Top

Twitter

13-05-2010 07:12

GLC diseru beri pengalaman kerja

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendahului industri lain dalam usaha memberi pendedahan bekerja kepada pelajar universiti melalui program latihan amali pada musim cuti.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sebahagian daripada kira-kira 100,000 graduan yang dilahirkan pusat pengajian di negara ini setiap tahun tidak memiliki pengalaman bekerja yang mencukupi.

“Melalui program ini, pada musim cuti panjang seorang pelajar boleh bekerja di mana-mana syarikat tanpa mengharapkan imbuhan lumayan. Malah, di negara maju pelajarnya boleh bekerja dengan Menteri mahupun Timbalan Menteri serta Ahli Parlimen.

“Di negara maju cara sebegini sudah lama dilaksanakan bagi menyediakan pengalaman bekerja kepada pelajar. Ia kerana sesetengah industri tidak ambil lepasan universiti bekerja kerana tiada pengalaman bekerja,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Saifuddin sebelum itu diberi taklimat mengenai seminar Ceo’s Mind: Today’s Talk For Tomorrow’s Walk, anjuran Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan New Straits Times (NST) sebagai akhbar rasmi program berkenaan.

Program yang akan berlangsung selama enam hari itu bermula 21 Mei nanti, bakal menghimpunkan tokoh terkemuka tanah air termasuk Menteri dan Timbalan Menteri bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada 500 peserta.

Antara tokoh terbabit adalah, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Timbalan Menteri Perdagangan Industri dan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation Bhd (Jcorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim; Pengarah Urusan Proton Holding Berhad, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Skills Development Centre, Datuk Boonler Somchit turut dijemput bagi berkongsi pengalaman.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, dalam usaha memperkasakan sekolah perniagaan kementeriannya akan berusaha untuk menarik lebih ramai penyertaan tokoh perniagaan berjaya sebagai pensyarah sambilan di universiti awam di negara ini.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in