SEPANG 2 Ogos - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah menggariskan pendekatan 'permintaan dan percaya' atau 2P dalam usaha menarik minat generasi muda menyokong perjuangan parti.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, bagi aspek permintaan, golongan muda mahu UMNO mendengar dan mengiktiraf pandangan mereka selain menyelesaikan setiap isu berkaitan mengikut aspirasi generasi baru.
"Orang muda juga amat mementingkan soal kepercayaan yang berasaskan kepada sejauh mana UMNO komited dalam memperjuangkan nasib bangsa dan agama,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sepang di sini hari ini.
Saifuddin berkata, golongan muda masa kini begitu kritis terhadap isu-isu politik berbanding generasi muda sebelum ini.
Beliau berkata, ini kerana mereka mempunyai banyak persoalan yang memerlukan ahli UMNO menjawab dengan sebaik mungkin.
"Ini bukan bermakna UMNO tidak relevan lagi tetapi sikap mereka lebih kritis dan kita perlu pandai melayan mereka.
"Mana-mana parti politik yang cuba memaksa golongan itu mengikuti kehendak mereka, tidak akan berjaya," katanya.
Beliau berkata, ahli UMNO juga bukan hanya perlu mempunyai komitmen tetapi integriti dalam perjuangan yang menjadi aspek utama penilaian rakyat termasuklah golongan muda masa kini.
"Kita boleh ada sistem dan jentera parti yang terbaik tetapi jika kita tidak ada integriti dan komitmen, kita akan gagal kerana rakyat hari ini bukan hanya mementingkan soal pembangunan ekonomi tetapi juga spiritual," katanya.