Top

Twitter

22-01-2009 23:53

Membudayakan usahawan dengan ilmu

(Temubual ekslusif Dato Saifuddin Abdullah bersama wartawan Jamia Shukri telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 23 Disember 2008)

BARU-baru ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melaksanakan Program Gerak Usahawanan untuk pelajar Malaysia di Mesir. Apa rasionalnya program ini dibuka kepada mereka?

Program ini bertujuan menyemai keusahawanan di kalangan penuntut yang belajar di luar negara. Kira-kira 54,000 pelajar Malaysia menuntut di luar negara, termasuk 12,000 di UK, Mesir (8,000), Amerika Syarikat (6,000) dan Indonesia (5,000). Kita buka peluang kepada mereka sebagai persediaan melangkah ke dunia keusahawanan. Projek perintis Gerak Usahawan itu dimulakan di Mesir iaitu di Kaherah dan Iskandariah. Program ini nanti akan diperluaskan ke negara lain di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat dan Indonesia. Turut diperkenalkan mata pelajaran keusahawanan kepada pelajar luar negara seperti diwajibkan kepada pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA). Jika pelajar dalam negara ada Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti Malaysia, maka kita perluaskan perkara sama kepada pelajar luar negara. Pelajar luar negara yang berminat akan mengikuti kursus keusahawan secara on-line.

Bagaimana Datuk melihat cabaran yang bakal dihadapi dalam memastikan matlamat kerajaan untuk membudayakan keusahawanan itu, bermula di peringkat siswazah?

Cabarannya ialah sama ada boleh atau tidak kita meletakkan pelajar kita berada di kelas dunia. Misalnya, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) perlu memasuki ranking universiti antarabangsa. UniKL perlu mencari kaedah tersendiri, tidak boleh bertanding dalam universiti akademik, kerana ia adalah universiti kemahiran. Oleh itu, ia perlu setanding dengan universiti yang berasaskan kemahiran seperti universiti di Jerman yang menjadi negara terunggul dari segi universiti berasaskan kemahiran. Kita perlu setanding dengan Universiti Eton, di United Kingdom yang melahirkan 15 Perdana Menteri di seluruh dunia; Philips Akademi (Amerika Syarikat) atau kurang-kurangnya, Universiti Raffles (Singapura). Sementara itu, usahawan Malaysia perlu mempunyai ramai yang hebat dan bertaraf dunia. Contoh, kerepek ubi perlu menjadi makanan ringan yang popular seperti 'potato chips'.

Sebelum ini, kerajaan menggalakkan lepasan siswazah menceburi bidang keusahawanan. Apakah langkah seterusnya untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda khususnya siswazah menceburi bidang ini?

Kerajaan memberi tumpuan khas mewujudkan usahawan muda. Mengikut laporan hanya 2.4 peratus lepasan siswazah menceburi bidang keusahawanan berbanding di Amerika Syarikat 10 peratus. Sasaran pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ialah meningkatkan kepada lima peratus pembabitan siswazah dalam bidang berkaitan. Justeru, kementerian sedang menyediakan kursus baru kepada golongan muda. Kementerian merancang mewujudkan tiga bidang keusahawanan baru, iaitu Usahawan Kreatif, Usahawan Sukan dan Usahawan Teknologi Maklumat (IT). Usahawan Kreatif merangkumi pereka fesyen, muzik dan seni persembahan. Dalam bidang ini, kita akan mewujudkan ruang khas pada setiap Sabtu untuk usahawan muda itu mempamerkan produk mereka. Usahawan Sukan (menjual peralatan sukan, menguruskan aktiviti sukan). Penekanan melalui program Enterpreneurship Placement, Young Enterpreneurship Fan Club atau Kelab Keusahawanan Muda, selain memper-mudahkan proses kelulusan pinjaman Tabung Usahawan Siswazah (TUS) dan Francais Siswazah dipergiatkan bagi tujuan sama.

Apakah perancangan kementerian untuk memantapkan lagi latihan keusahawanan dalam pelbagai peringkat?

Ketika ini, latihan keusahawanan disediakan kementerian hanya dalam untuk asas keusahawanan. Sekarang kita merancang mewujudkan latihan mengikut penarafan, iaitu bermula daripada Tahap Satu (kursus asas keusahawanan), Tahap Dua (kursus pemantapan) dan Tahap Tiga (kursus kepada eksekutif). Kita juga mahu sijil Insken jadi seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang mempunyai tahap satu hingga empat. Sijil yang diperoleh itu memudahkan majikan menentukan tangga gaji mengikut tahap kursus diambil. Kementerian sedang menyediakan kertas Kabinet supaya agensi tertentu menerima sijil yang dikeluarkan oleh Insken sebagai sijil keusahawanan yang diiktiraf kerajaan.

Sejauh mana kesungguhan kementerian melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera pada masa depan?

Di bawah RMK-9, kementerian mensasarkan untuk membudayakan 1.5 juta Melayu dan Bumiputera dengan memberi pendedahan kepada bidang keusahawan. Kita mahu melahirkan 50,000 usahawan baru Bumiputera dan memantapkan 25,000 usahawan Bumiputera sedia ada dan melahirkan 50 francaisor dan 1,000 francaisi. Kementerian sudah melahirkan ramai usahawan sebelum ini. Mulai tahun depan, kerajaan memperuntukkan RM3 juta bagi R&D baru untuk tujuan pemetaan usahawan Bumiputera, indeks usahawan Bumiputera dan pemantauan keusahawan global. Dengan itu, kita akan dapat data lengkap mengenai usahawan terbabit termasuk di mana dan apakah operasi mereka. Semua data lengkap itu memudahkan kita menilai di mana tahap usahawan kita di peringkat antarabangsa.

