Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my
Pada 17 Mac lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin perubahan bakal berlaku dalam parti itu.
"UMNO akan reform (berubah). Saya tidak akan cakap sekarang tetapi saya akan cakap apabila tiba masanya,' katanya.
Tiada siapa boleh membuat tafsiran bagaimana bentuk perubahan yang ingin dilakukan oleh bakal Presiden UMNO itu.
Tetapi Najib sedar bahawa risiko paling besar yang sedia menunggu UMNO ialah apabila parti itu ditolak oleh rakyat. "Itu kita tidak boleh terima, jadi setiap orang perlu berkorban demi kepentingan parti," katanya selepas menghadiri Persidangan Agenda Integriti Nasional Penilaian dan Hala Tuju di Institut Integriti Malaysia.
Pemilihan dan Perhimpunan Agung UMNO 24-28 Mac ini pasti menjadi tumpuan ahli politik dan rakyat biasa. Tetapi, biasanya selepas selesai perhimpunan, isu-isu yang dibahaskan kurang diterjemahkan menjadi tindakan.
Sebab itu, awal-awal lagi kita perlu peringatkan pemimpin dan perwakilan UMNO bahawa selesai sahaja perhimpunan, parti ini tiada pilihan lain selain melakukan perubahan.
Ada tiga faktor kenapa perubahan itu perlu dilakukan. Pertama, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008, keputusannya jelas menunjukkan jika UMNO masih berada di takuk lama, tidak ada perubahan yang nyata dan jelas, maka UMNO akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar dalam PRU 13 nanti.
Faktor kedua, dunia politik sudah berubah. Sekarang orang mula bercakap tentang demokrasi yang lebih luas. Orang sudah mula menyebut soal peranan yang boleh dimainkan oleh institusi di luar politik seperti sektor perniagaan dan masyarakat sivil.
Ini menyebabkan buku-buku politik dan pengajaran sains politik di universiti juga mula membincangkan tentang politik baru dan struktur yang baru.
Orang bercakap tentang kerangka governans baru. Ini bermakna orang sudah bercakap tentang falsafah, konsep, struktur dan proses politik.
Jadi kalau UMNO tidak berubah maka parti itu akan ketinggalan zaman.
Faktor ketiga ialah terdapat sinisisme yang tinggi terhadap politik di kalangan masyarakat terutama orang muda. Gelagat ahli-ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak di Dewan Rakyat kini membosankan dan memualkan.
Sebab itu jika UMNO tidak melakukan perubahan dibimbangi parti yang memimpin komponen Barisan Nasional (BN) akan berhadapan dengan masalah seperti di sesetengah negara maju yang mana peratusan rakyat yang keluar mengundi semakin berkurangan dan masyarakat menolak politik sama sekali.
Dalam suasana orang menolak politik, apa yang akan timbul ialah anarki. Maknanya, oleh sebab majoriti tidak mengundi maka mereka akan dipengaruhi oleh undi yang dibuat oleh minoriti.
Ini yang berlaku di Amerika Syarikat. Yang keluar mengundi sebenarnya ialah minoriti. Tetapi majoriti yang tidak keluar mengundi itu yang terasa bahang.
Di samping itu, sinisisme di kalangan orang muda sangat penting diberi perhatian.
Banyak pemimpin UMNO bercakap soal perubahan. Tetapi sejauh mana dan bagaimana perubahan itu perlu dilakukan.
Kepada Datuk Saifuddin Abdullah, UMNO perlu lakukan perubahan secara holistik dan drastik. Ia tidak boleh beransur-ansur, kecil-kecilan atau pinggir-pinggiran. UMNO sudah terlambat 10 tahun yang sepatutnya dilakukan perubahan selepas pilihan raya umum 1999.
Jadi bagaimana UMNO hendak mengisi perubahan? Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, cara untuk mengisi perubahan itu patut bermula dengan Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu membuat dasarnya dahulu sebelum Kabinet membuat dasar kerajaan.
Saifuddin berpendapat ada banyak dasar untuk mengisi perubahan dalam UMNO. Tetapi bagi beliau cukup jika beberapa bidang dasar untuk MT UMNO berikan perhatian.
UMNO perlu membuat dasar-dasar mengenai bidang yang dilihat praktikal dan perlu dilakukan sebagai sebuah kerajaan. Dasar tersebut perlu jelas supaya dapat dilaksanakan oleh pelaksana.
