Program Sehari bersama Timbalan Menteri – Cipta Sejarah Tersendiri
Sempena Global Entrepreneurship Week
 

Pernahkan anda diberi peluang sewaktu zaman kecil anda untuk bersama seorang pemimpin negara seharian? Bagi 12 pelajar sekolah rendah sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur, pengalaman sehari bersama YB Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 11 November 2008, pastinya akan menjadi kenangan manis yang akan kekal di ingatan.

Program yang julung kalinya diadakan di Malaysia ini bertujuan untuk memupuk minat keusahawanan di kalangan anak-anak muda sejak di bangku sekolah lagi. Sepanjang program tersebut, 12 pelajar istimewa ini berpeluang bersama Dato' Saifuddin Abdullah secara dekat dan mengikuti semua program harian Dato bermula dari sarapan pagi di kediaman Dato' Saifuddin Abdullah hinggalah menyaksikan sidang Parlimen dan mesyuarat bersama usahawan. Mereka juga sempat beramah mesra bersama Dato' dan bertanyakan soalan-soalan peribadi kepada Dato'. Antaranya "Sekiranya Dato' tak jadi timbalan menteri, Dato' akan jadi apa?"soal Haziq Irfan, pelajar berusia 11 tahun sejujurnya.



Paling istimewa apabila YB Dato' Saifuddin bersama-sama semua 12 pelajar menaiki Skybus yang ditaja khas sebagai kenderaan rasmi program tersebut untuk bergerak ke semua aktiviti YB Timbalan Menteri sepanjang hari tersebut.

Pada acara penutup, pelajar-pelajar istimewa ini telah menyerahkan kad ucapan khas kepada YB Dato' Saifuddin tanda terima kasih atas kesudian seorang pemimpin negara yang sanggup meluangkan masanya di celah-celah kesibukan jadual harian untuk mendekati generasi muda dan mendengar pandangan dan idea mereka.

Penghargaan kepada pegawai-pegawai Insitut Keusahawanan Negara, tenaga-tenaga professional dari Warisan Global Sdn Bhd serta ahli-ahli Dewan Perniagaan Siswa Universiti Kuala Lumpur kerana menjayakan program yang sungguh bermakna ini.
 

 
 
 
   
 
s