TEMERLOH LAKSANA PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN
Datuk Saifuddin Abdullah
Ahli Parlimen Temerloh
3 Feb 2010
Temerloh akan melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (PTK) dengan mempunyai Bidang Keberhasilan Utama (KRA) selaras dengan PTK peringkat kebangsaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lalu.
Temerloh akan mengimplementasikan keenam-enam KRA, iaitu mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar.
Bagaimanapun, daripada keenam-enam KRA itu, Temerloh mungkin memberikan fokus kepada beberapa KRA tertentu, iaitu bergantung kepada keperluan sebenar.
Proses mengenalpasti kandungan PTK ini bermula pada hari ini dengan perbincangan antara saya sebagai Ahli Parlimen Temerloh dengan Pegawai Daerah Temerloh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Pegawai Polis Daerah, Pegawai Pelajaran Daerah dan Pegawai Suruhanjaya Badan Pencegah Rasuah Malaysia Cawangan Temerloh.
Pegawai-pegawai tersebut adalah mereka yang sebenarnya bertanggungjawab melaksanakan PTK di peringkat akar umbi. Tetapi, memandangkan bahawa ia melibatkan pelbagai agensi dan saya ingin memastikan bahawa PTK ini benar-benar terlaksana dengan sebaik-baiknya, maka saya menawarkan diri untuk menjadi koordinatornya.
Untuk memastikan PTK Temerloh berjalan mengikut pelan hala tuju PTK kebangsaan, pada 2 Feb, saya telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Idris Jala, Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri. Menurutnya, Temerloh adalah kawasan akar umbi pertama yang telah menyatakan hasrat untuk melaksanakan PTK dalam bentuk yang dikoordisasikan begini.
Pada minggu depan, pegawai-pegawai PEMANDU akan turun ke Temerloh untuk membantu perancangan pelaksanaan PTK Temerloh. Saya menjangkakan PTK Temerloh akan dapat diumumkan kepada penduduk Temerloh pada awal Mac 2010.
Saya berharap inisiatif PTK Temerloh akan dapat melicinkan lagi dan mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan di kawasan ini dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.