Pertama soal Pendidikan dan Latihan. Walaupun kita bercakap soal modal insan terutama dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tetapi nampaknya lain Kementerian lain penekanannya. UMNO perlu mempunyai agenda modal insan yang padu dan disepakati oleh semua, baru kita boleh bercakap perkara ini. Jika tidak ia seperti sekarang. Semua orang bercerita tentang modal insan tetapi ke mana akhirnya, apa sebenarnya modal insan.
Bagi Saifuddin, UMNO perlu merumuskan soal dasar ini. Antara perkara yang perlu ditimbulkan, pertama membetulkan nisbah akademik dan kokurikulum. Katanya, sekarang nisbahnya 90 peratus akademi tetapi 10 peratus kokurikulum. Nisbah yang sedia ada ini tidak tepat ia mesti lebih seimbang.
Beliau mencadangkan 70-30, 70 peratus akademik dan 30 peratus kokurikulum. Baru betul pendekatan untuk mengurangkan orientasi peperiksaan dalam sistem pelajaran negara.
Ini perlu dilakukan jika tidak ia bukan membetulkan modal insan.
Sebagai contoh universiti ternama di dunia seperti Harvard, mengiktiraf pencapaian kokurikulum pelajar yang mewakili bola sepak peringkat daerah dan bukan setakat mewakili sekolah.
Kedua MT UMNO perlu tekankan dasar latihan dan kemahiran. Sekarang latihan kemahiran masih menjadi pilihan kedua ibu bapa dan pelajar, sedangkan kita mahu menjadi negara maju. Negara maju bukan sahaja memerlukan saintis tetapi juga tenaga teknikal.
Kita kekurangan tenaga teknikal, chargemen pun tak cukup. Sebenarnya kita masih dalam paradigma - siapa yang keputusan akademiknya tidak begitu baik akan disalur ke aliran kemahiran. Jika kita benar-benar mahu membina modal insan yang seimbang akademik dan kokurikulumnya, kita mesti mengadakan kempen besar-besaran tentang pembudayaan kemahiran. Supaya latihan kemahiran menjadi pilihan yang saksama bukan jadi pilihan kedua.
Kita kena ikut model di Jerman, Jepun dan Australia, pelajar yang dapat A sepenuhnya pun mengikuti aliran kemahiran. Kita di sini tidak menggalakkan mereka berbuat demikian.
Jadi, sebagai langkah drastik, MT UMNO perlu melihat semula peranan tiga buah universiti awam yang pada awalnya ditubuh sebagai universiti kemahiran tetapi sekarang beroperasi sebagai universiti akademik. Ketiga-tiganya mesti kembali menjadi universiti kemahiran.
Saifuddin melihat kerajaan perlu meletak benchmark sekolah-sekolah supaya bertaraf kelas dunia. Sekarang kita bangga mengatakan sekolah berasrama penuh cemerlang tetapi dengan sekolah mana dibuat perbandingan. Membandingkannya dengan sesama sekolah berasrama penuh dalam negara ini sahaja belum memadai.
Bagaimana universiti di negara ini hendak berada di antara 200 universiti terbaik di dunia jika sekolah kita tidak pun menjadi terbaik di dunia.
MT UMNO juga perlu perhatikan ialah jati diri kebangsaan. Apakah yang telah terjadi kepada dasar kebudayaan kebangsaan. Orang sudah tidak menganggapnya penting.
UMNO tidak boleh berundur daripada memperjuangkan dasar ini. Kerana ini menentukan jati diri bangsa Malaysia.
"Dalam hal ini kita mesti hidupkan kembali persoalan dasar kebudayaan kebangsaan tetapi dengan memberi suntikan baru. Misalnya kita perlu masukkan unsur-unsur patriotisme zaman globalisasi, " kata mantan Presiden Majlis Belia Malaysia.
Menurut Saifuddin, kita masih banyak menggerakkan pembangunan dari Putrajaya dan ibu-ibu negeri sahaja. Kita mesti menghidupkan pihak kerajaan tempatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kita kurang beri perhatian kepada PBT. Hakikatnya kehidupan rakyat banyak berlegar dan berhubung dengan kerajaan tempatan.
"Jika UMNO ingin menang PRU 13, PBT tempatnya. Memenangi hati rakyat melalui PBT. Jika dikaji rungutan rakyat, kebanyakannya bukan soal marahkan Dasar Ekonomi Baru, tiada pelaburan masuk tetapi banyak masalah yang berhubung kait dengan perkhidmatan PBT," jelas Saifuddin.