JASIN: Seramai 96 pelajar antarabangsa membabitkan 26 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara berkampung di Kem Bina Insan, Kampung Parit Penghulu di Sungai Rambai bagi menyertai Seminar Kepimpinan Pelajar Antarabangsa, baru-baru ini.
Seminar empat hari anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu membabitkan beberapa aktiviti mengasah tahap kecemerlangan pendidikan pelajar di samping mendidik mereka mengenali budaya antara satu sama lain.
Majlis perasmian seminar itu disempurnakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Turut hadir pada majlis itu Pengarah Pembangunan Pelajar KPT, Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan.
Ketika ditemui selepas majlis itu, Saifuddin berkata, seminar seumpama itu adalah aktiviti terbaru kementerian selaras dengan agenda kritikal yang diwujudkan KPT iaitu program pengantarabangsaan.
Katanya, program terbabit mempunyai beberapa matlamat antaranya ingin menjadikan Malaysia sebagai Hab Kecemerlangan Pendidikan Tinggi Serantau.
"Satu keperluan untuk menjadi hab kecemerlangan pendidikan tinggi serantau ialah jumlah pelajar antarabangsa yang ramai setanding dengan universiti ternama di dunia. Justeru, kita menggalakkan setiap IPT untuk mengambil lebih ramai pelajar luar negara menuntut di universiti masing-masing.
"Sekarang negara kita mempunyai lebih 70,000 mahasiswa dari pelbagai negara yang sedang belajar di universiti seluruh negara. Sebelum ini, KPT memantau program pelajar antarabangsa yang dilaksanakan oleh setiap universiti, tetapi kini selaras dengan program Hab Kecemerlangan Pendidikan Tinggi Serantau, kita membuat keputusan bahawa di peringkat kementerian sendiri perlu ada program khusus untuk golongan terbabit," katanya.
Saifuddin berkata, seminar kali ini adalah siri pertama yang dianjurkan dan pihaknya berazam untuk melaksanakannya setiap tahun serta dimasukkan ke dalam kalendar aktiviti KPT.
"Kita tidak boleh membabitkan semua 70,000 pelajar, sekali gus tetapi akan cari jalan untuk melaksanakannya di peringkat universiti. Apa yang uniknya program ini, ia menggabungkan antara pelajar Malaysia dan antarabangsa kerana kita mahu setiap pelajar merapatkan hubungan serta belajar budaya masing-masing.
"Selain itu, kita mahu pelajar luar negara mempunyai kenangan terbaik ketika berada di Malaysia. Bukan saja mereka kenang universiti, tapi kenang juga kerajaan serta rakyat negara ini. Mudah-mudahan, apabila mereka kembali ke negara asal, mereka boleh menjadi duta tidak rasmi Malaysia di negara mereka," katanya.