Top

Twitter

04-05-2011 19:20

Ke arah mentransformasi kerajaan tempatan

SATU daripada keistimewaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ialah idea dan pelaksanaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Pada 27 Mac lalu, beliau telah membentangkan laporan tahun pertama pelaksanaannya yang jelas menunjukkan pencapaian yang cemerlang.

Najib amat memahami realiti semasa dan betapa perlunya kerajaan menggunakan pendekatan baru. Beliau menyatakan bahawa hari-hari di mana kerajaan mengetahui dan melakukan segala-galanya telah berakhir. Beliau juga mengungkapkan keperluan melaksanakan model baru politik.

Justeru, dalam penggubalan GTP, beliau menggunakan pelbagai kaedah dalam mendapatkan pendapat semua pihak. Ini dilakukan melalui proses perundingan yang meliputi kajian, laporan media, makmal, pameran dan maklum balas.

GTP berjaya menjadi pelan transformasi kerajaan yang berkesan kerana dalam perjalanannya – dari penggubalan hingga penilaian – Najib menggunakan pendekatan baru yang tepat.

Inilah yang saya jadikan contoh dalam melakukan transformasi kerajaan peringkat ketiga, iaitu kerajaan tempatan, khususnya dalam kawasan Parlimen yang saya wakili.

Sejak diamanahkan sebagai Ahli Parlimen Temerloh pada 8 Mac 2008, saya telah menubuhkan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT), iaitu sebahagian daripada Enam Bidang Pembangunan Tumpuan (6BPT) yang menjadi manifesto saya dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

MPPT ialah mini parlimen peringkat tempatan yang dianggotai perwakilan sektor-sektor kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil untuk membincangkan pembangunan komuniti tempatan. Ia terbuka untuk orang ramai hadir sebagai pemerhati.

Jika GTP ada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), maka MPPT ada Bidang Keberhasilan Utama Temerloh (TKRA). TKRA ialah terjemahan NKRA bagi peringkat tempatan. Di persidangan MPPT, Kad Laporan 6BPT dan TKRA dibentangkan.

Sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen, saya telah membincangkan isu-isu ‘politik baru’ dalam kolum saya di akhbar tempatan. Berikutnya, Politik Baru menjadi judul buku saya, terbit September 2008, dan dilancarkan oleh Najib, ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Politik Baru terdiri daripada dua komponen, iaitu ‘integriti politik’ dan ‘kerangka governans baru’. MPPT relevan dengan kerangka governans baru, yang merujuk kewujudan tiga sektor bernegara, iaitu kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil, yang perlu meningkatkan kerjasama sebagai rakan-pembangunan dalam struktur dan proses membuat keputusan dalam setiap bidang di setiap peringkat.

Kini, saya melanjutkan perbincangan Politik Baru dengan menambah dua elemen, iaitu ‘inovasi demokrasi’ dan ‘pemikiran politik progresif’.

Dalam demokrasi hari ini, partisipasi rakyat tidak terhad hanya kepada pemilihan dalam pilihan raya semata-mata. Juga, terdapat rakyat yang sinis dan skeptikal terhadap politik, namun masih percaya kepada demokrasi, dengan syarat dilakukan transformasi terhadap demokrasi itu sendiri. Justeru, kita perlu melakukan inovasi demokrasi.

Matlamat inovasi demokrasi ialah meningkatkan dan meluaskan partisipasi rakyat, termasuk belia dan wanita, dalam membuat keputusan. MPPT ialah inovasi demokrasi. Ia ‘mini parlimen’ yang bersifat partisipatif dan deliberatif.

Di samping itu, mulai MPPT Ke-5 (23 April 2011), ia ditambah dengan elemen ‘e-demokrasi’, iaitu akan mempunyai facebook sendiri. Tujuannya supaya anggota MPPT boleh berbincang pada setiap masa dan orang ramai boleh turut mengikuti dan menyertainya. Bagi anggota MPPT yang belum mahir ICT, seorang pegawai khusus disediakan untuk membantu.

