Top

Twitter

20-05-2010 06:26

Sudut Pidato IPTA lengang

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi kecewa kerana Sudut Pidato yang diwujudkan di kebanyakan institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak mendapat sambutan daripada mahasiswa.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata ruang disediakan pihak universiti itu tidak berfungsi seperti yang diharapkan. “Malah, ada di sesetengah IPTA, Sudut Pidato didapati terus sepi sejak ia dilancarkan empat bulan lalu. “Sudut Pidato sepatutnya menjadi tempat untuk mahasiswa menguji bakat dan berlatih berkomunikasi sesuai dengan kehendak pasaran yang memerlukan pekerja yang mampu berfikir secara kritis,” katanya pada sidang media mengenai Pesta Intelek dan Hujah (Petah 2010) di sini, semalam. Hadir sama, pengurus program Petah, Ahmad Badrulhisam Che Kasim.

Berikutan itu, Saifuddin meminta IPTA menghapuskan kekangan pentadbiran dan birokrasi jika mahu menarik mahasiswa menyertai program dianjurkan di Sudut Pidato.

“Institusi pengajian tinggi (IPT) tidak sepatutnya menetapkan sebarang peraturan jika ada mahasiswa berminat menyertai Sudut Pidato, sebaliknya IPT hanya perlu menyediakan tempat dan menetapkan masa sesuai,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, selain kekangan pentadbiran dan persepsi yang menganggap sudut itu sebagai alat politik antara punca ia tidak mendapat sambutan.
Sementara itu, program Petah yang bakal berlangsung pada 27 Mei hingga 1 Jun ini akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Pesta Belia 2010 (Youth ‘10) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi.

Antara aktiviti ialah debat tanpa henti selama 111 jam oleh 222 pasukan dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Mandarin, Inggeris, Tamil dan Arab bagi direkodkan dalam The Malaysia Book Of Records dan World Guinness Record sebagai perdebatan pelbagai bahasa tanpa henti paling lama di Malaysia serta dunia.

Setakat ini, 64 pasukan sudah mendaftar untuk menyertai program debat itu dan mereka yang berminat boleh mendaftar dengan melayari laman web www.mindamind.wordpress.com.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in