Top

Twitter

12-08-2010 11:41

Untung rugi siswa berpolitik - Mohd Khuzairi Ismail

 

12 OGOS — Jika persekitaran politik di universiti ketika ini diperhatikan dengan teliti, kebenaran kepada mahasiswa untuk bergiat aktif dalam politik perdana seharusnya tidak dijadikan isu. Ini kerana kebenaran berpolitik itu sebenarnya tidak lebih daripada formaliti kepada satu budaya berpolitik yang sudah pun wujud dalam persekitaran universiti itu sendiri.

Hakikatnya, di mana-mana universiti baik awam mahupun swasta, budaya politik partisan dalam kalangan mahasiswa sudah lama diamalkan. Jika tidak, tidak akan ada istilah kemenangan mahasiswa propembangkang atau prokerajaan setiap kali berlangsungnya pilihan raya kampus.

Malah, beberapa buah universiti juga sudah sinonim dilabel sebagai kubu kuat sama ada kerajaan atau pembangkang. Apa yang menjadi halangan untuk mereka memperlihatkan sokongan berpolitik itu adalah peruntukan undang-undang di bawah Akta Universiti Kolej dan Universiti (AUKU) (Pindaan 2009) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib 1976).

Akta ini antara lain tidak membenarkan mahasiswa atau pelajar IPT menjadi ahli politik melainkan dengan kebenaran Naib Canselor. Di universiti swasta pula, mahasiswa terikat dengan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan 2009) bagi perkara yang sama. Justeru, sebelum perbincangan mengenai kewajaran berpolitik dalam kalangan mahasiswa dibuka lebih luas, kekangan dari sudut AUKU perlu diperjelaskan terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dalam isu ini berpandangan, kebenaran itu tidaklah sampai memerlukan pindaan kepada AUKU. Tetapi apa yang boleh difikirkan adalah garis panduan atau pekeliling tata tertib berpolitik yang dikeluarkan oleh universiti.

Ini bagi memastikan proses penglibatan mahasiswa itu boleh dipermudahkan tanpa perlu menunggu pindaan AUKU yang perlu dibawa ke Kabinet. Jadi, dari sudut undang-undang, mahasiswa sudah mendapat jaminan dan kebenaran untuk berpolitik.

Meskipun ia masih di peringkat perancangan dan lebih banyak diskusi serta perbincangan perlu dilakukan, namun perkara ini boleh menjurus ke arah yang positif. Malah, banyak persatuan terutamanya berkaitan belia dan mahasiswa juga mahu melihat kebenaran berpolitik terpimpin di kalangan mahasiswa itu dapat dilaksanakan.

Perkara ini boleh dilihat dengan jelas ketika berlangsungnya sesi meja bulat mengenai isu berkenaan yang dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) baru-baru ini. Saifuddin sendiri merupakan salah seorang panel bagi sesi tersebut bersama-sama tokoh akademik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Sarjit Singh Darshan Singh Gill. Panel lain ialah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim.

Sesi diskusi itu turut disertai beberapa barisan pemimpin pelajar dari universiti awam dan swasta, selain pemimpin-pemimpin pertubuhan belia. Rata-rata mereka sependapat dalam soal memberikan kebebasan kepada pelajar berpolitik tetapi beberapa perkara masih tidak jelas daripada kebenaran tersebut.

Antaranya, adakah ini bermaksud mereka boleh membawa identiti parti-parti tertentu di dalam kampus? Adakah mahasiswa juga dibenarkan sehingga menjadi pemimpin di dalam parti politik tertentu? Siapa pula yang dapat memastikan mahasiswa tidak dianiaya terutama dari sudut akademik apabila terpaksa berdepan dengan pensyarah yang tidak sehaluan ideologi politiknya?

Apa pula jaminan terhadap keselamatan di dalam universiti apabila mahasiswa yang berpuak mengikut parti politik bebas menyatakan sokongan dan pendirian masing-masing?

Persoalan-persoalan ini adalah antara sisi kontra yang dibangkitkan daripada sesi diskusi tersebut, selain kebimbangan melebarnya jurang antara kaum apabila parti berasaskan kaum mula menyebarkan ideologi politik mereka di kalangan mahasiswa.

Barangkali inilah juga kebimbangan yang dilihat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa larangan berpolitik dalam kalangan mahasiswa adalah kekal. Namun memandangkan diskusi mengenai perkara ini sedang hangat berlangsung dalam kalangan mahasiswa dan pertubuhan belia, maka wajar sekiranya pandangan serta pendapat mereka diambil kira.

