Top

Twitter

14-04-2010 19:40

Najib bina kerangka baru kerajaan

PADA 3 April lalu, genaplah setahun Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

Pada tahun lalu, melalui bukunya, Menakhoda Zaman, terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Datuk Seri Najib telah menggariskan keperluan untuk menyingkir kelemahan, menyahut cabaran, menggerak perubahan dan membina masa depan negara.

Pada 20 Mac lalu, dalam sesi membaca buku anjuran ITNM di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Datuk Seri Najib membaca Bab 5 daripada buku tersebut, iaitu 'Pertarungan Minda Perang Masa Depan'.

Ia menyentuh tentang keperluan memantapkan kepemimpinan yang dinamakan 'kepemimpinan transformasi', iaitu satu bentuk kepemimpinan yang menjana penambahbaikan ketara sehingga sesebuah masyarakat ditransformasi menurut visi dan pemimpin itu.

'Transformasi' menjadi kata kunci terpenting pentadbiran Datuk Seri Najib. Menurut Kamus Dewan, transformasi bermakna 'perubahan bentuk (sifat, rupa, keadaan)'. Dari segi kerajaan, beliau menggunakannya dalam Program Transformasi Kerajaan (PTK), manakala dari segi ekonomi, beliau menggunakannya dalam Program Transformasi Ekonomi (PTE).

Banyak yang telah dibincangkan sebelum ini tentang PTK. Ia adalah reformasi sistem berkerajaan yang paling komprehensif di negara ini. Jika dibandingkan dengan inisiatif yang hampir sama yang pernah dilakukan di negara lain, misalnya di United Kingdom (UK), iaitu seperti yang dirakamkan oleh Andrew Massey dan Robert Pyper (2005) dalam bukunya Public Management and Modernisation in Britain, maka PTK adalah lebih mendalam dan meluas.

PTE baru sahaja diumumkan Datuk Seri Najib di Invest Malaysia 2010 pada 30 Mac lalu. PTE menjadi landasan untuk melahirkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang merangkumi tiga prinsip, iaitu berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemapanan.

Dari segi berpendapatan tinggi, matlamatnya adalah untuk rakyat memiliki pendapatan antara AS$15,000-AS$20,000 (RM49,500 - RM66,000) per kapita pada tahun 2020. Keterangkuman bermatlamat untuk membolehkan semua komuniti menikmati kekayaan negara sepenuhnya. Manakala matlamat kemapanan adalah untuk memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan generasi akan datang. Matlamat akhir MEB adalah meningkatkan kualiti hidup rakyat.

MEB bersifat futuristik dan mengambil kira ciri-ciri negara pada 2020, iaitu berpandukan pasaran, tadbir urus yang rapi, berintegrasi serantau, keusahawanan dan inovatif.

Jika PTK mengandungi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), maka PTE mengandungi lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS), iaitu menyuburkan kembali sektor swasta, membangunkan tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing, mengukuhkan sektor awam, tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran, membina infrastruktur berasaskan pengetahuan, meningkatkan sumber pertumbuhan, dan memastikan kebolehmapanan pertumbuhan.

Jelas bahawa MEB bersifat progresif. Jika dibandingkan dengan pengalaman beberapa buah negara Eropah, seperti yang dibincangkan David Halpern (2010) dalam bukunya The Hidden Wealth of Nations, kita mempunyai peluang untuk bukan sahaja menjadikan rakyat berpendapatan tinggi, tetapi juga lebih sejahtera dan bahagia, iaitu di tengah-tengah perubahan masyarakat sejagat, perubahan nilai dan perubahan peranan kerajaan.

Apakah pendekatan politik unik yang diambil oleh Datuk Seri Najib dalam kedua-dua PTK dan PTE? Jawapannya adalah pendekatan yang amat demokratik, iaitu dengan mengamalkan demokrasi partisipatif atau deliberatif.

PTK tidak dibentangkan begitu sahaja kepada rakyat sebagai program kerajaan yang lengkap dan datang dari atas. Sebaliknya, ia melalui proses perundingan yang panjang seperti kajian, laporan media, makmal, pameran dan maklum balas, serta melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Begitu juga dengan PTE. Apa yang diumumkan setakat ini adalah laporan daripada Majlis Penasihat Ekonomi Negara. Kini, ia akan dirundingkan melalui pelbagai cara dengan pelbagai pihak berkepentingan sehingga ia diumumkan sebagai inisiatif lengkap pada pertengahan tahun ini.

Memanglah tempoh masa setahun terlalu awal untuk mengukur sejauhmanakah transformasi itu telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Namun demikian, ternyata tempoh masa tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada rakyat.

Menurut kajian terbaru oleh Merdeka Center, sebanyak 68 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Ini adalah peningkatan yang begitu ketara jika dibandingkan dengan angka 44 peratus pada bulan April 2009, iaitu ketika beliau baru menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ia juga merupakan angka terbaik dalam tempoh setahun beliau sebagai Perdana Menteri, berbanding 65 peratus pada Jun 2009 dan 56 peratus pada September 2009.

Angka terbaru dan tertinggi 68 peratus itu dicapai di sebalik isu kalimah Allah dan diikuti dengan serangan terhadap beberapa buah rumah ibadat. Ia juga kesan daripada ekonomi yang mulai pulih serta masalah-masalah yang berlaku di pihak pakatan pembangkang seperti keluar parti dan konflik dalaman.

Dalam ucapannya mengumumkan PTE dan MEB itu, Datuk Seri Najib telah mengungkapkan satu perkara yang amat penting tentang pentadbirannya. Katanya: "Fikirkan sebuah rumah yang disinari mentari Malaysia. Kita memerlukan bumbung - falsafah yang merangkumi kesemua bahagian binaan ini. 1Malaysia merupakan bumbung tempat kita semua berteduh. PTK merupakan satu tiang asas kepada rumah ini. Tiang asas kedua adalah PTE yang akan membangunkan MEB. Dan lantainya, asas di mana kesemua rakyat Malaysia terus bergerak ke hadapan, adalah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11".

Dalam konteks ini, sebenarnya Datuk Seri Najib bukan sekadar melakukan transformasi. Ini kerana transformasi boleh berlaku dalam kerangka lama. Tetapi, sebaliknya, apa yang sedang dilakukannya adalah membina satu 'kerangka baru kerajaan' (new government architecture). Ia meliputi falsafah, gagasan, dasar, program, pelaksanaan, penilaian, pendekatan dan pemikiran yang baru dan segar.

Tempoh masa setahun adalah terlalu awal untuk melihat keberhasilan kerangka baru kerajaan Datuk Seri Najib. Tetapi, kalau membandingkan inisiatif yang pernah diteroka, misalnya, tiga bentuk kerangka kerajaan di Eropah dan Pasifik, iaitu sosial demokrat (Denmark, Sweden, Norway), demokrat-kebajikan Kristian (Belanda, Perancis, Jerman) dan kebajikan liberal (UK, Australia, New Zealand), yang mengambil masa purata satu atau dua dekad untuk memperlihatkan hasilnya, seperti dikaji oleh Jingjing Huo (2009) dalam bukunya Third Way Reforms, maka, Datuk Seri Najib mampu membina satu kerangka baru kerajaan yang progresif dan dalam liganya yang tersendiri.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in