Top

Twitter

03-03-2010 21:13

MELAKSANA BIDANG KEBERHASILAN UTAMA TEMERLOH

Pada 6 Mac ini, Temerloh mula melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Temerloh (TKRA). TKRA adalah terjemahan kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP), khususnya Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini.

Menurut Datuk Seri Najib, GTP adalah apa yang diperlukan untuk memacu kita ke arah mencapai Wawasan 2020. Ia menerangkan secara terperinci sebuah program yang berani dan di luar jangkaan untuk mengubah kerajaan dan memperbaharui fokus mengenai penyampaian perhidmatan kepada rakyat.

Ia memberi tumpuan kepada perkara-perkara utama yang amat penting bagi rakyat, sejajar dengan konsep Rakyat Didahulukan. Kerajaan akan membuat perubahan-perubahan penting demi mendatangkan hasil yang besar dan cepat, selaras dengan konsep Pencapaian diutamakan. Setiap rakyat akan menikmati hasil pembangunan negara, tinggal dalam masyarakat yang bersatu dan bangga menjadi rakyat Malaysia, sesuai dengan konsep 1Malaysia.

GTP terdiri daripada dua perkara utama. Perkara pertama ialah kandungannya. Sebelum era Datuk Seri Mohd Najib, terdapat beberapa inisiatif penambahbaikan sistem kerajaan.

Contohnya, dalam buku diedit Halimah Abd Manaf, dll. (2008), Pemantapan Urus Tadbir Sektor Awam, Ahmad Atory Hussain menulis tentang reformasi pentadbiran kerajaan dalam konteks penswastaan, terutamanya pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, penekanan diberikan terhadap penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan.

Kandungan GTP yang paling penting ialah dasar matlamatnya. Premisnya bukan lagi output. Tetapi, ia menekankan sesuatu yang lebih fundamental iaitu keberhasilan (outcome). Isi-isinya, sama ada enam atau enam belas NKRA adalah persoalan kedua. Persoalan pertama dan paling penting ialah dasar matlamatnya.


________________

• Tulisan ini disiarkan dalam kolum penulis “Sudut Ketiga”, Utusan Malaysia, 3 Mac 2010; dibicarakan dalam “Agenda Awani”, Astro Awani, 3 Mac 2010 (bersama Sdr Shahidullah Shayaa, PEMANDU, JPM); dan dijadikan teks ucapan pelancaran TKRA di Sidang Ke-3 Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT), 6 Mac 2010.    


Dasar matlamat umpama pandangan alam. Pandangan alam menentukan matlamat sebenar dan mempengaruhi isi-isinya. Contoh pandangan alam ialah, pada masa manusia percaya bahawa dunia adalah permukaan leper yang berhujung, manusia tidak berani belayar jauh ke tengah lautan kerana takut terjatuh di tebing dunia. Kerana itu, kemahiran membuat kapal dan kecanggihan kapal tidak seberapa, kerana ia sekadar untuk belayar di kedekatan sahaja.

Tetapi, apabila manusia percaya bahawa dunia ini bulat, maka, kemahiran membuat kapal dan kecanggihan kapal bukan sahaja berubah menjadi amat cemerlang, malahan ia membuka jendela kepada seribu satu penemuan yang bersifat lompatan saujana.

GTP mempunyai dasar matlamat yang berasaskan pandangan alam yang baru yang mampu memacu kita mencapai kejayaan bersifat lompatan saujana. Ditambah pula dengan isinya yang padat, yang berasaskan data, fakta, perbincangan dan perundingan, maka ia adalah inisiatif perubahan kerajaan yang benar-benar bersifat transformasional.

Antara negara luar yang mempunyai inisiatif yang hampir sama dan sesuai dibandingkan ialah UK. Menurut Andrew Massey dan Robert Pyper (2005), dalam bukunya Public Management and Modernisation in Britain, negara itu melalui dua perubahan besar pada era dua orang Perdana Menteri dalam tiga dekad lalu. Pertama, ialah “Pengurusan Awam Baru” pada zaman Margaret Tatcher, dan kedua, “Modenisasi” pada zaman Tony Blair.

