Top

Twitter

01-02-2010 05:19

Jangan salahkan pelajar tolak e-undi

SHAH ALAM - Penolakan mahasiswa terhadap sistem pengundian berkomputer (e-undi) yang dilaksanakan sepanjang Pilihan raya Kampus di seluruh intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu diberikan perhatian serius universiti dalam memastikan sistem berkenaan diterima umum memandangkan kaedah berkenaan adalah pendekatan terkini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, universiti terlibat perlulah mengkaji masalah yang dihadapi pihaknya berikutan bantahan mahasiswa dipremis mereka sedangkan masalah berkenaan tidak melibatkan universiti lain.

"Buat masa ini hanya Universiti Malaya (UM) menerima bantahan keputusan e-undi dan tidak timbul isu yang sama di IPTA lain.

"Jadi tidak timbul isu e-undi, sebaliknya pihak Hal Ehwal Mahasiswa (HEM) universiti berkenaan perlu mengembalikan keyakinan mahasiswa dalam melaksanakan sistem ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Karangkraf di sini, semalam.

Menurutnya, perkara itu hanya timbul selepas mahasiswa hilang keyakinan terhadap pengurusan universiti dari segi ketelusan dalam melaksanakan e-undi.

"Sepatutnya, universiti perlu memainkan peranan mereka sebagai badan yang bebas dan telus sebagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika melaksanakan pengundian.

"Di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) e-undi adalah yang terbaik dan harus diteruskan, oleh yang demikian sekiranya ada bantahan kita berpendirian universiti perlu memainkan peranan mereka menerangkan mahasiswa tentang manfaat dan kaedah perlaksanaannya

"Berhubung kes ini, KPT telah mengarahkan pihak universiti menyelesaikan perkara ini dan masih menunggu keputusan mengenainya," katanya.

Dalam sidang medianya selepas itu, beliau berkata, pengurusan universiti diminta supaya bertindak adil dan tidak menyingkirkan sembilan mahasiswa yang ditahan polis kerana menga-dakan demonstrasi membantah proses pilihan raya kampus di ibu negara Sabtu lepas.

"Setiap universiti mempunyai pelbagai bentuk tindakan tatatertib di mana tindakan buang pelajar adalah jalan terakhir. Saya harap ia tidak akan sampai ke tahap itu.

"Mengikut artikel 7 Per-lembagaan Persekutuan, ada menyebut tidak ada dwi dakwaan terhadap rakyat Malaysia selepas didapati bersalah,” katanya.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in