Top

Twitter

05-09-2011 14:57

Tangani transformasi ke-3 demokrasi

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen (JPP) untuk menambahbaikkan sistem pilihan raya, pihak pembangkang mencari helah menggagalkannya. Ironisnya, sebelum ini, mereka mendesak kerajaan melakukan penambahbaikan tersebut. Tetapi, umumnya, sambutan rakyat terhadap JPP amat menggalakkan.

JPP perlu melihat penambahbaikan tersebut secara holistik, iaitu dalam konteks transformasi politik untuk mewujudkan politik baru ke arah demokrasi matang demi kesejahteraan rakyat.

Ia perlu menilai sejauh manakah kita mengamalkan hak mengundi dan pilihan raya tulen seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Antarabangsa, beberapa artikel dalam Perlembagaan Persekutuan dan lima akta khusus berkaitan pilihan raya.

Ia perlu membincangkan perkara-perkara yang melangkaui tuntutan Bersih 2.0. Antaranya ialah, pendaftaran automatik pemilih, 18 tahun sebagai umur layak mengundi, pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan dan undang-undang referendum. Dengan kata-kata lain, ia perlu membicarakan soal inovasi demokrasi, iaitu bagaimana meningkatkan dan meluaskan partisipasi rakyat dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Oleh kerana tugasannya besar, maka JPP perlu membahagikan kerjanya kepada dua bahagian. Pertama, ialah perkara-perkara yang boleh dilaksanakan segera, iaitu untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Dan kedua, ialah perkara-perkara yang memerlukan masa, contohnya, pindaan Perlembagaan, yang tidak sempat dilaksanakan untuk PRU13, dan kerana itu, disediakan peta jalan dahulu.

Bagi BN, JPP adalah langkah natural, iaitu sebagai kesinambungan inisiatif-inisiatif demokratik yang telah dilaksanakannya sejak dahulu. Barang diingat, sistem pilihan raya dan demokrasi yang sedia ada ini lahir daripada BN. Memanglah ia tidak sempurna. Maka, sebab itulah Pengerusi BN menubuhkan JPP.

Sebenarnya, JPP adalah selaras dengan “transformasi ketiga demokrasi” yang sedang berlangsung kini.

Transformasi pertama demokrasi telah berlaku pada separuh pertama abad kelima sebelum Masehi, di Greece, di mana wilayah-wilayah yang tidak mengamalkan demokrasi, iaitu mengamalkan aristokrasi, oligarki, monarki, atau campuran ketiga-tiganya, telah berubah lalu mengamalkan demokrasi.

Demokrasi dilaksanakan dalam ruang lingkup negara-kota yang kecil. Institusi demokrasi yang utama ialah dewan perhimpunan di mana semua rakyat dapat berpartisipasi secara langsung. Ini dapat dilakukan kerana jumlah rakyatnya kecil sahaja.

Transformasi kedua demokrasi, ialah demokrasi telah bertukar daripada negara-kota yang kecil kepada negara-bangsa yang lebih besar. Partisipasi semua rakyat secara langsung tidak lagi praktikal. Maka, wujudlah konsep perwakilan rakyat.

Akibat transformasi yang meliputi saiz dan bentuk demokrasi ini, maka, wujudlah institusi-institusi demokrasi yang sedang kita laksanakan hari ini, seperti pilihan raya dan parlimen. Rakyat berpartisipasi dalam pilihan raya dengan memilih wakilnya untuk berhimpun di parlimen.

Kini, transformasi ketiga demokrasi sedang berlaku. Modelnya belum begitu jelas. Tetapi, apa yang jelas ialah, rakyat, termasuk belia/mahasiswa dan wanita, mahu partisipasinya ditingkatkan dan diluaskan; munculnya demokrasi pasca-parlimen; dan kerajaan tidak boleh lagi menggunakan paradigma lama, iaitu memerintah, tetapi perlu menggunakan paradigma baru, iaitu mengurus tadbir.

Di sinilah relevannya inovasi demokrasi. Ia melibatkan lima teori demokrasi kontemporari tentang peningkatan partisipasi rakyat, iaitu, demokrasi partisipatif, demokrasi deliberatif, demokrasi langsung, demokrasi kelainan dan demokrasi kosmopolitan. Contohnya pelaksanaannya ialah perhimpunan rakyat, mini parlimen, legislatif langsung dan e-demokrasi.

JPP antara jawapan bagi menangani transformasi ketiga demokrasi ini.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in