
|
SAIFUDDIN Abdullah berjabat tangan dengan Dr. Shamsul Amri Baharuddin selepas melancarkan buku Shamsul A.B.: His Observations, Analyses & Thoughts di Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, kelmarin.
|
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diseru mengembalikan kekuatan bidang sains sosial dan kemanusiaan dan menjadikannya sebagai salah satu jabatan induk di universiti-universiti tempatan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kepimpinan IPTA perlu memberi penekanan seimbang dan kesaksamaan yang wajar pada bidang tersebut termasuk dalam membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Oleh itu saya berharap peruntukan Skim Geran Penyelidikan Asas (FRGS) sebanyak RM741 juta bagi dua tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-10 dapat dibahagikan sama rata untuk semua bidang termasuk bidang sains sosial dan kemanusiaan.
"Ini kerana kita tidak harus meminggirkan bidang ilmu kemanusiaan kerana ia juga memainkan peranan penting dalam inovasi, bukan dimonopoli oleh bidang sains dan teknologi semata-mata.
"Malah universiti-universiti tersohor dunia seperti Universiti Harvard tetap mempertahankan fakulti sains kemanusiaan kerana terbukti ia satu bidang yang memberi sumbangan penting," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku Profesor Ulung, Prof. Dr. Shamsul Amri Baharuddin di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini semalam.
Buku berjudul Shamsul A.B.: His Observations, Analyses & Thoughts merupakan himpunan 15 esei tulisan Shamsul sejak 1979 yang pernah disiarkan di dalam dan luar negara.
Saifuddin berkata, sebagai satu bidang yang mempunyai ciri-ciri unik, penilaian terhadap prestasi ilmuwan yang mendidik juga mesti bersesuai dengan keperluan dan cabaran bidang tersebut.
Justeru beliau berkata, penghasilan buku seperti buku Shamsul A.B.: His Observations, Analyses & Thoughts menjadi aras tanda penting untuk mengukuhkan bidang tersebut.
Malah katanya, tulisan meliputi pelbagai bidang termasuk politik, masyarakat dan seni budaya itu amat mustahak sebagai rujukan kepada pembuat dasar.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga sudah menyiapkan kertas Kabinet dan akan dibawa kepada mesyuarat Kabinet dalam tempoh terdekat bagi merealisasikan penubuhan Akademi Sains Sosial dan Kemanusiaan (ASAH) pada tahun ini.