pemimpin
utamanya memegang jawatan.
Dalam hal ini,
MBM dan beberapa buah badan gabungannya, seperti
Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Pergerakan Pemuda
Malaysia (YMM) dan Persahabatan Buddhist Malaysia
telah sejak dahulu lagi, iaitu melalui perlembagaan
masing-masing, menghadkan umur pemimpinnya supaya
tidak melebihi 40 tahun.
Di samping itu, badan gabungan MBM seperti Persatuan
Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
pula, walaupun tidak mencatatkannya dalam perlembagaannya,
namun barisan kepemimpinannya sentiasa bukan sahaja
tidak melebihi umur 40 tahun, bahkan tidakpun
melewati umur 30 tahun.
Apa yang menjadi
masalah ialah terdapatnya pertubuhan belia, sama
ada badan gabungan MBM ataupun tidak, yang mempunyai
pemimpin yang jauh melebihi umur 40 tahun dan
ada yang telah memegang jawatan sejak tahun 70-an
lagi! Ironisnya, mereka ini dahulunya memperjuangkan
Dasar Belia Negara yang mendefinisikan belia sebagai
berumur 15-40 tahun! Pertubuhan-pertubuhan inilah
yang kini berhadapan dengan masalah kekurangan
pemimpin pelapis berwibawa.
Menurut pendapat
itu lagi, tujuan kedua akta ini ialah memindahkan
kuasa pendaftaran pertubuhan belia daripada Pendaftar
Pertubuhan iaitu di bawah Akta Pertubuhan kepada
Pendaftar Pertubuhan Belia di KBS iaitu di bawah
akta belia ini.
Sekiranya untuk
tujuan yang pertama itu, iaitu menghadkan umur
pemimpin dan ahli pertubuhan belia serta menghadkan
tempoh pemimpin utamanya memegang jawatan utama,
maka kita tidak memerlukan akta ini. Kita cuma
perlu meminda seksyen tertentu dalam Akta Pertubuhan
sahaja.
Ini pernah berlaku
sebelum ini. Apabila ada parti politik mendapati
terdapat masalah yang besar kerana ahlinya boleh
menyaman parti di mahkamah, maka dibuat pindaan
terhadap Akta Pertubuhan. Kini, Akta Pertubuhan
mempunyai bab khusus yang digunapakai terhadap
parti politik sahaja, yang dapat menyelesaikan
masalah tersebut.
Justeru, bagi menyelesaikan
masalah dalam pertubuhan belia, kita sebenarnya
boleh meminda Akta Pertubuhan, iaitu dengan tidak
perlu mempunyai akta belia ini. Lantas, akhirnya,
akta belia ini hanyalah diperlukan untuk menukar
kuasa pendaftaran pertubuhan belia sahaja, iaitu
daripada Pendaftar Pertubuhan kepada KBS.
Tidak semua menerima
akta belia ini dengan hati terbuka dan berjiwa
besar. Polemik tentangnya masih berterusan. Namun,
apa yang lebih penting ialah untuk menggembleng
seluruh idea, tenaga dan sumber yang ada bagi
memperkasa pertubuhan belia. Dalam hal ini, potensi
utama akta ini ialah menjana pemimpin pelapis |