Top

Twitter

30-01-2011 02:47

Kenyataan Media Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Di Perasmian Sambutan Ulangtahun Ke-50 Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Pada 29 Januari 2011, di Kolej 12, Universiti Malaya

“MASUKKAN SUMBANGAN MAHASISWA/BELIA
DALAM SEJARAH MALAYSIA”

Saya menyeru ahli-ahli sejarah Malaysia supaya memasukkan peranan dan sumbangan gerakan mahasiswa dan belia negara dalam penulisan sejarah Malaysia. Ini amat penting kerana gerakan mahasiswa/belia negara ini telah memainkan peranan dan memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan negara dalam pelbagai bidang.

Peranan Gerakan Mahasiswa/Belia

Gerakan mahasiswa/belia telah memainkan peranan yang bersifat generik, iaitu:

(1) Membantu mengadakan keadaan yang mendatangkan kesan-kesan positif.

(2) Membantu mengadakan keadaan yang menghalang dan memperbaiki kesan-kesan negatif.

(3) Membantu semasa bencana dan kecemasan.

(4) Memperjuangkan perkongsian sosio-ekonomi yang adil dan saksama.

(5) Memperjuangkan hak asasi manusia.

(6) Menyediakan pemimpin pelapis.

Sumbangan Gerakan Mahasiswa/Belia

Gerakan mahasiswa/belia telah memberikan sumbangan yang besar dalam pelbagai bidang pembangunan negara, iaitu daripada bakti yang dicurahkan secara kesukarelaan. Antara sumbangan tersebut ialah:

(1) Memberikan bantuan ketika berlaku kecemasan dan bencana.

(2) Meningkatkan mutu pendidikan dan latihan melalui kumpulan pengajian, kelas bimbingan dan sebagainya.

(3) Menjalankan usaha kesedaran dan pendidikan komuniti dalam pelbagai bidang seperti pembangunan belia/remaja, alam sekitar, kepenggunaan, memerangi dadah, rokok, HIV/AIDS dan lain-lain.

(4) Melaksanakan program pendidikan agama.

(5) Menganjurkan pelbagai aktiviti mengisi masa lapang untuk pelbagai golongan.

(6) Meningkatkan kesedaran masyarakat dan membantu mengatasi masalah seperti kemiskinan, rasuah dan ketidakadilan sosial.

(7) Berusaha mempengaruhi keputusan yang melibatkan anggota-anggota masyarakat sivil, seperti hak bersuara, hak berpersatuan, hak diwakili dan lain-lain.

(8) Mengadakan latihan kepemimpinan.

(9) Membantu menjayakan pelbagai program utama negara seperti Rakan Muda.

(10) Menjayakan pelbagai program sukan.

(11) Menggerakkan bantuan kemanusiaan terhadap masyarakat luar negara seperti di Palestin, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Myanmar, Vietnam, Bosnia, Kosova, Timor Timur dan Iraq.

Sumbangan Gerakan Mahasiswa/Belia terhadap dasar negara

Gerakan mahasiswa/belia juga telah menggunakan orientasi advokasi, iaitu dengan bersuara, menyampaikan pandangan, mempengaruhi pendapat khalayak serta menggerakkan dan melahirkan atau menyebabkan lahirnya beberapa dasar dan program pembangunan negara. Antaranya ialah:

(1) Cadangan mewujudkan Dasar Belia Negara pada 1985 dikemukakan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) ketika masih dianggotai oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM).

(2) Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya digerakkan, antara lain, oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

(3) Idea penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diutarakan, antaranya, oleh PBMUM dan PKPIM.

(4) Penyediaan biasiswa dan bantuan kewangan serta kelas bimbingan untuk pelajar Melayu, dan kini diterjemahkan sebagai sistem baucer kelas bimbingan, dicetuskan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

(5) Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Bank Islam mula-mula dicadangkan oleh PKPIM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

(6) Dasar penerapan nilai-nilai Islam adalah sambutan kerajaan terhadap gerakan dakwah oleh belia dan mahasiswa Islam yang dipelopori PKPIM, ABIM dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di universiti-universiti.

(7) Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 2009 banyak digerakkan oleh pelbagai organisasi mahasiswa dan belia, termasuk PKPIM sebagai yang paling lama dan konsisten memperjuangkannya.

(8) Dasar kerajaan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan pada bulan Julai 2009, antara lain, terdapat saham perjuangan mahasiswa dalamnya.

Tetapi, malangnya, peranan dan sumbangan itu tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada sejarah Malaysia. Malahan, terdapat pihak tertentu yang menafikan peranan dan sumbangan tersebut. Contohnya, terdapat pihak yang melabelkan sesetengah aktivis mahasiswa sebagai trouble makers dan sebagainya.

Perkara ini mesti dibetulkan dan direkodkan dengan tepat. Bagi memulakan inisiatif memasukkan peranan dan sumbangan gerakan mahasiswa/belia dalam sejarah Malaysia, saya ingin mengumumkan projek Penulisan Sejarah Gerakan Mahasiswa/Belia yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Beliau akan mencadangkan kepada saya ahli-ahli panel projek tersebut, kandungan projek, tempoh masa projek dan peruntukan yang diperlukan.

Projek ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan gerakan mahasiswa/belia; serta memotivasi gerakan mahasiswa/belia hari ini dan akan datang untuk meneruskan perjuangan pembangunan negara.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in