Saifuddin Abdullah (kanan, duduk) melayan kanak-kanak di perpustakaan desa di Kampung Bangau Parit, Temerloh, selepas majlis penutupan majlis Kesukarelawan Universiti Pertahanan Nasional di kampung itu, semalam.

 

TEMERLOH 30 Mei - Kerajaan diminta mengecualikan bidang pendidikan daripada sebarang pengurangan subsidi bagi mengelakkan kualiti hidup rakyat miskin terjejas.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pengecualian itu perlu kerana sebahagian besar rakyat terutama yang berpendapatan rendah, memerlukan subsidi kerajaan untuk meneruskan pengajian anak-anak ke peringkat tinggi sama ada diploma atau ijazah.

Malah katanya, ada ibu bapa yang anak mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) hanya bergantung kepada subsidi kerajaan bagi membiayai pengajian.

Justeru, katanya, sekiranya subsidi tersebut ditarik balik, sudah pasti ramai ibu bapa dan para pelajar kecewa kerana tidak dapat meneruskan pengajian mereka.

"Saya menerima banyak aduan daripada ibu bapa yang tidak mampu membiayai pengajian anak di universiti swasta kerana kosnya mahal berbanding belajar di universiti awam.

"Sebanyak 90 peratus daripada peruntukan pendidikan yang diluluskan kerajaan diberikan subsidi bagi membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran ke IPT awam,'' katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan penutupan Program 'Moh Desa Perwira' anjuran Universiti Pertahanan Nasional di Kampung Bangau Parit di sini hari ini.

Program selama empat hari itu disertai oleh 42 pelajar universiti berkenaan.

Tambah Saifuddin, ramai ibu bapa di luar bandar yang tidak mampu membiayai kos pengajian anak-anak mereka dan memerlukan 100 peratus bantuan serta pinjaman daripada kerajaan.

Namun katanya, langkah kerajaan menyediakan pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah banyak meringankan beban golongan berkenaan.

Justeru, kata beliau, adalah dibimbangi kemungkinan ramai pelajar terutama bumiputera yang berhadapan dengan masalah sekiranya kerajaan bertindak mengurang atau menarik balik subsidi itu pada masa hadapan.

Selain itu, katanya, dibimbangi ibu bapa yang gagal mendapatkan pinjaman bertindak memberhentikan anak-anak mereka disebabkan tidak mampu membayar kos pengajian yang tinggi terutama di IPT swasta.

"Tidak dinafikan kerajaan menyediakan peruntukan pendidikan yang besar setiap tahun, namun subsidi pendidikan tidak wajar ditarik balik ketika ini kerana ia sangat diperlukan rakyat," katanya.