Sekiranya wang menjadi faktor utama untuk menang pada pertandingan UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah siang-siang sudah mengaku kalah. "Saya tidak ada duit," kata calon Ahli Majlis Tertinggi itu.

Wajahnya tenang ketika dia menambah dengan tegas: "Tetapi, kalau saya ada duit pun saya tidak akan menggunakannya untuk tujuan politik. Kalau saya ditakdirkan naik, biarlah kerana kebolehan saya, bukan sebab duit."

Dia tidak percaya kepada politik wang, dan berasa sedih ada rakan-rakan dalam parti yang didapati bersalah kerana terlibat dalam amalan tidak sihat ini. Dia menegaskan: "Parti perlu dibersihkan dari unsur-unsur tidak sihat ini."

Beliau tidak akan menawarkan wang. Tetapi, sekiranya perwakilan memberi ruang untuknya di kerusi MT, ada tawaran lain yang akan diberi kepada orang Melayu.

"Saya berjuang untuk mewujudkan satu 'tadbir urus' yang lebih sempurna bagi UMNO, juga bagi BN. Kita sudah lama bercakap mengenai ketulusan, kita perlu membuktikannya secara sungguh-sungguh sekarang," kata beliau.

Satu lagi aspek yang diberi perhatian oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini ialah golongan remaja yang menurutnya boleh digembleng untuk sama-sama menguatkan parti.

Beliau menerima hakikat bahawa orang muda, termasuk golongan profesional, tidak berminat menyertai UMNO. Pilihan raya umum lalu menunjukkan pengundi muda lebih memihak kepada parti pembangkang.

Sekiranya imej buruk parti - rasuah, skandal, angkuh dan sebagainya - menjadi faktor penolakan, maka menjadi tanggungjawab semua ahli parti, khasnya di peringkat kepimpinan, untuk membuang imej tersebut.

Baginya UMNO tidak seburuk yang digambarkan oleh sesetengah pihak. Tetapi masalahnya ialah pemimpin gagal menjelaskan kepada golongan muda mengenai komitmen parti terhadap negara, khasnya terhadap orang Melayu.

"Saya melihat belia sebagai satu aset besar buat negara. Saya lama dalam perderakan belia, pada hemat saya kita belom betul-betul dapat memanfaatkan golongan ini. Sebagai contoh, kita perlu ada perwakilan belia dalam Parlimen," katanya.

Saifuddin, 47, lahir, dibesarkan dan mendapat pendidikan awal di Temerloh, Pahang sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya pada tahun 1981. Beliau lulus sarjana muda sastera pada tahun 1984 dengan pengkhususan di bidang sejarah.

Walaupun meminati dan mengikuti perkembangan politik sejak di kampus, tumpuan beliau setelah tamat belajar ialah dalam kegiatan belia, menerusi Majlis Belia Malaysia (MBM).

Dari ahli biasa beliau terpilih untuk menduduki Dewan Tertinggi badan tersebut pada tahun 1966. Perjuangan untuk belia diteruskan apabila beliau menduduki kerusi Setiausaha Agung MBM selama empat penggal dari 1990 hingga 1998. Saifuddin menerajui MBM sebagai Presiden dari tahun 1998 hingga 2000.

Beliau adalah antara orang yang bertanggungjawab membentuk Dasar Pembangunan Belia Negara pada 1997 yang antaranya menekankan kepada konsep kengupayaan belia atau 'youth empowerment'.

Pendedahannya di peringkat global juga tertumpu pada usaha-usaha memajukan belia. Beliau menjadi Timbalan Bendahari International Council for National Youth Policy (ICNIF) yang berpusat di Vienna.

Dari tahun 1995 hingga 2000 beliau menjadi perunding ESCAP yang berpusat di Bangkok yang terlibat dalam menyediakan pembangunan latihan untuk belia.

Dari tahun 2000 hingga 2004 beliau telah dipilih oleh Kofi Anan (Setiausaha Agung PBB) sebagai salah seorang anggota Panel Tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai pekerjaan belia.

Meminati politik sejak di universiti, Saifuddin mula aktif dalam UMNO pada tahun 2000 sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian Temerloh. Beliau kemudian menjadi Naib Ketua Bahagian pada tahun 2004.

Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008 lalu, beliau menang bagi kerusi Parlimen Temerloh dan dilantik menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.