Top

Twitter

01-09-2010 16:06

Wujudkan masyarakat demokratik matang

Pada 8 September ini, genaplah separuh penggal Parlimen ke-12. Untuk muhasabah, kita perlu melihat keadaan dan perkembangan demokrasi di negara kita. Persoalan pokoknya adalah sejauh manakah demokrasi kita matang? Persoalan ini wajar kerana, pertamanya, ia satu daripada cabaran Wawasan 2020, iaitu membangunkan dan mewujudkan masyarakat demokratik yang matang, dan keduanya, ia sesuai dengan realiti politik kontemporari yang dahagakan demokrasi yang matang.

Demokrasi yang matang adalah apabila kita berjaya meluaskan dan meningkatkan partisipasi rakyat, termasuk belia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam struktur dan proses membuat keputusan dalam setiap bidang dan peringkat dengan adil, terbuka dan bertanggungjawab.

Antara realiti politik hari ini ialah kebangkitan kuasa belia. Jumlah pengundi muda berusia antara 21 hingga 35 tahun bakal menentukan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 iaitu seramai 7.36 juta orang atau 49.7 peratus. Jumlah itu lebih besar berbanding hanya 40 peratus pada PRU ke-12.

Justeru, kita perlu menyelami partisipasi politik belia. Menurut Spannring R., Ogris G. dan Gaiser W. (Ed) (2008), dalam bukunya Youth and Political Participation in Europe, ia melibatkan empat keadaan iaitu pertama, hubungan belia dan politik yang bersifat multi- dimensi. Apakah keadaan sosial dan politik semasa dan setempat serta pandangan belia terhadap politik?

Kedua, bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi dalam politik. Apakah caranya belia berpartisipasi dengan aktif dalam politik dan bagaimanakah mereka menilai pelbagai bentuk partisipasi politik?

Ketiga, mengenal pasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik. Apakah peranan dan keberkesanan ibu bapa, rakan sebaya dan pendidikan formal terhadap partisipasi politiknya?

Dan keempat, kesaksamaan gender iaitu dari segi partisipasi belia wanita. Adakah belia wanita mempunyai kefahaman dan amalan politik yang sama atau berbeza dengan belia lelaki?

Antara kumpulan belia yang penting ialah pelajar IPT. Mereka bukan terhad kepada pelajar ijazah pertama sahaja, tetapi juga pelajar pasca-siswazah. Di universiti penyelidikan, jumlah pelajar pasca-siswazah mengatasi jumlah pelajar ijazah pertama.

Apabila saya mencadangkan agar pelajar IPT dibenarkan menganggotai parti politik, ia mempunyai dua matlamat utama, iaitu untuk memenuhi haknya sebagai warganegara yang dijamin oleh Perlembagaan dan untuk mematangkan demokrasi.

Bagi memenuhi hak pelajar IPT yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan), ia bukan bermakna mewajibkan semua pelajar IPT menjadi ahli parti politik. Ia adalah untuk melindungi hak mereka yang ingin memenuhi haknya sahaja. Ini perlu dilakukan kerana sekarang, hak itu dihalang oleh perundangan IPT.

Bagi mematangkan demokrasi pula, ia bersesuaian dengan realiti dan tuntutan semasa. Menurut Russell Dalton (2004), dalam bukunya Democratic Challenges, Democratic Choices, kini terdapat rakyat, terutamanya belia yang menolak, skeptikal dan sinis terhadap pemimpin, parti dan institusi politik. Mujur mereka masih percaya terhadap demokrasi. Tetapi, kepercayaan itu disekalikan dengan gesaan reformasi demokrasi yang melampaui sistem demokrasi yang diamalkan kini.

Dalam demokrasi, konsep partisipasi rakyat merujuk kepada pendekatan normatif yang melihat partisipasi bermatlamat bukan sahaja untuk mempertahankan fungsi institusi demokrasi, tetapi juga untuk memantau perlakuan elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung.

Oleh itu, kita perlu melakukan inovasi demokrasi. Menurut Graham Smith (2009), dalam bukunya Democratic Innovations, ia melibatkan lima teori demokrasi kontemporari tentang peningkatan partisipasi, iaitu pertama, 'demokrasi partisipatif' yang menekankan nilai intrinsik partisipasi itu sendiri. Ia bersifat mendidik dan membina rakyat. Berpartisipasi dengan sendirinya merupakan satu manfaat. Ia meningkatkan kefahaman rakyat tentang minat, kecenderungan, kemahiran, kualiti dan tanggungjawabnya terhadap politik.

Kedua, 'demokrasi deliberatif' yang memberi tumpuan khusus terhadap proses bagaimana sesuatu keputusan dibuat. Ia menekankan tentang keperluan supaya keputusan hendaklah dibuat melalui proses perbincangan sesama rakyat yang menikmati kebebasan dan kesaksamaan.

Ketiga, 'demokrasi langsung' yang menekankan tentang saat membuat keputusan. Legitimasi politik bergantung pada idea bahawa setiap rakyat mempunyai input yang saksama dan efektif dalam membuat keputusan secara kolektif.

Keempat, 'demokrasi kelainan' yang merujuk soal bagaimana kumpulan-kumpulan sosial tertentu yang kurang mampu atau ditekan telah dipinggirkan daripada proses politik. Dalam konteks ini, legitimasi politik bergantung kepada sejauhmana suara dan perspektif yang khusus daripada pelbagai kumpulan sosial itu diiktiraf dan diwakili dalam proses membuat keputusan politik.

Dan kelima, 'demokrasi kosmopolitan' yang mempersoalkan kedudukan legitimasi keputusan yang dibuat oleh kuasa-kuasa politik transnasional, sedangkan keputusan itu dibuat tanpa melibatkan partisipasi aktif penduduk tempatan yang terkesan oleh keputusan tersebut.

Di sinilah relevannya Politik Baru, iaitu judul buku saya (2008) yang dilancarkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Politik baru melibatkan dua komponen utama, iaitu politik integriti dan governans baru.

Politik integriti berasaskan idealisme perjuangan yang melibatkan tiga tunggak iaitu politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti. Governans baru pula berasaskan kerangka yang melibatkan ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil) bersinergi dalam membuat keputusan.

Antara contoh inovasi demokrasi adalah perhimpunan rakyat, contohnya, perhimpunan tahunan melibatkan 16,600 penduduk Porto Alegre, Brazil yang membuat keputusan tentang sebahagian daripada bajet bandar itu; mini Parlimen, contohnya Dewan Rakyat British Columbia melibatkan 160 penduduk mencadangkan sistem pilihan raya baru untuk wilayah itu; legislatif langsung, contohnya rakyat Switzerland mengundi meluluskan kira-kira 10 peratus keputusan kerajaan setiap tahun; dan e-demokrasi menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), contohnya e-forum dan e-undi.

Sebagai Ahli Parlimen Temerloh, saya telah menubuhkan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT) sebagai mini Parlimen yang dianggotai perwakilan ketiga-tiga sektor governans baru, iaitu kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil. Pada 7 September ini, saya akan mempengerusikan persidangan yang keempat. Agenda kali ini adalah penilaian Kad Laporan Separuh Penggal Ahli Parlimen Temerloh (Parlimen Ke-12). Kad laporan ini disiarkan di laman web saya: saifuddinabdullah. com.my.

Demokrasi matang menjanjikan suara dan peranan rakyat dipertingkat, manakala isu- isu rakyat ditangani dengan lebih cepat dan cermat.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in