Top
Top

Twitter

Forum

Recent Posts:
20-06-2011 17:23

Cadang tubuh kelab 1 Malaysia

MENTAKAB – Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya memberi makna dan pemahaman kepada golongan dewasa sebaliknya ia juga difahami golongan kanak-kanak.

Di Mentakab, seorang kanak-kanak lelaki, Bong Jing Kai, 12, mencetuskan idea yang mungkin tidak pernah terfikir oleh rakan sebayanya.

Seawal usianya, Jing Kai yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mentakab 1 (SJKC Mentakab 1), melahirkan idea untuk menubuhkan persatuan 1Malaysia semata-mata bagi menyokong gagasan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri.

Secara diam-diam tanpa pengetahuan rakan, guru dan ibu bapanya, Jing Kai menghantar e-mel kepada Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah minggu lepas dan kandungannya amat mengejutkan wakil rakyat itu.

Saifuddin berkata, sebaik terbaca e-mel yang dihantar Jing Kai, dia terkejut kerana penghantar e-mel adalah kanak-kanak berusia 12 tahun dan idea yang dilontarkan sangat bernas.

“Jing Kai mahu menubuhkan persatuan 1Malaysia dan sejak hari itu kami sentiasa berhubung hinggalah kepada pertemuan pertama di pusat tuisyen Jing Kai,” katanya.

Saifuddin berkata, pertemuan kedua di rumah Jing Kai semalam secara rasminya sebagai simbolik penubuhan persatuan itu.

“Selepas perbincangan kami bersetuju menubuhkan Kelab Remaja 1Malaysia atau singkatannya KRIM menggantikan idea asalnya untuk menubuhkan persatuan.

“Hari ini juga rakan Jing Kai dari pelbagai bangsa akan bersama-sama dalam jawatankuasa penaja yang ditubuhkannya.

“Semua aktiviti dan program yang dicadangkan hanyalah akan bermula selepas Jing Kai dan rakannya selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.

Turut hadir pada majlis ringkas di rumah Jing Kai ialah bapanya Bong Chew Joon dan guru besarnya Chen Teow Wah.

Sementara itu Jing Kai sewaktu ditemui berkata, dia sangat teruja untuk menubuhkan persatuan atau kelab 1Malaysia dalam usaha menyokong gagasan 1Malaysia pimpinan Perdana Menteri.

Menurutnya, kelab 1Malaysia itu akan berpusat di SJKC Mentakab 1 dan memulakan pengumpulan ahli dalam kalangan murid sekolah sebelum berkembang kepada sekolah lain dalam daerah Temerloh.

Rakan Jing Kai, Samiel 12, berkata, dia akan memberikan kerjasama berterusan kepada Jing Kai dalam memastikan KRIM sentiasa mendapat perhatian masyarakat.

Menurutnya, walaupun tidak berpengalaman dalam tugas dalam organisasi tetapi dia akan meminta bantuan guru dan rakan dalam usaha memastikan kelab tersebut berjaya menarik minat golongan kanak-kanak dan remaja.

Guru besar SJKC Mentakab 1 Chen Teow Wah berkata, idea penubuhan KRIM oleh kanak-kanak sebaya Jing Kai sememangnya tidak diduga sama sekali apatah lagi Jing Kai adalah anak muridnya.

Menurutnya, dia akan memastikan semua guru di SJKC Mentakab 1 memberikan kerjasama berterusan kepada Jing Kai dan rakan dalam jawatankuasanya.

Facebook

SARP TV

Buku

Lain-Lain

Sign in