Top
Top

Twitter

Forum

Recent Posts:
27-07-2010 04:53

IPT disarankan beri mata kredit galak pelajar yang sertai aktiviti sukarela

BANGI: Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diminta agar memberikan mata kredit bagi aktiviti kesukarelaan bagi meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang itu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun aktiviti tersebut merupakan satu daripada lapan teras kokurikulum di IPT namun ianya paling kurang mendapat sambutan.

“Kementerian telah menggalakkan IPT untuk memberikan mata kredit bagi aktiviti kesukarelaan sejak 2007 lagi, tapi sehingga kini masih ada IPT yang belum berbuat demikian,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau berkata setakat ini hanya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang melaksanakan saranan kerajaan tersebut.

“Memandangkan modul untuk pemberian mata kredit ini telah ada dan diamalkan di UTM, saya yakin ia juga dapat dilaksanakan di IPT lain kerana masalah mekanisme pengiraan mata kredit yang merupakan masalah utama dalam pemberian mata kredit itu telah diselesaikan,” katanya.

Saifuddin berkata aktiviti sukarela juga dipandang remeh oleh masyarakat kerana ketiadaan sistem yang mengukur sumbangan sektor kesukarelaan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar negara seperti mana yang diamalkan di negara maju.

“Saya yakin jika aktiviti kesukarelaan ini boleh diukur, bukan saja orang awam akan berminat malah sektor swasta juga akan menjadikan tanggungjawab sosial korporat mereka sebagai komitmen kerana mereka tahu kegiatan mereka itu mempunyai impak terhadap ekonomi negara,” katanya.

Terdahulu Saifuddin menutup Sidang Kemuncak Kelab Penyayang 2010 di sini.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia Nori Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Leela Mohd Ali. — Bernama

Facebook

SARP TV

Buku

Lain-Lain

Sign in