Top

Twitter

19-03-2010 19:33

1Malaysia ikut sunnah Nabi

KUALA LUMPUR - Pendekatan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW yang bertindak menyatupadukan umat Islam dengan kaum-kaum lain yang terdapat di Madinah ketika baginda berhijrah dari Makkah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu dizahirkan melalui gagasan Piagam Madinah atau Sahifah Madihah.

“Najib ada banyak pilihan untuk dijadikan kandungan utama ucapan sulungnya pada April tahun lalu tetapi, beliau menggunakan pendekatan perpaduan, iaitu selaras sunnah Rasulullah,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media di Parlimen, semalam, sebagai mengulas tindakan pihak pembangkang mempertikaikan konsep 1Malaysia pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, kelmarin.

“Paling mengecewakan, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaitkan 1Malaysia dengan 1Israel yang menurutnya dipopularkan Ehud Barak sewaktu kempen pilihan raya Israel tahun 1999,” katanya.

Saifuddin berkata, hujah bersifat 'teori konspirasi' dan sering digunakan pembangkang menggambarkan kedangkalan pemikiran mereka dalam cuba menolak gagasan 1Malaysia.

“Kita dahagakan pertikaian konstruktif daripada mereka dan bukannya dakwaan-dakwaan tidak berasas sama sekali,” katanya.

Beliau mempersoalkan justifikasi pembangkang mendakwa 1Malaysia ditiru daripada konsep 1Israel sedangkan pendekatan sedemikian banyak digunakan negara-negara lain untuk menyatupadukan rakyat masing-masing.

“Kalau dilihat dalam sejarah, pendekatan sebegini dimulakan Maharaja Shih Huang Ti sekitar 210 SM untuk menyatupadukan empayar China sebagai ‘unified states’ melalui konsep ‘All Nation Under Heaven'.

"Malah, sewaktu menjadi tuan rumah Piala Dunia Ragbi pada 1995, Nelson Mandela selaku Presiden Afrika Selatan, menggunakan sukan tersebut di bawah konsep '1 Sport 1 Nation' untuk menyatupadukan kaum kulit putih dan kulit hitam," katanya.

Menurut Saifuddin, Kesatuan Eropah (EU) juga menggunakan konsep '1 Europe 1 Currency' untuk menyatupadukan anggotanya bagi menerima mata wang Euro pada 1999.

"Pendekatan menyatupadukan bangsa dan negara tidaklah eksklusif hanya kepada Israel dan kalau diamati, 1Malaysia juga tidak hanya berkisar soal menyatupadukan rakyat kerana rakyat telah bersatu padu sejak negara merdeka.

“Sebenarnya, 1Malaysia diilhamkan untuk mengangkat tahap perpaduan negara ke tahap seterusnya iaitu memperkukuhkannya lagi,” kata Saifuddin. - Bernama

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in