Top

Twitter

12-11-2012 06:19

Realiti baru warnai politik semasa

Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengemudi Umno/BN dan kerajaan supaya konsisten dengan realiti baru yang mempengaruhi politik kontemporari. Beliau menggerakkan transformasi parti dan kerajaan. Soalnya, sejauh manakah kita sependekatan dengannya?

Untuk memahami realiti baru, kita perlu mempunyai pandangan alam yang tepat. Saya menggunakan dua bulatan untuk menggambarkan pandangan alam itu. Bulatan pertama berada di atas dan kedua di bawah, dan kedua-duanya bercantum seperti cincin Olimpik.

Dalam bulatan kedua, berlaku tiga realiti baru.

Realiti baru pertama ialah ICT dan media baru. Menurut Lievrouw, ICT dan media baru terdiri daripada: alatan-alatan yang mengupayakan manusia berkomunikasi dan berkongsi; aktiviti yang disertai dalam membangunkan dan menggunakan alatan-alatan itu; dan aturan-aturan kehidupan sekitar alatan-alatan dan aktiviti-aktiviti tersebut.

Ia kombinasi teknologi dan idea terkini yang sentiasa berubah pada kepantasan tidak pernah dilihat sebelum ini; jaringan-pelbagai-jaringan yang menghubungkan penggunanya dengan sumber, maklumat dan manusia tanpa had; berada di mana-mana dan pada setiap masa; dan amat interaktif.

Dalam bulatan pertama, media baru dianggap media alternatif dan ICT digunakan hanya untuk berkomunikasi. Tetapi, dalam bulatan kedua, media alternatif menjadi media arus perdana dan ICT digunakan untuk berkongsi.

Realiti baru kedua ialah gerakan sosial baru. Menurut Lievrouw, ia melibatkan peserta dan konstituen baru: pekerja berilmu/kreatif, berpendidikan tinggi, profesional, usahawan dan mahasiswa/belia. Mereka membentuk identiti kolektif: bebas dari struktur institusi/kategori; berkongsi pandangan alam, pengalaman, kemahiran dan minat peribadi; dan sarat nilai dan budaya.

Mereka bergerak sebagai jaringan sosial: longgar tapi bergabung, tak-formal, antibirokrasi, mikro, kecil, desentralisasi, autonomi, khusus dan tempatan. Aktivitinya menyentuh kehidupan harian: sesuai dengan gaya hidup dan isu peribadi tetapi adalah sebahagian daripada sistem lebih besar; dan menunjukkan teladan baik. ICT dan media baru digunakan dengan amat meluas dan canggih; dan sebagai gerakan itu sendiri. Pendekatannya tidak konvensional: ekspresif, kreatif, spontan dan melewati institusi parlimen. Kempennya berterusan dan transnasional.

Dalam bulatan pertama, kata kuncinya ialah status quo. Tetapi, dalam bulatan kedua, ia adalah perubahan.

Dan realiti baru ketiga ialah demokrasi fasa ketiga. Demokrasi fasa pertama bermula ketika autokrasi dan monarki diganti oleh pemimpin yang dipilih dalam negara-kota. Oleh kerana penduduknya sedikit dan isu-isu tidak kompleks, rakyat dapat berpartisipasi membuat keputusan dalam demokrasi langsung.

Demokrasi fasa kedua berlaku apabila negara-kota menjadi negara-bangsa. Memandangkan penduduknya ramai dan isu-isunya lebih kompleks, maka, demokrasi ditransformasikan menjadi demokrasi perwakilan. Institusi-institusi demokrasi seperti parti politik, pilihan raya dan parlimen ditubuhkan dan perkukuhkan.

Kini, demokrasi fasa ketiga mula dirasai. Rakyat meminta partisipasi lebih meluas dalam struktur dan proses membuat keputusan dalam semua bidang dan di setiap peringkat. Antara pemikirannya ialah: demokrasi tidak terhad dengan pilihan raya sahaja; demokrasi perlu diperbaiki; dan inovasi demokrasi. John Kleane menamakan fasa ini “demokrasi pemantauan” manakala Graham Smith menamakannya “demokrasi pasca-parlimen”. Saya menamakannya “demokrasi partisipatori”.

Dalam bulatan pertama, politiknya seperti biasa. Tetapi, dalam bulatan kedua, ia adalah politik baru.

Ketiga-ketiga realiti baru ini saling melengkapi dengan bersepadu secara yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Fenomena ini bergerak dengan pantas dan membina momentum umpama tsunami yang tak tertahan.

Untuk memahami bulatan kedua, kita tidak boleh menggunakan pandangan alam bulatan pertama. Sambil terus menangani bulatan pertama (kerana kita perlukan keseimbangan antara kedua-dua bulatan; atau menurut Wan Mohd Nor Wan Daud, “pergerakan kukuh”/dynamic stabilism), kita perlu melihat bulatan kedua dengan pandangan alam bulatan kedua.

Bulatan kedua sama besar, kalaupun tidak lebih besar, dengan bulatan pertama. Datuk Seri Najib amat memahaminya. Kita bagaimana?

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in