Forum
 
   
Surat 1   |  Surat 2
SURAT TEMERLOH
Dato’ Saifuddin Abdullah
(Sabtu, 14 Jun 2008)
 
MESYUARAT MAJLIS PERUNDINGAN PARLIMEN TEMERLOH (MPPT)
 
GOVERNANS BARU
Ke Arah Demokrasi Lebih Matang
 

PENDAHULUAN

Demokrasi, walaupun tidak sepenuhnya sempurna, namun secara idealnya seharusnya membahagiakan semua, atau sekurang-kurangnya tidak mengsengsarakan sesesiapa. Ia menjanjikan sebuah negara ibarat sebidang taman yang nyaman. Tetapi, oleh kerana demokrasi adalah juga sistem politik, dan politik turut melibatkan kelicikan, muslihat dan tipu muslihat, maka ia tidak semestinya sentiasa menghasilkan taman yang nyaman itu. Adakalanya timbul persoalan anarki, sama ada anarki oleh majoriti ataupun anarki oleh minoriti. Adakalanya pula timbul persoalan kualiti, sama ada pada proses pemilihan yang dijalankan ataupun pada tubuh yang terpilih melalui proses pemilihan itu.

Mereka yang punya idealisme tidak pernah berasa jemu atau jenuh untuk berfikir tentang cara-cara bagaimana menambahbaik dan menambahnilai demokrasi yang sedang diamalkan, termasuk di negara ini.

Kini, iaitu terutamanya bagi Barisan Nasional (BN) yang mengalami keputusan politik yang kurang memberangsangkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini, terdapat keperluan yang mendesak untuk mengadakan pemikiran semula (rethinking) atau pemikiran baru tentang demokrasi, atau lebih tepat lagi, tentang pendekatannya terhadap demokrasi (dan politik).

Dalam hal ini, dengan tidak menolak idea-idea yang pelbagai yang perlu diketengahkan dan dipraktiskan, kertas ini memfokus kepada persoalan yang melibatkan transformasi daripada kerangka kerajaan/politik yang sedia ada pada hari ini kepada satu kerangka yang lebih segar yang digelar Governans Baru yang dapat menjadikan penghayatan dan amalan demokrasi lebih matang.

Kertas ini mengandungi pemikiran penulis tentang tajuk ini, yang tidaklah seberapa, sejak 1981, iaitu antaranya, dengan mendesak supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda; ketika membincangkan perihal Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) patut dipilih melalui pilihan raya atau sekurang-kurangnya tidak dilantik hanya di kalangan kerajaan/politik semata-mata (sejak 1986); ketika menderaf Dasar Pembangunan Belia Negara (sejak 1995); perbincangan tentang “Penghakupayaan Belia” (sejak 1996) yang kemudiaannya diselarikan dengan konteks masyarakat sivil hinggalah membawa kepada perbincangan tentang “Governans Baru” (sejak 2000). Ia juga dikupas dalam buku-buku, kertas-kertas kerja, ucapan-ucapan, rencana-rencana dan kolum-kolum penulis sebelum ini. Ia turut disentuh dalam ucapan pertama penulis di Perhimpunan Agung UMNO Malaysia (pada 2002) iaitu ketika berbahas menyokong usul terima kasih atas Ucapan Dasar Presiden.

TIGA SEKTOR PENGGERAK NEGARA

Pada hari ini, iaitu setelah melalui satu evolusi yang panjang, terdapat tiga sektor utama yang menggerakkan negara. Sektor pertama ialah kerajaan dan politik. Tetapi, oleh kerana kerajaan/politik tidak dapat menyediakan segala-galanya, maka telah lahir sektor kedua, iaitu perniagaan. Tetapi, walau bagaimana akrab sekalipun kerjasama di antara kerajaan/politik dan perniagaan, namun kedua-duanya tidak juga dapat menyediakan segala-galanya, lalu telah lahir sektor ketiga, iaitu masyarakat sivil (civil society).

Umum memahami tentang sektor kerajaan/politik dan perniagaan, tetapi tidak begitu halnya dengan masyarakat sivil.

Perbincangan ini tidak bermaksud untuk memberikan definisi terperinci atau terlibat dalam discourse akademik atau polemik epistimologikal mengenai makna masyarakat sivil. Bagaimanapun, adalah dimaklumi tentang dua perspektif utama yang popular kini mengenainya. Pertama, ialah masyarakat sivil sebagai satu bentuk masyarakat atau tamadun yang diimpikan, iaitu seperti yang terkandung dalam makna civility. Dan kedua, ialah masyarakat sivil yang merujuk kepada sektor bukan kerajaan/politik atau perniagaan. Perbincangan ini ialah lebih mengenai perspektif yang kedua ini. Dalam konteks ini, masyarakat sivil ialah rakyat yang secara kedudukan dan peranannya tidak tergolong dalam kerajaan/politik atau perniagaan. Anggota masyarakat sivil termasuk kanak-kanak, remaja, belia, pelajar, mahasiswa, warga tua, wanita, pekerja, seniman, penulis, profesional, akademia, media dan sebagainya.

