Misi Dekati Rakyat : Facebook Hour berjaya tarik hampir 100 orang




31 Mac 2009 - Inisiatif cara baru YB Dato' Saifuddin Abdullah, ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk menarik minat rakyat terutamanya golongan muda kepada kerajaan BN mendapat reaksi positif dari rakyat. Hampir 100 rakan maya yang berdaftar sebagai rakan Facebook beliau telah mengambil peluang mendekati dan memberi pandangan bernas tentang kerajaan dan politik. 60 rakan baru telah mendaftar semalam sejurus selepas Facebook Hour.

"Rata-rata pandangan yang dilontarkan cukup kritikal dan membina. Mereka mahu kerajaan yang lebih telus, amanah dan memerangi politik wang habis-habisan" ujar Dato Saifuddin dalam temubual ekslusif dengan Astro Awani secara 'live' semalam. Paling menarik, pelancaran Facebook Hour di kediamannya di Putrajaya mendapat sokongan padu para media dari Utusan, Berita Harian, NST, Harian Metro, bernama TV, Oriental Daily dan The Star. Tidak lupa krew Astro Awani yang bersiaran terus dari studio melalui program U-Wartawan.

"Saya mahu mendekati rakyat dan memahami mereka. Sebab itu, saya akan dedikasikan masa selama sejam pada setiap Rabu pertama dan ketiga untuk 'bertemu' mereka. Jika maklum balas mereka positif, saya cadangkan untuk buat Townhall Facebook Meeting, mungkin mengikut negeri atau bahagian."tegas beliau lagi.

Bertanya tentang mungkin satu jam amat terhad untuk melayani soalan-soalan dari para 'chatters', beliau berkata bahawa semua isu yang dibincangkan akan direkod dan beliau akan cuba menjawab samada melalui emel atau medium lain yang dirasakan sesuai. Kita akan ambil perhatian dan tindakan.

Facebook Hour akan dimulakan secara rasmi malam ini, 1 April 2009 pada jam 10-11 malam. Perbincangan adalah terbuka kepada semua golongan tentang apa-apa jua isu semasa.