Top

Twitter

02-03-2011 07:35

Survival parti dalam PRU-13

SEMPENA ulang tahun ketiga Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 8 Mac ini, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) menganjurkan forum bertajuk ‘Survival Parti Politik Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)’. Ahli panelnya terdiri daripada Nurul Izzah Anwar, Mohd Nasir Zakaria dan saya sendiri, manakala moderatornya ialah Profesor Dr. Mohd Redzuan Othman.

Pada saya, PRU-13 akan ditentukan oleh amalan ‘politik baru’, yang menjadi judul buku saya (2008). Politik baru terdiri daripada dua komponen, iaitu integriti politik dan governans baru. Ia perlu dilengkapi dengan pemikiran politik progresif dan inovasi demokrasi. Integriti politik berasaskan perjuangan. Ia berdasarkan tiga rukun iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme serta amalan politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti.

Governans baru merujuk kerangka pengurusan negara yang lebih segar. Kini, ia terlalu berorientasikan kerajaan/politik. Kerangka governans baru melibatkan ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil) sebagai rakan yang saksama.

Dalam konteks ini, BN serius melakukan perubahan. Satu daripadanya ialah pemikiran progresif yang sesuai dengan keperluan universal dan kontemporari. Contohnya ialah Gagasan 1Malaysia serta transformasi kerajaan dan ekonomi yang diilhamkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebahagian rakyat menolak BN atas faktor-faktor lazim, seperti politik wang, rasuah, sistem penyampaian lemah dan sebagainya. Tetapi, di samping itu, terdapat sebahagian intelektual, profesional, kelas menengah dan belia (termasuk mahasiswa), yang menolak BN kerana ketinggalan dalam pemikiran politik. Sebab itu, BN mula mencetuskan pemikiran politik progresif tentang demokrasi, penghakupayaan, partisipasi, kerajaan, kesaksamaan gender, pembangunan lestari dan sebagainya.

Gagasan 1Malaysia ialah komitmen BN dalam membina masyarakat baik yang berteraskan budaya ilmu, pembinaan tamadun, keadilan sosial, partisipasi demokratik, pengagihan ekonomi dan kelestarian alam sekitar. Kita sedar terdapat rakyat, terutamanya belia yang skeptikal dan sinis terhadap politik. Mujurnya mereka masih percaya terhadap demokrasi.

Namun, kepercayaan itu disekalikan dengan gesaan pembaharuan demokrasi yang melampaui sistem dan institusi yang diamalkan kini. Inilah antara iktibar daripada gerakan prodemokrasi di Timur Tengah sekarang.

Justeru, kita perlu melakukan inovasi demokrasi. Matlamatnya ialah meningkatkan partisipasi rakyat dalam struktur dan proses membuat keputusan. Sebagai Ahli Parlimen, saya berinovasi dengan menubuhkan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT) yang dianggotai perwakilan kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil.

Antara kuasa utama PRU-13 ialah belia, iaitu 49.7 peratus daripada pemilih. Ini lebih besar daripada 40 peratus pada PRU-12. Prasyarat kefahaman terhadap partisipasi belia dalam politik ialah dengan mengiktiraf tiga permintaan utamanya iaitu belia mahu suaranya didengar, peranannya diiktiraf, dan isu-isunya ditangani dengan berorientasikan belia.

Kita perlu menyelami ciri-ciri partisipasi politik belia iaitu hubungan belia dan politik yang bersifat multi-dimensi; bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi; mengenal pasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik; dan kesaksamaan gender, iaitu partisipasi belia wanita.

Cara, corak dan citra politiknya mungkin berbeza dengan kita. Kita perlu menyelami minda mereka untuk menghakupayakannya agar dapat mengoptimumkan potensi politiknya. Sebahagian daripada belia ialah mahasiswa. Apabila saya mencadangkan mahasiswa dibenarkan menganggotai parti politik, ia mempunyai dua matlamat, iaitu memenuhi haknya sebagai warganegara dan mematangka demokrasi kita.

