TEMERLOH 11 April - Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diminta membuat kajian yang komprehensif dalam usaha membantu kerajaan merangka strategi menggalakkan dan membolehkan lebih ramai golongan muda memiliki rumah sendiri.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kajian tersebut perlu dilakukan kerana sebahagian besar daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah tidak memiliki rumah sendiri.
Katanya, kajian itu harus meneliti beberapa maklumat seperti bilangan sebenar golongan terbabit, usia dan pekerjaan.
"Kajian turut perlu merangkumi bilangan belia yang sudah bekerja dan memiliki rumah dan kemudahan-kemudahan lain yang difikirkan perlu.
"Ini harus dilakukan segera, jika tidak diatasi ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan golongan terbabit malah akan membebankan kerajaan di kemudian hari," kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Malam Jasamu di Kenang di Hotel Seri Malaysia di sini malam tadi.
Menurut Saifuddin, rumah merupakan aset penting bagi seseorang untuk menempatkan keluarga bagi jaminan masa depan masing-masing.
Katanya, jika seseorang itu tidak memiliki rumah maka kehidupannya tidak akan lengkap sebagai pemimpin keluarga.
"Oleh itu, kajian khas dan terperinci perlu dilakukan segera bagi membantu kerajaan mengatasi masalah perumahan di kalangan golongan muda.
"Kajian ini boleh diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Belia yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.
Beliau yang jiga Ahli Parlimen Temerloh berkata, kajian itu harus juga memperhalusi peranan setiap pihak secara langsung dalam industri perumahan seperti kerajaan tempatan, pemaju perumahan, arkitek serta institusi kewangan.
"Setiap entiti ini perlu ada pemikiran baru tentang konsep perumahan untuk semua dan tidak hanya mengoptimumkan keuntungan," tambahnya.