Di samping itu, mulai MPPT Ke-5, saya menyerahkan sebahagian daripada peruntukan sebagai Ahli Parlimen untuk diuruskankan MPPT. Ia sebagai memenuhi sebahagian daripada tujuan meningkatkan peranan MPPT, iaitu ketelusan dan kebertanggungjawaban pengurusan wang rakyat. Ia sebahagian langkah TKRA untuk membanteras rasuah. Ia juga sebahagian daripada usaha saya untuk meningkatkan integriti politik saya sendiri. Kali ini, jumlahnya ialah RM 60,000. Jumlahnya mungkin ditambah dari semasa ke semasa.

Pemikiran politik progresif pula diperlukan dalam mencerna idea masyarakat baik yang berteraskan ciri-ciri seperti budaya ilmu, pembinaan tamadun, partisipasi demokratik, perkongsian ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar. Pemikiran ini perlu dilakukan untuk pembangunan di pelbagai peringkat, iaitu kebangsaan, negeri dan tempatan.

Satu contoh pemikiran politik progresif ialah NKRA. Ini berlaku di peringkat kebangsaan. Di peringkat tempatan, MPPT melahirkan TKRA.

MPPT Ke-5 memutuskan untuk mempelopori pemikiran politik progresif dari segi “pembangunan komuniti tempatan”. Ia adalah dasar dan program pembangunan yang dihasilkan sendiri oleh komuniti tempatan. Matlamatnya ialah dengan menghakupayakan komuniti tempatan untuk merancang, melaksana dan menilai pembangunan yang penting dan sesuai untuk kepentingannya, yang bersesuaian dengan dasar dan program pembangunan negeri dan kebangsaan.

Pembangunan komuniti tempatan dapat dilaksanakan dengan penghayatan ‘ciri-ciri komuniti mikro’, seperti keprihatinan, kesukarelaan, kepercayaan, perkongsian nilai-nilai, tanggungjawab bersama dan kerjasama ikhlas.

Setelah diwujudkan MPPT, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menggerakkan penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP). Matlamatnya ialah memperbaiki sistem penyampaian kerajaan serta memberikan maklum balas dan idea tentang pertanian di kawasan Parlimen.

Di Temerloh, ia dipengerusikan Ahli Parlimen. Anggotanya ialah wakil rakyat BN, pegawai kementerian, Penghulu, Pengerusi JKKK dan organisasi masyarakat sivil (CSO) berkaitan. MPPP Temerloh telah lima kali bermesyuarat.

Baru-baru ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menggerakkan penubuhan Majlis Pembangunan Luar Bandar Parlimen (MPLB). Matlamatnya hampir sama dengan MPPP, Cuma, ia menjurus kepada pembangunan luar bandar. Anggotanya juga hampir sama dengan MPPP, kecuali dengan memasukkan pegawai pembangunan luar bandar dan CSO berkaitan.

Oleh kerana matlamat kedua-dua MPPP dan MPLB dan sebahagian besar anggotanya telah sedia terkandung dalam MPPT, yang lebih awal ditubuhkan, untuk menjimatkan masa bermesyuarat, dan mengarus-perdanakan kedua-dua bidang itu dengan menjadikannya agenda tetap MPPT, maka, mulai MPPT ke-5, kedua-dua majlis itu telah dirangkumkan dalam MPPT.

Mulai MPPT Ke-6 akan datang, dua lagi inisiatif, iaitu Majlis Perundingan Koperasi Parlimen (MPKP) dan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Parlimen (MPKM), akan dirangkumkan dalam MPPT, kerana kedua-dua bidang itu telah sedia ada dalam 6BPT.

Kini, pengharapan rakyat tempatan semakin kompleks. Pendekatan satu saiz untuk semua, yang dibuat di ibu negara dan ibu negeri semata-mata, tidak sesuai lagi. Perlu ada dasar dan program buatan tempatan. Justeru, transformasi kerajaan tempatan amat diperlukan. MPPT adalah langkah ke arahnya.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in