Kini, BN memberi lebih tumpuan kepada belia. Satu daripada gelanggang yang diterjuninya lebih bersungguh-sungguh ialah dunia maya. Namun, ia masih perlu banyak penambahbaikan, terutamanya dari segi kandungan dan pendekatannya.

Mutakhir ini, pelbagai langkah telah dilakukan untuk lebih memahami belia. Antaranya ialah perjumpaan tidak rasmi, perbincangan, konvensyen, kajian dan makmal yang melibatkan perwakilan belia. Melalui langkah-langkah ini, banyak idea telah diluahkan oleh mereka.

Sebahagian daripada idea itu telah dilaksanakan dalam bentuk program dan aktiviti yang konkrit. Bagaimanapun, masih banyak belum diambil tindakan. Kini, belia menunggu, melihat dan menilai. Adakah kita benar-benar serius dalam merealisasikan idea mereka itu? Atau, kita sekadar mendengar kosong iaitu untuk menunjukkan yang kononnya kita meraikan mereka, tetapi tidak lebih daripada itu? Umpama melepaskan batuk di tangga sahaja?

Justeru, menjelang PRU-13, jika ada perkara pokok yang mesti dilakukan untuk belia, maka, ia adalah untuk benar-benar memenuhi permintaan mereka. PRU-12 telah memberikan keputusan signifikan kepada pihak pembangkang. Mereka berjaya menafikan BN kedudukan dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Pihak pembangkang kini menguasai empat buah negeri.

Ada yang menjangka bahawa kehidupan yang diwarnai oleh BN selama lebih 50 tahun telah berakhir. Ia telah memberikan harapan kepada penyokongnya bahawa reformasi akan berlaku.

Tetapi, kini perasaan optimis itu semakin pudar. Ini disebabkan beberapa faktor. Harapan penyokongnya bahawa pihak pembangkang akan menjadi kuasa yang benar-benar kuat ternyata meleset. Ramai pemimpin besar PKR keluar parti. Walaupun parti-parti komponen BN tidak terlepas daripada masalah sama, tetapi jumlah dan jawatan besar meninggalkan PKR dalam tempoh masa yang singkat menghampakan penyokongnya.

Janji membentuk kerajaan pada 16 September 2008 gagal. Sebaliknya, sejumlah wakil rakyat pembangkang meninggalkannya.

Penyokongnya menyaksikan pergaduhan dalaman di kalangan wakil-wakil rakyat pihak pembangkang. Terdengar tuduhan rasuah berlaku di kalangan kepemimpinannya. Mereka dipersoalkan sama ada berada dalam politik untuk berbakti kepada rakyat atau lebih memenuhi kepentingan peribadi. Pemilihan kepemimpinan PKR dilanda banyak masalah. Perkembangan-perkembangan negatif ini mula menghakis keyakinan penyokongnya. Ramai mula bertanya, mampukah mereka membetulkan diri sendiri? Mampukah mereka membentuk kerajaan yang berwibawa?

Pada masa yang sama, BN memulakan transformasi politik. Dari satu segi, pindaan Perlembagaan BN tentang keahlian terus adalah manifestasi pemikiran politik progresif. Ia akan menghasilkan dua kesan. Pertama, ia memperkasa BN dan kedua, ia langkah ke hadapan ke arah pembinaan iklim politik yang lebih terbuka, inklusif dan segar, yang akan meningkatkan partisipasi rakyat, terutamanya belia dalam politik.

Ketika pihak pembangkang masih tercari-cari formula pembentukan parti gabungan, BN telah melangkah ke hadapan dengan melakukan satu transformasi politik yang berasaskan pengharapan dan cabaran semasa dan sejagat.

Kesimpulannya, dalam PRU-13, parti yang dilihat rakyat mengamalkan politik baru akan mendapat sokongannya.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in