Apabila dikaji orientasi, kesinambungan dan perubahan dalam kedua-dua perubahan di UK itu, maka jelaslah bahawa GTP adalah lebih komprehensif.

Perkara kedua, ialah pendekatan GTP. Ia menggunakan pendekatan baru yang tidak pernah digunakan di negara ini sebelum ini, tidak juga dalam kes UK itu, dan mungkin tidak di mana-mana negara lain.

GTP bermula dengan kerajaan mendengar suara rakyat menerusi pelbagai sumber seperti kajian oleh pihak bebas, aduan rakyat, laporan media (termasuk media baru seperti laman web Datuk Seri Najib) dan lain-lain. Ini diikuti dengan penubuhan makmal-makmal yang memerah minda para anggotanya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Dari sana lahirlah NKRA. NKRA ini seterusnya dipamerkan kepada khalayak untuk mendapatkan maklum balas. Kini, ia telah dilancarkan dan mula dilaksanakan. Selepas ini, maklumat tentang kemajuannya akan dikongsi dengan rakyat.

Ini adalah pendekatan demokrasi partisipatif yang amat signifikan, yang amat sesuai dengan zaman yang memerlukan amalan politik baru pada hari ini.

Atas semangat inilah maka TKRA dilahirkan. Keenam-enam NKRA itu diterjemahkan menjadi enam TKRA. Jika NKRA melibatkan kementerian di peringkat persekutuan, maka, TKRA melibatkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan di peringkat daerah, iaitu Pejabat Daerah Temerloh, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Polis Daerah (PDRM), RELA Daerah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Daerah (SPRM). TKRA juga mendapat khidmat nasihat daripada Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri.

Antara indikator TKRA adalah:

- Mengurangkan jenayah. Walaupun Temerloh tidak termasuk 50 kawasan paling panas, tetapi ia tidak mahu menjadi kawasan ke-51 atau kadar jenayahnya meningkat. Antara yang diperkenalkan ialah memasang CCTV, balai bergerak, community policing dan meningkatkan peranan RELA.

- Membanteras rasuah. Kita komited dalam hal ini. Program Character First dan kesaksamaan dalam pemberian kontrak telah dimulakan.

- Mempertingkatkan pencapaian pendidikan. Matlamatnya ialah Temerloh nombor satu. Perlu mengekalkan pencapaian literasi 93 peratus (mengatasi purata negara) dan memperbaiki pencapaian numerasi 85 peratus (di bawah purata negara); dan mendapatkan sekurang-kurangnya dua Sekolah Prestasi Tinggi (SPT).

- Mempertingkatkan taraf kehidupan isirumah berpendapatan rendah. Membasmi kemiskinan tegar  dan menubuhkan ladang rakyat.

- Mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar. Penggunaan tanah lebih sistematik dan pembangunan berimpak tinggi.

- Memperbaiki pengangkutan awam bandar. Mewujudkan terminal pengangkutan bersepadu dan memperluaskan capaian pengangkutan awam.

TKRA adalah lanjutan kepada Enam Bidang Pembangunan Tumpuan Kawasan Parlimen Temerloh yang telah dilaksanakan sejak Mac 2008, iaitu pendidikan dan latihan, kesihatan dan kecergasan, pekerjaan dan ekonomi, jati diri dan sosio-budaya, partisipasi dan masyarakat sivil serta prasarana dan kemudahan awam.

TKRA akan dilancarkan di sidang Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT). MPPT ialah platform perundingan perwakilan-perwakilan ketiga-tiga sektor pembangunan tempatan, iaitu kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil. Ia dipengerusikan Ahli Parlimennya dan bersidang dua kali setahun. Ia umpama “Parlimen Temerloh”.

Kemajuan TKRA akan dilaporkan di sidang2 MPPT akan datang. Semoga ia dapat membantu merealisasikan hasrat murni Datuk Seri Najib agar keberhasilan GTP dilihat, disentuh dan dialami rakyat.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in