Top

Twitter

09-12-2009 19:13

Intelektual umpama gagak di rimba ?

Oleh WAN HASHIM WAN TEH

RENCANA "Jangan bunuh intelektual" oleh Saifuddin Abdullah - intelektual muda yang menduduki tampuk kuasa melalui UMNO dalam di akhbar ini pada 25 November lalu menarik perhatian saya.

Apabila beliau memetik tajuk buku Where Have All The Intellectuals Gone? oleh Frank Furedi, soalan yang sama boleh diajukan juga kepada kita.

Saifuddin mengambil seorang ulama intelektual muda, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin sebagai contoh. Mohd Asri baru-baru ini 'diserang' bertubi-tubi kerana kelantangannya bersuara. Alasan yang diberi ialah beliau tidak memohon kebenaran Majlis Agama Islam Negeri untuk berceramah.

Jawapan yang paling mudah pada soalan itu ialah sama ada intelektual kita sudah bisu atau penakut atau mereka sudah letih?

Seorang sahabat yang juga mantan Pengurus Besar ITNM sewaktu Seminar Peradaban Melayu anjuran Institut Peradaban Melayu, Universiti Perguruan Sultan Idris baru-baru ini membuat pengakuan, beliau sudah letih bila membincangkan persoalan mendaulatkan bahasa dan budaya Melayu.

Ironinya, beliau masih muda. Sebaliknya, orang-orang lama tetapi belum tua seperti Datuk Hassan Ahmad, Sasterawan Negara A. Samad Said, Prof (E) Abdullah Hassan, Prof. Zainal Kling dan tentunya Prof (E) Tan Sri Ismail Hussein serta Prof (E) Nik Safiah Karim dan ramai lagi masih begitu gagah dan bertenaga demi mempertahankan maruah bangsa.

Salah satu kejayaan besar Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diasaskan pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak ialah melahirkan anak-anak Melayu berpendidikan tinggi sehingga berkelulusan PhD. Sesetengahnya lulusan luar negara dan sudah bergelar profesor.

Mereka juga mengikuti pendidikan menerusi bahasa pengantar aliran Melayu dari sekolah rendah hingga ke universiti. Namun penguasaan mereka terhadap bahasa Inggeris adalah baik atau paling tidak, memuaskan.

Tetapi di mana mereka semua sekarang ini?

Jawabnya, ada di mana-mana. Masih giat membuat penyelidikan, menulis, berwacana - sama ada di sudut bilik seminar atau di warung kedai kopi - tetapi amat jarang mendapat liputan media.

Sebagai contoh, Selasa minggu lalu saya membaca ruangan blog dalam sebuah akhbar harian. Idea memandaikan diri atau bangsa melalui pembinaan korpus ilmu atau kepustakaan dalam bahasa sendiri adalah sesuatu yang amat menarik tetapi ramai yang masih jahil mengenainya.

Lantaran, sesetengah daripada kelompok yang jahil ini masih membuat desakan kepada kerajaan agar sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di kembalikan.

Mereka mahu PPSMI dilaksanakan semula walaupun untuk sekolah-sekolah tertentu sahaja di Lembah Klang atas alasan yang amat menyakitkan hati.

Alasan mereka: "bahasa Malaysia itu bukan bahasa ilmu, terutama dalam bidang sains dan matematik". Perkara itu terkandung dalam ruangan surat dari pembaca dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Persoalannya ialah wajarkah wacana ilmiah daripada seorang ilmuwan UPSI serta tokoh bahasa layak disiarkan di sudut bawah serta menumpang pada ruangan sastera seminggu sekali sahaja? Alahai.

Isu PPSMI adalah satu contoh terbaik budaya ilmu dipinggirkan apabila suatu keputusan yang amat besar dan menyentuh dasar dibuat dengan tidak terlebih dahulu merujuk kepada para ilmuwan yang lebih arif mengenainya.

Dan ternyata, keputusan menarik balik dasar yang telah gagal itu adalah tepat dan waras.

Saya mengenali seorang ahli Parlimen penggal lalu (2004-08) berkelulusan PhD dan pernah berkhidmat di sebuah universiti tetapi sudah digugurkan atau - dicantas oleh pemimpin negeri atau ketua bahagiannya sendiri yang takut kepada orang berkelulusan tinggi - seperti yang didakwanya.

Semestinya, untuk menjadi seorang pencinta apatah lagi pejuang bahasa di tanah air sendiri seperti Malaysia adalah sesuatu yang amat meletihkan, pada hal di negara-negara lain isu ini sudah berpuluh-puluh tahun malah beratus-ratus tahun lalu telah pun diselesaikan.

Kerana itu, ada intelektual kita yang memilih untuk menjadi "cendekiawan bisu".

Tepat sekali seperti pernah disuarakan oleh seorang lagi intelektual aktivis politik yang masih belum bisu bahawa pejuang bahasa kini ibarat pujangga tua yang sedang menunggu hari-hari terakhir kematian mereka.

Dalam lain perkataan, suara-suara mereka sesekali-sekala sayup-sayup terdengar tetapi begitu jauh seperti suara gagak-gagak hitam di rimba belantara. Mereka masih belum bisu, masih bersuara. Tetapi, siapakah yang mahu mendengar suara mereka?

DATUK DR. WAN HASHIM WAN TEH kini Profesor di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

 

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in