
|
|
Saifuddin Abdullah bersama para pelajar ASEAN selepas merasmikan Persidangan ASEAN Logics 2010 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi. - BERNAMa
|
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Satu pendekatan baru melibatkan kerjasama antara kerajaan di ASEAN bersama golongan belia perlu diberi perhatian serius dalam usaha merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang 2015.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerjasama ke arah kesatuan Komuniti ASEAN yang akan dibentuk berteraskan ekonomi, keselamatan dan sosio budaya itu, tidak akan tercapai sekiranya suara belia di rantau ini tidak didengari.
Katanya, ketua-ketua kerajaan ASEAN perlu memahami konsep pemerkasaan belia yang membolehkan golongan itu berfikir dan bertindak terhadap isu berkaitan kehidupan, persekitaran dan masa depan mereka.
"Bagaimana Sidang Kemuncak ASEAN boleh berbincang tentang masa depan sedangkan tiada wakil daripada pihak belia yang menghadiri persidangan tersebut?
"Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Berkenaan Belia (AMMY) pula dianggap kurang penting, sementara Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) yang mewakili persatuan belia dari 10 negara di rantau ini perlu diberi lebih pengiktirafan," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan ASEAN Logics 2010 bertemakan Kami Berfikir, Merasai dan Bertindak ASEAN di sini hari ini.
ASEAN Logics adalah singkatan kepada Tindakan Mahasiswa ASEAN Kepada Masyarakat untuk Sumbangan Tempatan dan Rantau ASEAN.
Hadir sama Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN, Dr. Filemon A. Uriarte Jr. dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, masih terdapat ruang penambahbaikan agar suara belia negara ini didengari.
Beliau berkata, banyak perubahan dilakukan sebelum ini termasuk Dasar Pembangunan Belia Kebangsaan 1997, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 dan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975 pada Februari lalu.
"Tetapi sebagai bekas pemimpin belia, saya belum berpuas hati sepenuhnya," kata beliau.
Saifuddin mencadangkan pendekatan baru berorientasi belia dalam konteks mahasiswa melalui "pengantarabangsaan atau mengaseanisasikan" pendidikan tinggi.
Beliau berkata, langkah ini dapat dilaksanakan dengan merancang dan mengkaji semula inisiatif universiti termasuk program pertukaran pelajar, pendidikan transnasional serta pengantarabangsaan kurikulum, populasi mahasiswa dan fakulti.
Tambahnya, pandangan mahasiswa mesti diambil kira dalam menambah baik kualiti persekitaran pembelajaran.
ASEAN Logics 2010 yang dianjurkan UIAM itu dihadiri 48 mahasiswa terpilih mewakili delegasi setiap negara ASEAN.
Ia bertujuan mengumpulkan semua belia ASEAN dalam satu forum bagi membantu mengambil tindakan menyelesaikan masalah berkaitan komuniti itu di rantau ini.
Selain persidangan, delegasi turut menghadiri seminar dan perbincangan, lawatan serta sesi berkongsi pandangan dan pengalaman.