Top

Twitter

14-10-2012 07:07

Cybertroopers, media sosial kunci kepada kejayaan BN pada PRU 13, kata Saifuddin

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Kandungan oleh “cybertroopers” Barisan Nasional (BN) dan seluruh platform media sosial akan menentukan kejayaan parti pemerintah dalam pilihan raya umum akan datang, kata ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah (gambar).

Kata timbalan menteri yang popular itu, BN telah menerima pelajaran penting sewaktu pilihan raya umum 2008 selepas kalah teruk ekoran kegagalan mereka menguasai dunia siber yang ketika itu lebih dikuasai parti yang akhirnya membentuk Pakatan Rakyat (PR).

“Kita tiada di sana (dunia siber) pada 2008 ... kita handicap. Kita tewas pada masa itu, sebab itu kita hilang pengundi muda.

“Tapi kini BN telah bersedia, kita mempunyai pasukan blogger dan media baru yang dikenali sebagai “BNcybertroopers”, bezanya sekarang adalah isi kandungan media itu,” kata Ahli Parlimen Temerloh itu kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini.

BN hilang majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen dan hilang empat negeri kepada PR sebelum Perak jatuh kembali ke pangkuan mereka pada tahun 2009. Sebahagian daripada kekalahan itu telah dikaitkan dengan BN meninggalkan laman web media sosial pada tahun 2008 apabila bilangan pengundi celik internet semakin bertambah.

Saifuddin yang seringkali mengeluarkan pendirian berbeza daripada pemimpin Umno yang lain turut menjelaskan, pucuk pimpinan BN dan juga Umno turut dilihat bergiat aktif di laman sosial seperti Twitter dan Facebook.

“Kita lihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau sanngat aktif dengan media baru menjelang pilihan raya umum, berbanding pemimpin-pemimpin BN terdahulu.

“Boleh dikatakan majoriti pemimpin sekarang aktif menggunakan media baru,” kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu lagi.

Beliau juga menegaskan, kehadiran unit media baru BN dan PR kini mempunyai kekuatan yang setara, namun perbezaannya hanyalah daripada isi kandungan blog dan laman web mereka.

“Kita sama kuat ... tapi isi kandungan itu yang akan menentukan pilihan pengundi.

“Kalau mereka (pengundi) rasa isi kandungan kita bagus, mereka pilih kita, tapi kalau PR bagus, mereka akan pilih PR,” katanya dan menambah, BN kini mula menyedari pengaruh yang dimainkan media sosial sangat besar untuk menjadi penentu dalam pilihan raya umum.

Menurut Saifuddin, berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Pensyarah Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia dari Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin sebelum ini menunjukkan orang muda yang mengambil tahu berkenaan politik tanah air, 90 peratus daripada mereka mendapatkan maklumat daripada media media baru.

Manakala 60 peratus memperolehi maklumat daripada media alternatif, 25 peratus daripada media arus perdana seperti televisyen, dan hanya 15 peratus yang menggunakan akhbar untuk mendapatkan maklumat berkenaan politik.

Situasi itu jelas Saifuddin membuktikan kandungan media alternatif yang lebih meyakinkan dan lebih bersifat “memujuk” akan membolehkan parti politik meraih undi dan sokongan mereka.

Dengan jumlah pengundi muda dan kelas pertengahan meliputi 30 peratus daripada daftar pengundi, mereka merupakan penentu kepada kemenangan sesebuah parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum.

Jelasnya lagi, dengan perubahan dan akses untuk laman sosial yang tidak mempunyai batasan, istilah luar bandar dan bandar hanyalah perbezaan dari aspek fizikal sahaja.

“Luar bandar dan bandar hanya perbezaan fizikal, tetapi tiada istilah luar bandar untuk media sosial ... bezanya hanyalah kelajuan dan kemudahan kepada akses internet itu sahaja,” katanya lagi.

Mengulas berkenaan tuntutan pengundi kelas pertengahan ini Saifuddin menjelaskan, tuntutan yang dibuat kumpulan ini semakin kompleks.

“Isu-isu pokok seperti keperluan asas bukan perkara utama bagi mereka, kerana itu Fardhu Ain.

“Isu yang dibangkitkan mereka adalah Isu fardhu Kifayah, setiap pemerintah akan memberikan kemudahan asas kepada rakyat, namun berapa ramai yang bersedia untuk memberikan kebebasan media, memberikan perhatian kepada hak asasi manusia dan pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya.

Justeru, beliau turut berkata, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), baucar buku, dan sebagainya yang diumumkan Najib ketika pembentangan Bajet 2013 itu tidak mencukupi untuk meraih sokongan kumpulan ini.

“Mereka terima pemberian kerajaan itu, tapi mereka inginkan lebih daripada itu kerana beranggapan tindakan seperti itu juga akan dilaksanakan mana-mana parti yang memerintah.

“Tuntutan mereka lebih kepada hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan sebagainya,” tambahnya.

Saifuddin melihat tindakan reformis Najib dalam becakap soal kebebasan bersuara, hak untuk berhimpun dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bakal berupaya menarik undi kumpulan ini.

“Transformasi yang dilakukan Najib itu bukanlah biasanya datang dari suara pemimpin Umno.

“Tapi beliau lebih progresif, dan merupakan seorang reformis,” katanya menambah.

Source: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/cybertroopers-media-sosial-kunci-kepada-kejayaan-bn-pada-pru-13-kata-saifuddin

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in