Governans baru adalah satu konsep dan kerangka pengurusan negara yang lebih segar daripada apa yang ada sekarang ini. Governans baru bertitik tolak daripada beberapa kepercayaan, iaitu antaranya: bahawa sektor kerajaan/politik bukan satu-satunya sektor yang berperanan dalam membuat keputusan tentang negara, tetapi terdapat dua lagi sektor lain, iaitu perniagaan dan masyarakat sivil, yang mampu memainkan peranan sebagai “rakan pembangunan” (partners in development); dan bahawa demokrasi tidak terhad kepada hanya sekadar mengadakan pilihan raya umum setiap lima tahun sekali sahaja, tetapi sebaliknya memerlukan penghayatan dan amalan yang lebih banyak melibatkan rakyat dalam struktur dan proses membuat keputusan, iaitu participatory democracy.

Membetulkan persepsi dan kekeliruan

Sebelum konsep dan kerangka governans baru mempunyai sebarang peluang untuk dihayati dan diamalkan sepenuhnya, beberapa persepsi dan kekeliruan yang masih menebal, iaitu dari segi pandangan terhadap atau di kalangan sektor kerajaan/politik serta perniagaan, dan terutamanya terhadap atau di kalangan sektor masyarakat sivil (apalagi terhadap atau di kalangan belia yang merupakan antara tonggak utama sektor ini), maka, perlu terlebih dahulu diperbetulkan persepsi oleh mata yang memandang dan kekeliruan pada yang empunya tubuh itu.

Dari segi sektor kerajaan/politik, persepsi yang salah yang menganggap sektor ini menindas dan kotor perlu diperbetulkan. Ini kerana terdapat anggota sektor ini yang berdedikasi dan beridealisme serta mempunyai perjuangan yang suci lagi murni. Pada masa yang sama, sektor ini juga perlu memperbaiki diri sendiri dengan menghayati kerajaan/politik yang berintegriti, yang antara lain bermakna mengamalkan kerajaan/politik ilmu dan bukannya kerajaan/politik ampu; kerajaan/politik hikmah dan bukannya kerajaan/politik fitnah; serta kerajaan/politik bakti dan bukannya kerajaan/politik undi.

Dari segi sektor perniagaan, persepsi yang salah yang menganggap sektor ini semata-mata bermatlamat untuk memaksimumkan keuntungan perlu diperbetulkan. Ini kerana terdapat anggota sektor ini yang begitu dermawan, terutamanya bagi membantu program sukan, kebajikan, bantuan bencana dan sebagainya. Pada masa yang sama, ia juga perlu memperbaiki diri sendiri dari segi meningkatkan tanggungjawab sosial yang lebih tinggi lagi bermakna. Mutakhir ini, ia disediakan dengan platform yang ampuh, iaitu Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility).

Tetapi, sektor yang paling selalu diberikan persepsi yang salah ialah masyarakat sivil. Tonggak utamanya, iaitu belia, paling selalu disalah ertikan:

           (1) Belia sering disinonimkan dengan masalah sosial. Sebenarnya, yang terlibat dalam masalah sosial adalah kumpulan yang kecil. Majoritinya tidak terlibat. Kerana itu, belia perlu dilihat lebih dari segi potensinya.

           (2) Belia sering dilihat hanya sebagai penerima manfaat daripada pembangunan sahaja. Memanglah belia, seperti juga golongan lain, adalah penerima manfaat pembangunan. Tetapi, seperti juga kebanyakan golongan yang lain, belia juga mampu menjadi rakan penyumbang kepada pembangunan.

           (3) Belia sering dikatakan sebagai pemimpin masa depan. Tetapi, sebenarnya, pada hari ini juga, belia adalah pemimpin, iaitu pemimpin kepada generasi yang lebih muda daripadanya; pemimpin bagi generasi yang seangkatan dengannya; dan rakan kepemimpinan bersama generasi pemimpin hari ini.

         (4) Persatuan belia sering dilihat sebagai seperti persatuan-persatuan lain, misalnya persatuan mi, nasi lemak dan roti canai. Sebenarnya, persatuan belia, sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya, adalah satu gerakan dan satu perjuangan yang punya  idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang tinggi.

          (5) Persatuan belia sering dianggap perlu melaksanakan “aktiviti” dan “bakti” sahaja. Tetapi, sebagai gerakan perjuangan, persatuan belia juga perlu melaksanakan “advokasi”.

         (6) Belia sering dilihat hanya inginkan perkara-perkara yang ringan-ringan sahaja, seperti hiburan, sukan dan berkawan. Tetapi, sebenarnya, belia mempunyai tiga permintaan asas, iaitu mereka mahu suaranya didengar, peranannya diiktiraf dan isunya ditangani dengan cara yang berorientasi-belia.