Perak diminta tangguh pemberian tanah

(Petikan Utusan Malaysia bertarikh 26 Disember 2008)

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Kerajaan Negeri Perak diminta menangguhkan pemberian status hak milik tanah pegangan kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun sebelum mendapat persetujuan daripada Majlis Tanah Negara (MTN).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin telah silap menafsir peruntukan yang tertakluk di bawah Seksyen 76 (aa) Kanun Tanah Negara (KTN).

‘‘Memang tidak dapat dinafikan bahawa jika mengikut Perlembagaan, kerajaan negeri mempunyai kuasa terhadap tanah di bawah pentadbirnya.‘‘

‘‘Tetapi daripada segi pemilikan pegangan selama-lamanya, kerajaan negeri masih tertakluk pada seksyen 76 (aa) KTN dan perlu mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum membuat pemberian berkenaan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohammad Nizar semalam bahawa kerajaan negeri akan tetap melaksanakan pemberian tanah kepada penduduk kampong baru dan kampong tersusun memandangkan ia tidak bercanggah dan melanggar Seksyen 76 KTN di mana pemberian tanah adalah hak kerajaan negeri.

Menurut Saifuddin, Menteri Besar itu telah melakukan kesilapan penafsiran terhadap kuasa kerajaan negeri dalam isu pemberian tanah ini.

Dalam kes ini tafsiran yang salah ialah berkenaan dengan pemberian tanah berasaskan keadaan-keadaan khas yang mana Menteri Besar mengatakan ia adalah hak kerajaan. Dalam keadaan khas kerajaan negeri sepatutnya perlu merujuk kepada MTN selaras dengan fasal 5 Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan

‘‘Dua hari yang lalu, MTN membuat keputusan bahawa kerajaan negeri Perak perlu menyediakan kertas kerja tentang cadangan memberi tanah untuk dibentangkan dalam mesyuarat khas MTN yang akan diadakan kelak.‘‘

‘‘Tetapi beliau telah membuat keputusan sebelum mesyuarat khas MTN diadakan,‘‘ ujar beliau.

Saifuddin mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri sekiranya meneruskan pemberian tanah itu sebelum merujuk kepada MTN.

‘‘Kerajaan Persekutuan berhak untuk memfailkan saman di mahkamah bagi membatalkan atau menangguhkan pemberian berkenaan keada penduduk kampung baru,‘‘ tambahnya.