Saya ingin membetulkan laporan media tempatan pada Isnin, 25 Januari 2010 yang memetik saya mengatakan UiTM akan mengambil 200,000 orang pelajar bagi kemasukan Sesi 2010/2011 ini. Sebenarnya, saya mengatakan UiTM akan meningkatkan jumlah keseluruhan pelajar (bukannya jumlah pengambilan pelajar) daripada 100,000 kepada 200,000 dalam masa terdekat.

Kenyataan ini saya buat sebagai mengulas desakan Persatuan Pribumi Perkasa Melayu (Perkasa) Pahang semalam supaya sistem meritokrasi yang digunakan untuk pengambilan masuk pelajar ke IPTA yang digunakan kini diubah kembali kepada sistem kuota. Perkasa mendakwa bahawa sistem meritokrasi menyebabkan jumlah pelajar Melayu dalam bidang-bidang kritikal di IPTA telah merosot hingga ke hari ini.

Dalam kenyataan saya semalam, saya menyatakan bahawa data yang digunakan Perkasa itu adalah data tahun 2003 sahaja dan ia saya perlu teliti terlebih dulu. Saya juga perlu dapatkan maklumat yang benar dan sahih untuk menilai letak sebenar keadaan tersebut hingga hari ini.

Saya juga mengatakan bahawa pada sepanjang pengetahuan kami, sistem meritokrasi tidak menyebabkan jumlah pelajar Melayu dalam bidang-bidang kritikal terjejas. Di samping itu, saya mengatakan bahawa dalam masa terdekat UiTM akan menambah jumlah keseluruhan pelajarnya kepada angka yang lebih besar iaitu 200,000, bagi memastikan kedudukan pelajar Melayu dalam bidang-bidang kritikal sentiasa terjaga dengan baik.  
 

DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH