Top

Twitter

06-10-2010 22:27

65 angkasawan berkumpul bantu Malaysia bangunkan bidang aeroangkasa

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Seramai 65 angkasawan dari 17 negara hari ini berkumpul di negara ini bagi menghadiri Kongres Planet Ke-23 bagi membantu negara tuan rumah membangunkan bidang aeroangkasa.

Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berharap kedatangan mereka ke negara ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak berkepentingan untuk mendapatkan pengalaman dan kepakaran.

Beliau berkata, kumpulan pelajar juga harus mengambil peluang untuk mengenali bidang aeroangkasa hasil maklumat secara langsung yang akan disampaikan oleh para angkasawan.

''Diharap pengalaman dan kepakaran mereka selama berada di negara ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak yang berkepentingan. Bagi saya peluang keemasan ini bukan mudah untuk kita perolehi.

''Mereka terdiri daripada angkasawan yang cukup hebat dan lebih istimewa lagi mereka sedia berkongsi pengalaman dengan rakyat negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hari pertama kongres yang diadakan di sini hari ini.

Turut sama pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan angkasawan dari Kanada yang juga Presiden Persatuan Penerokaan Angkasa (ASE), Chris A. Hadfield.

Kongres selama lima hari itu dianjurkan ASE dengan kerjasama beberapa pihak seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Multimedia (MMU).

Dr. Sheikh Muszaphar berkata, bagi memastikan pengalaman para angkasawan dapat dikongsi bersama pelajar institut pengajian tinggi, pihaknya telah mengatur beberapa siri ceramah dan dialog di universiti tempatan sepanjang kongres itu berlangsung.

Esok, angkasawan veteran Amerika Syarikat, Jim Voss dan kosmonaut Rusia, Oleg Kotov akan mengendalikan sesi teknikal secara berasingan di UKM.

Di samping itu, penganjur juga akan mengadakan kerja-kerja komuniti melibatkan para angkasawan dengan penduduk setempat.

Sementara itu, angkasawan Kanada, Kolonel Chris A. Hadfield berharap kedatangan mereka ke Malaysia mampu mencambahkan minat rakyat negara ini terhadap bidang aeroangkasa.

Beliau mengakui bukan mudah sesebuah negara untuk maju di dalam bidang tersebut dan itu yang pernah dialami oleh negaranya.

''Namun atas inisiatif kerajaan selain sokongan yang diberikan oleh rakyat, Kanada beransur-ansur maju di dalam bidang ini dan sehingga hari ini seramai lima angkasawan kami berjaya menyempurnakan misi masing-masing.

''Perkara itu tidak mustahil dicapai oleh Malaysia kerana berdasarkan pemerhatian saya kerajaan negara ini amat komited untuk memajukan bidang aeroangkasa,'' katanya lagi.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in