Top

Twitter

11-08-2010 04:48

UiTM tubuh Kursi A. Samad Ismail

SHAH ALAM 10 Ogos - Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatat sejarah apabila menubuhkan Kursi A. Samad Ismail dalam usaha mengembangkan bidang pengajian kewartawanan dan komunikasi di negara ini.

Penubuhan kursi di bawah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) itu antara yang pertama melibatkan tokoh wartawan serta pejuang yang banyak memberi sumbangan kepada pembentukan bangsa dan negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penubuhan Kursi A. Samad Ismail itu titik tolak kepada perkembangan bidang ilmu kewartawanan melalui kajian, seminar dan sebagainya.

Ini kerana, katanya, Allahyarham A. Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai 'Pak Samad' itu merupakan tokoh yang bukan hanya menyumbang kepada bidang kewartawanan malah aktivis, pejuang dan intelektual.

"Jika diteliti sejarah kehidupan Pak Samad, beliau banyak berdepan pelbagai ranjau kehidupan yang diterjemahkan menerusi hasil penulisan untuk memberi kesedaran serta mendidik masyarakat sepanjang zamannya sehingga ke hari ini.

"Dengan adanya Kursi A. Samad Ismail ini, membolehkan kajian dan perkembangan hasil idealisme tokoh ini dilakukan untuk perkembangan ilmu kewartawanan dan komunikasi terutamanya dalam suasana persaingan di antara media baru dengan konvensional ketika ini," katanya.

Beliau berucap melancarkan Kursi A. Samad Ismail di UiTM di sini hari ini.

Turut hadir ialah Tokoh Wartawan, Tan Sri Zainuddin Maidin, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Dekan FKPM, Prof. Madya Dr. Mohd. Adnan Hashim; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan serta Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail.

Sementara itu, Sahol Hamid ketika diminta mengulas penubuhan kursi tersebut berkata, A. Samad sendiri merupakan sebahagian daripada sejarah negara.

Jelasnya, apa yang telah dilakukan dan dihasilkan oleh A. Samad ini adalah khazanah yang wajar dikembangkan bagi memantapkan disiplin ilmu dalam bidang berkenaan.

Katanya, selaras penubuhan kursi itu, pihaknya akan berusaha mendapatkan dana daripada pelbagai pihak termasuk swasta untuk memastikannya terus memainkan peranannya dalam mengembangkan bidang kewartawanan dan komunikasi di negara ini.

Dalam masa sama, katanya, UiTM turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti luar negara seperti Universiti Ohio, Amerika Syarikat dan Universiti Oxford, United Kingdom dalam penyelidikan dan kajian terhadap sumbangan A. Samad Ismail.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in