Ini kerana selain sisi negatif yang mungkin lebih ditonjolkan, ada impak positif lain yang boleh dijelmakan daripada kebenaran berpolitik dalam kalangan mahasiswa. Jika tidak, Saifuddin sendiri selaku timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam menguruskan mahasiswa tidak akan melontarkan cadangan seperti itu.

Beliau pasti sangat menyedari isu ini boleh menjadi perkara yang akan merugikan dirinya dari sudut populariti dan “survival” politik. Umum mengetahui bahawa sensitiviti politik di universiti tidak pernah sealiran dan sependapat dengan sensitiviti politik arus perdana.

Politik bertentangan itu bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di negara-negara lain juga suara-suara mahasiswa yang menentang kerajaan lebih kuat kedengaran berbanding mereka yang berada di blok kerajaan.

Hakikat ini diperkukuhkan lagi dengan kajian yang menunjukkan bahawa 15 peratus mahasiswa tempatan condong kepada pembangkang berbanding hanya lima peratus yang pro kerajaan. Sebanyak 18 peratus mahasiswa lain pula berada di atas pagar dan selebihnya memilih untuk menjauhi politik.

Maka, tindakan kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik boleh menjadi senjata yang memakan diri apabila lebih banyak usaha diperlukan untuk mengawal ideologi dan tindakan mahasiswa berhaluan kiri. Begitu pun, ia bukanlah sesuatu yang tidak disedari oleh Saifuddin.

Selain Saifuddin, ramai lagi tokoh politik di blok kerajaan yang bermula sebagai pemimpin pelajar yang condong kepada pembangkang. Sekadar menyebut beberapa nama, mereka termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan beberapa pemimpin lain.

Persekitaran politik di universiti ketika ini tidaklah menjadi ancaman kepada kerajaan. Ia juga bukanlah kelebihan kepada pembangkang meskipun keadaannya dilihat lebih ke arah itu. Tetapi kebenaran berpolitik tersebut merupakan satu bentuk pendedahan kepada kematangan dalam berpolitik di dalam diri mahasiswa.

Ia boleh dijadikan medium kepada mahasiswa untuk mengasah bakat kepimpinan, seterusnya mengisi barisan kepimpinan masa hadapan. Lebih daripada itu, kebenaran berpolitik kepada mahasiswa juga boleh menyuntik elemen yang lebih segar dan semasa dalam persekitaran pengajian tinggi.

Banyak yang berpandangan persekitaran universiti ketika ini terlalu jumud dan sepi. Mahasiswa lebih banyak dilonggokkan dengan aktiviti bersifat akademik terutamanya kuliah yang adakalanya diadakan pada hari minggu dan sehingga lewat malam.

Ini menyebabkan mereka terbeban dan tidak berminat menyertai aktiviti-aktiviti berbentuk persatuan. Budaya ini terbawa-bawa sehingga mereka meninggalkan alam universiti. Ia sedikit sebanyak menjawab persoalan mengapa generasi muda hari ini tidak berminat mengikuti perkembangan politik semasa.

Malah golongan ini juga merupakan kumpulan paling ramai yang tidak mendaftar sebagai pengundi. Sudut pidato yang diwujudkan di universiti juga tidak begitu mendapat perhatian mahasiswa.

Mungkin bagi mahasiswa, mereka melihat masih ada kekangan untuk menggunakan sepenuhnya kebebasan dari sudut pidato tersebut. Barangkali kebenaran berpolitik nanti akan menjadikan sudut pidato benar-benar hidup dan mampu menarik pelajar mengikuti perkembangan isu politik semasa dari konteks yang lebih luas.

Begitu pun dalam isu ini, kita perlu kembali kepada mahasiswa kerana merekalah yang akan mencorakkan kebebasan berpolitik itu. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, hanya sedikit sekatan dari sudut undang-undang yang mampu mendidik mahasiswa. Selebihnya, sekatan hanya akan mendorong mereka bertindak melangkaui batasan.

Mahasiswa juga tidak boleh ditakut-takutkan semata-mata mahu mengongkong kebebasan mereka. Mentaliti negatif terhadap keupayaan pelajar tidak akan membantu melahirkan mahasiswa yang berkualiti.

Sebaliknya, mahasiswa perlu diyakini mampu mengamalkan budaya terpimpin dan berakademik sesuai dengan kedudukan mereka sebagai ahli pemikir termasuk dalam soal kebebasan berpolitik ini. — Utusan Malaysia Online

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in