Dalam RMK-9, kerajaan memberi penekanan terhadap modal insan. Sejauh mana Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menekankan aspek itu untuk melahirkan usahawan berdaya maju setanding di peringkat global?

Minggu lalu, kita adakan ‘retreat’ tahunan kementerian dan ketua bahagian bermesyuarat selama dua hari untuk menilai prestasi kerja sepanjang 2008 serta tumpuan dan fokus khas pada 2009. Bagi saya penekanan modal insan perlu dijana bagi melahirkan warga kerja dan usahawan Bumiputera bertaraf antarabangsa. Sejak kementerian ini ditubuhkan, sudah banyak melaksanakan program modal insan dalam bidang keusahawanan dan banyak kejayaan dicapai. Pada saya semua bahagian dan agensi di bawah kementerian perlu melipatgandakan kerja untuk membawa modal insan hingga ke peringkat antarabangsa. Contoh agensi ialah Mara, Tekun, Bank Rakyat, Bank Industri Kecil Sederhana manakala bahagian (Institut Keusahawanan Negara - Insken, Lembaga Pelesenan dan Kenderaan Perdagangan - LPKP) mempunyai peranan tersendiri ke arah itu.

Justeru, apakah strategi baru kementerian untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia?

Saya melihat kementerian ini memang memerlukan strategi baru untuk dilaksanakan bagi memperkasakan modal insan, iaitu dari segi peningkatan ilmu; penyelidikan dan pembangunan (R&D); kapasiti pendidik yang menjadi perintis program pengurusan ilmu; mempunyai kefahaman dan kesepakatan mengenai modal insan bersepadu; melaksanakan pendekatan baru dalam latihan dan pembangunan keusahawanan di bawah agensi kementerian. Oleh itu, semua pihak perlu meningkatkan kefahaman ilmu serta memahami budaya ilmu dengan menghayati setiap keputusan berasaskan kepada ilmu. Saya sarankan pegawai meningkatkan tabiat membaca. Sejajar itu, kita akan meningkatkan bahan bacaan dan rujukan di dalam perpustakaan di kementerian. Saya mahu ia menjadi perpustakaan keusahawanan terulung negara. Seperti pegawai kerajaan mereka merujuk kepada Institut Tadbir Awam Negara (Intan) atau guru mahu mencari buku mengenai perguruan dan pendidikan akan merujuk kepada Institut Aminuddin Baki. Pada masa sama, perlu meningkatkan aktviti R&D. Sekiranya ingin mengetahui sesuatu yang baru dalam bidang keusahawanan di Malaysia dan pencapaian Bumiputera dalam bidang keusahawanan, Insken sepatutnya menyediakan maklumat itu. Ketika ini belum capai ke tahap itu dan perlu dilakukan segera.

Sebilangan pegawai di agensi dan bahagian di bawah kementerian sering kali dilihat tidak profesional serta berilmu dalam bidang masing-masing sedangkan mereka adalah barisan utama melahirkan usahawan berwibawa?

Saya akui itu adalah antara kelemahan kita. Oleh itu, saya ingin tegaskan bahawa ilmu dan budaya ilmu perlu dimantapkan di kalangan pegawai. Pendidik, pensyarah, pengajar dan guru MRSM perlu meningkatkan tahap pendidikan ke peringkat doktor falsafah. Contohnya, Maktab Kerjasama Malaysia hanya mempunyai lima peratus doktor falsafah dan sasaran kita dalam tempoh tiga tahun bertambah kepada 20 peratus. UniKL umpamanya, perlu meletakkan dalam ranking universiti berasaskan kemahiran tersohor dunia manakala Mara sekolah bertaraf global. Warga kementerian seperti di Insken dan agensi penyedia bantuan pinjaman keusahawan termasuk Tekun, Mara, Bank Rakyat dan Bank Industri Kecil Sederhana, mesti mempunyai pemikiran baru sebagai separa pendidik kerana mereka memainkan peranan sebagai pembimbing, penasihat, mentor dan   jurulatih  keusahawanan.

Aduan turut kerap dilemparkan oleh orang ramai yang berdepan pelbagai kerenah kakitangan termasuk gagal berkomunikasi dengan baik dan memberi layanan sempurna?

Saya sudah arahkan supaya diadakan modul pembangunan keusahawanan bagi membolehkan pegawai terbabit tahu untuk berinteraksi dengan pelanggan yang ingin mendapatkan nasihat daripada mereka. Memang kita ada rungutan begitu. Kita tidak mahu bakal usahawan itu hilang kecenderungan menceburi bidang perniagaan disebabkan tindakan pegawai yang tidak cekap. Dalam hal ini, Insken dalam proses menjadikannya agensi tersendiri dan tidak lagi di bawah bahagian kementerian, tahun depan. Ia akan digerakkan menjadi sekolah keusahawanan terbaik dengan mencontohi sekolah perniagaan utama seperti Harvard, IMD dan Instead di United Kingdom (UK).

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in